Mencari titik tengah dalam pertembungan antara agama di Malaysia bukan tugas mudah.
Ini kerana masih wujud ekstremis dalam masyarakat—sama ada dalam kalangan penganut Islam mahupun Hindu—yang hanya mahu suara mereka didengari.
Isu yang sepatutnya boleh diselesaikan melalui persefahaman bersama sering menjadi lebih rumit apabila dimanipulasi oleh puak pelampau yang lebih mementingkan political mileage berbanding keharmonian antara penganut agama.
Kenyataan tegas Anwar Ibrahim dalam menangani isu ini membuktikan bahawa beliau adalah man in the right time—pemimpin yang hadir pada saat yang tepat untuk meredakan api yang dinyalakan oleh golongan ekstremis.
Keputusan beliau bukan sahaja berlandaskan undang-undang tetapi juga berteraskan prinsip keadilan.
Hakikatnya, tanah kuil itu mempunyai pemilik yang sah, dan kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tampil membantu mencari tapak baharu bagi memindahkan kuil tersebut.
Tidak timbul sebarang isu apabila sebuah kuil yang tidak terletak di tanah miliknya dipindahkan ke lokasi lain yang lebih sesuai.
Masyarakat Hindu masih dapat menjalankan aktiviti keagamaan mereka, manakala pemilik tanah pula dikembalikan hak mereka.
Inilah pendekatan harmoni dan adil yang sepatutnya diutamakan oleh semua pihak.
Bukti Anwar seorang Islamis
Puak pelampau Islam di Malaysia sering menuduh Anwar sebagai seorang yang liberal. Namun, segala tuduhan ini dinafikan oleh rekod kepimpinan beliau sendiri.
Dalam isu kuil ini, ketegasan Anwar mengenai pembinaan masjid di kawasan tersebut membuktikan bahawa segala tohmahan pelampau agama hanyalah naratif politik semata-mata, direka untuk menjauhkan masyarakat Melayu-Islam daripada beliau.
Sebagai seorang Melayu dan Muslim, kepimpinan Anwar dalam kerajaan jelas memberikan keuntungan terbesar kepada Islam di Malaysia.
Bagaimana mungkin seorang Anwar Ibrahim—yang sentiasa membawa ayat-ayat al-Quran dalam ucapannya, mempertahankan tempat ibadat Islam dalam keputusan
kerajaan, dan mempromosikan konsep Malaysia Madani—boleh dituduh sebagai pemecah belah antara agama?
Seperti kata Anwar sendiri:
"Kelompok Islam yang ekstrem maki saya kerana mereka kata saya tunduk kepada kumpulan (agama) Hindu, manakala kelompok Hindu yang melampau pula kata saya ini nak Islamkan semua."
Hakikatnya, beliau sendiri keliru dengan tuduhan-tuduhan bercanggah daripada pelampau-pelampau ini.
ABDULLAH AL-MUJAHID ialah pembaca Malaysiakini yang memperkenalkan dirinya sebagai “individu Melayu dan Islam”.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
