Pemimpin PAS dan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) sering ‘berbalas pantun’ berkenaan calon perdana menteri di kalangan mereka.
Pemimpin PAS mendakwa bahawa calon daripada mereka seharusnya layak menjadi perdana menteri kerana strategi dan kerjasama yang erat dengan semua pihak.
Mursyidul Am PAS Hashim Jasin juga mendakwa bahawa PAS seharusnya layak mengetuai gabungan PN kerana mempunyai jumlah kerusi yang lebih banyak di Dewan Rakyat berbanding Bersatu, bahkan PAS juga mempunyai ahli akar umbi yang ramai.
Namun, semua dakwaan ini tidak dipersetujui oleh Bersatu yang jelas berada dalam kedudukan yang lemah serta membolot semua jawatan tertinggi dalam gabungan PN.
Perebutan jawatan calon perdana menteri ini menunjukkan bahawa kedudukan PAS dan Bersatu dalam gabungan PN ibarat retak menanti belah.
Sikap gila kuasa dan kedudukan semakin jelas kelihatan dalam diri pemimpin PN walaupun terbukti mereka gagal sebagai kerajaan sebelum ini.
Keterlibatan pemimpin PN dalam kes-kes rasuah yang sedang didakwa di mahkamah juga melemahkan lagi gabungan tersebut serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap PN.
PAS dan Bersatu sepatutnya menjadi pembangkang yang bijak dengan menjalankan tanggungjawab sebagai ejen semak dan imbang kerajaan dalam memberikan cadangan dan pandangan demi kemajuan negara.
Sebaliknya bukannya memikirkan siapa yang layak menjadi calon perdana menteri.
MUHAMMAD AZHA SALAHUDIN merupakan Ketua Penerangan AMK Wilayah Persekutuan
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.