ADS
mk-logo
Surat
SURAT | Malaysia wajar pelopori Tabung Pembinaan Gaza

SURAT | Pemuda Amanah menyeru kerajaan menubuhkan Tabung Pembinaan Gaza di bawah pengurusan Asean bagi memastikan usaha ini berterusan walau siapa pun yang menerajui kepimpinan akan datang.

Tabung ini akan menjadi platform kolektif untuk membantu rakyat Palestin membina semula kehidupan mereka selepas serangan kejam rejim Israel.

Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 15,000 bangunan di Gaza telah musnah atau rosak, termasuk rumah, sekolah, hospital, dan masjid.

Dengan 80 peratus penduduknya Gaza bergantung penuh pada bantuan kemanusiaan, tabung yang dicadangkan ini dapat mengisi kekosongan bantuan global dan menyediakan sokongan berstruktur yang mampan.

Di bawah pengurusan Asean, tabung ini dapat melibatkan kerjasama negara serantau dan antarabangsa untuk memastikan dana yang disalurkan sampai kepada rakyat Gaza dengan berkesan.

ADS

Dana tersebut boleh digunakan untuk membina semula sekolah, hospital, tempat perlindungan, dan infrastruktur asas lain.

Penglibatan Asean juga dapat memastikan usaha berkenaan terus dilaksanakan dengan fokus kolektif dari rantau ini, dan pada masa sama menonjolkan Malaysia sebagai pemimpin dalam menyokong keadilan dan kemanusiaan sejagat.

Langkah menubuhkan Tabung Pembinaan Gaza ini juga mencerminkan komitmen Kuala Lumpur untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik serantau dan antarabangsa.

Malaysia telah membuktikan bahawa kelantangan bersuara menyokong Palestin tidak menghalang kestabilan ekonomi. Melalui pengurusan Asean, tabung ini dapat menjadi simbol solidariti serantau yang berkekalan.

Pemuda Amanah yakin bahawa inisiatif ini bukan sahaja dapat membantu rakyat Palestin tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia dan Asean sebagai pelopor keadilan sejagat.

Malaysia mempunyai peluang besar untuk menunjukkan kepimpinan berprinsip yang membawa perubahan bermakna kepada dunia.


AMMAR ATAN ialah Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS
ADS
ADS