Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Surat
SURAT | Giatkan kembali kempen beli barangan buatan Malaysia

Tindakan Amerika Syarikat mengenakan tarif 24 peratus ke atas eksport Malaysia adalah membimbangkan. Walaupun tarif ke atas Malaysia adalah antara yang terendah di Asean, manakala eksport terbesar Malaysia iaitu semi-konduktor dikecualikan daripada tarif, industri tempatan masih dijangka menerima kesan negatif berikutan pengumuman tarif baru ini.

Maybank IB Research, contohnya, telah menurunkan unjuran ekonomi Malaysia kepada 4.3 peratus untuk tahun 2025, berbanding 4.9 peratus sebelumnya. Eksport Malaysia yang merupakan salah satu tiang utama ekonomi akan terjejas akibat tarif ini. Misalnya, produk Singapura hanya dikenakan tarif 10 peratus akan menjadi lebih murah bagi pengguna Amerika Syarikat, berbanding produk Malaysia. Produk utama negara yang dijangka terjejas adalah makanan dan minyak sawit yang dikenakan tarif 24 peratus. Ini akan menyebabkan produk Malaysia tidak lagi kompetitif dari segi harga di pasaran Amerika Syarikat.

Justeru, beberapa cadangan bagi mengimbangi kesan ekonomi terhadap tarif Trump ini. Pertama, keputusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk mengadakan perbincangan aktif bersama pihak Amerika Syarikat berkaitan tarif ini adalah disokong. Oleh itu, cadangan beberapa pihak untuk melaksanakan tarif balas terhadap langkah terbaru kerajaan Trump ini tidak sesuai, malahan boleh mengeruhkan keadaan.

Kedua, satu jawatankuasa khas peringkat tinggi ditubuhkan kerajaan Malaysia untuk mengkaji bantuan yang patut dihulurkan kepada industri yang terkesan akibat tarif Trump ini.

Ketiga, kempen "Beli Barangan Buatan Malaysia" digiatkan kembali untuk menyokong ekonomi tempatan tatkala perang tarif dunia semakin memuncak. Rakyat Malaysia perlu bersama-sama memilih produk tempatan berbanding produk asing, melainkan tiada alternatif. Semua produk dijual di Malaysia perlu dilabelkan sebagai "Buatan Malaysia" atau "Buatan Asing" bagi melicinkan kempen ini. Semua GLC juga perlu membeli produk atau perkhidmatan "Buatan Malaysia" untuk penggunaan mereka. Malah, semua syarikat dan perniagaan milik tempatan digesa untuk mengutamakan produk tempatan.

Kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia" akan sedikit sebanyak membantu meningkatkan permintaan terhadap produk tempatan tatkala jualan ke Amerika Syarikat terjejas. Kita tidak mahu industri tempatan terjejas teruk akibat lambakan bekalan mengejut. Malaysia berhak mengambil langkah-langkah tertentu menjaga kedaulatan ekonominya. Justeru, kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” amat penting untuk menyokong industri tempatan, yang mana perlu bagi mengelak krisis ekonomi termasuk pengangguran.


FAIZ FADZIL ialah Setiausaha Agung Amanah

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS