Dewan Muda Alternatif (DMA) mengecam sekeras-kerasnya tindakan keji berbentuk fizikal terhadap individu yang menghadapi cabaran kesihatan mental. Kejadian baru-baru ini melibatkan seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) yang dianiaya secara kasar dan tidak berperikemanusiaan di sebuah pasar tani harus menjadi peringatan penting kepada semua.
Setiap individu berhak dilayan dengan hormat dan empati tanpa mengira kaum, agama, mahupun keadaan fizikal atau mental mereka.

Masyarakat memainkan peranan yang amat penting dalam memahami dan menjiwai isu kesihatan mental yang semakin meruncing di negara ini. Perhatian, sokongan, dan empati daripada keluarga, rakan, serta komuniti boleh memberikan impak yang besar kepada individu yang berdepan masalah ini.
Pemahaman yang lebih mendalam mengenai kesihatan mental dapat mengurangkan stigma dan melahirkan suasana yang lebih inklusif, di mana mereka yang terkesan tidak merasa terasing atau terabai. Usaha pembelajaran dan kesedaran ini mesti digalakkan supaya masyarakat dapat bertindak dengan lebih bijak, prihatin, dan bertanggungjawab.
DMA menyeru masyarakat agar menghayati nilai toleransi dan empati sebagai asas hubungan sosial. Peranan kita bersama adalah untuk memupuk kesedaran, menghapuskan stigma, dan menyediakan sokongan yang konsisten kepada mereka yang memerlukan, baik dari segi fizikal mahupun emosi.
Dalam masa yang sama, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan tegas terhadap pelaku kekerasan supaya keadilan ditegakkan dan kejadian seperti ini tidak berulang.
Dengan komitmen semua pihak, kita mampu membentuk sebuah masyarakat yang inklusif, harmoni, dan bebas daripada sebarang bentuk kekasaran. Marilah kita berganding bahu untuk mewujudkan persekitaran yang selamat dan penuh kasih sayang, di mana setiap individu berpeluang menjalani kehidupan dengan bermaruah dan sejahtera.
SOLLAHUDDIN IKRAM ialah Penyelaras Program Kesihatan Mental dan Pencegahan Bunuh Diri, Dewan Muda Alternatif (DMA). DMA dimiliki oleh Dewan Muda Network yang merupakan sebuah rangkaian belia berteraskan prinsip social enterprise.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.