Polis merampas komputer riba Pengarang Eksekutif Malaysiakini, RK Anand dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan supaya portal berita tersebut memberikan akses kepada sistem pengurusan kandungannya.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) Cawangan Malaysiakini terpanggil untuk menyuarakan rasa bimbang terhadap tindakan tersebut yang dilihat sebagai berlebihan dan berbentuk gangguan kepada media.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa Malaysiakini hanyalah saksi dalam siasatan terhadap bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkaitan komen beliau mengenai isu titah adendum.
Justeru, NUJ Malaysiakini ingin mempersoalkan keperluan pihak berkuasa merampas komputer dan mengarahkan portal berita itu memberikan nama pengguna dan kata laluan kepada sistem mereka.
Polis menegaskan bahawa keengganan berbuat demikian adalah satu kesalahan.
Walaupun pihak berkuasa akhirnya bersetuju supaya Malaysiakini membuka akses kepada sistem portal mereka tanpa mendedahkan kata laluan, arahan sedemikian menimbulkan persoalan.
Lebih-lebih lagi apabila artikel yang menjadi sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa masih boleh diakses sehingga ke hari ini dan tidak pernah diturunkan.
Dan laporan berkenaan adalah berdasarkan kenyataan Khairy dalam podcast Keluar Sekejap yang juga masih boleh diakses melalui akaun YouTube program berkenaan.
Kami ingin mengingatkan bahawa Malaysiakini adalah sebuah portal berita bebas yang melaporkan tanpa gentar atau memihak.
Desakan SKMM supaya Malaysiakini memberikan akses kepada sistem pengurusan kandungan portal tersebut merupakan intimidasi pihak berkuasa dan kerajaan yang mendorong kebebasan media ke ambang kemerosotan.
Dengan ini, NUJ Malaysiakini menggesa supaya kerajaan dan pihak berkuasa menghentikan gangguan seperti ini terhadap wartawan dan media serta menghormati kebebasan media membuat laporan secara bebas.
NUJ Malaysiakini juga menyuarakan solidariti dengan pihak Malaysiakini dan RK Anand dalam menghadapi intimidasi terbaru ini.
NUJ MALAYSIAKINI ialah kesatuan sekerja yang mewakili pengamal media di portal itu.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.