Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Pertubuhan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia menyambut baik langkah kerajaan yang akan melaksanakan larangan pamer produk rokok di kedai-kedai runcit bermula 1 April.

Langkah ini akan memberi kesan positif yang besar dalam usaha untuk melindungi kesihatan masyarakat, terutamanya di kawasan luar bandar yang sering kali menjadi sasaran utama dalam pengedaran produk rokok.

Tindakan ini adalah langkah yang tepat dan perlu diambil untuk mengurangkan normalisasi merokok dalam kalangan generasi muda. 

Di kawasan luar bandar, akses kepada produk tembakau seringkali mudah dan tanpa kesan yang jelas, menyebabkan golongan muda lebih terdedah kepada bahaya ketagihan merokok. 

Oleh itu, kami menyokong penuh inisiatif ini yang dilihat dapat memberi perlindungan yang lebih baik kepada golongan belia, khususnya di kawasan luar bandar.

Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa berusaha untuk meningkatkan kesihatan masyarakat luar bandar dan bandar, kami juga menggesa agar kerajaan memperkenalkan langkah-langkah tambahan seperti:

(1) Peningkatan program kesedaran kesihatan yang fokus kepada komuniti luar bandar bagi mengedukasi masyarakat tentang bahaya merokok dan kesan negatifnya terhadap kesihatan.

(2) Penguatkuasaan yang lebih ketat terhadap penjualan rokok secara haram, yang sering berlaku di kawasan luar bandar, yang membolehkan golongan muda membeli produk ini tanpa sebarang kesan.

(3) Sokongan terhadap program berhenti merokok khususnya bagi mereka yang tinggal di luar bandar dengan menyediakan kemudahan dan sumber yang mudah diakses oleh penduduk di kawasan terpencil.

(4) Peningkatan kerjasama antara kerajaan dan NGO untuk memastikan kempen anti-merokok sehingga setiap lapisan masyarakat, termasuklah di bahagian bawah.

(5) Membentangkan kembali GEG (Generational End Game) sebagai langkah strategik yang penting untuk menghapuskan tabiat merokok dan melindungi generasi akan datang daripada kesan buruk ketagihan tembakau.

Kami yakin, dengan tindakan yang lebih lengkap dan bersepadu ini, Malaysia akan dapat mencapai sasaran untuk mengurangkan bilangan perokok dan mewujudkan generasi yang lebih sihat, bukan daripada ketagihan rokok.


MS ANUAR MAHMOD ialah setiausaha agung Pertubuhan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS