SURAT | Tindakan Dominic Lau cuba menimbulkan persepsi bahawa tempahan pesawat Boeing oleh Malaysia Airlines merupakan sogokan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, agar dapat bercakap dengan Presiden Donald Trump bukan saja karut, tidak berfakta malah menunjukkan kekangan intelektual Presiden Gerakan dan Timbalan Pengerusi N untuk memahami selok-belok dunia penerbangan.
Apa yang terzahir daripada kata-kata Lau sebaliknya adalah dia hanya bercakap untuk mencipta cerita sensasi.
Sebelum ini, media melaporkan Malaysia Aviation Group (MAG) menempah 30 buah pesawat 737 MAX untuk menggantikan armada sedia ada yang semakin menua.
Setakat ini Malaysia Airlines memiliki 53 armada 737 dengan 42 daripadanya siri 737-800 yang memulakan perkhidmatan pada 2010. Sebagai perbandingan, purata umur armada 737-800 Singapore Airlines ialah 9.4 tahun dan akan ditamatkan perkhidmatan pada hujung tahun ini.
Armada narrow body Thai Airways jaga dalam lingkungan umur yang sama.
Penggantian armada 737 untuk kegunaan serantau sangat penting untuk Malaysia Airlines berfungsi dengan cekap dan mengelakkan kelewatan jadual perjalanan. Kedua-dua ini bukan saja penting untuk terus mengangkat status Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan negara, malah mengelakkan ketirisan akibat operasi seperti kerosakan luar jangka yang berpunca daripada usia pesawat.
Pada masa yang sama model MAX pula menawarkan pembakaran bahan api yang 20 peratus lebih cekap. Ia aspek penting dalam penjimatan kos operasi serta mencerminkan komitmen negara mengurangkan impak kepada alam sekitar.
Malah armada baru dengan kemasan dalaman baru juga mampu memberi imej yang meyakinkan kepada negara.
Malah penggantian itu juga langsung tidak mengejutkan kerana Malaysia Airlines telah menggunakan model Boeing 737 sejak lebih 50 tahun lalu (1972) dan mempunyai kepakaran, kemampuan penyelenggaraan serta pengalaman luas dalam mengendalikan pesawat jenis ini.
Maksudnya jika Malaysia Airlines memilih pesawat narrow body dari pengilang lain, barulah dilihat pelik.
Juga tidak janggal pengumuman tempahan dibuat sekarang memandangkan rekod penghantaran pesawat Boeing 737 MAX mengalami kelewatan akibat pelbagai masalah sebelum ini, selain masalah teknikal yang mengakibatkan perintah pembekuan operasi armada tersebut oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS.
Namun untuk menukar ke pengilang lain, kos latihan dan peralatan penyelenggaraan baru akan memberi tekanan kewangan luar biasa kepada syarikat yang baru membuat untung setelah merekodkan kerugian sejak 10 tahun kebelakang ini.
Jika ia dilakukan, wajarlah pembangkang mempertikaikan.
Kesimpulannya, pemilihan model dan masa pengumuman langsung tidak mengejutkan pemerhati dan pakar dalam bidang penerbangan kerana memang ada keperluan dan masa yang betul.
Saya tekankan istilah “penggantian armada” di sini kerana saya bimbang Lau terfikir yang pesawat berkenaan akan menambahkan bilangan pesawat yang ditanggung pihak Malaysia Airlines. Hakikatnya tidak benar sama sekali.
Atas sebab-sebab yang dibentangkan inilah saya fikir Lau gagal menghadam isu ini sebaliknya hanya bercakap untuk mewujudkan kontroversi dan menjadikan dia kelihatan kekal relevan.
Jika ini benar, maka tidak hairanlah rakan parti komponen PN sendiri memboikot beliau pada PRU lalu.
Pembangkang wajar menggunakan kebebasan bersuara dengan bertanggungjawab dalam ruang demokrasi dengan memberi kritikan dan semak imbang yang bernilai, bukan menyebarkan khabar angin yang akhirnya mencalar kredibiliti sendiri.
ZULFADZLI HALIM berkecimpung dalam industri penerbangan hampir 25 tahun dan berkicau pada masa lapang di platform X menggunakan nama @bumilangit.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
