Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyokong sepenuhnya penguatkuasaan larangan merokok di semua bangunan tempat kerja di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP) melalui Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2010. Larangan ini juga dikuatkuasakan selaras dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 853) dan Perintah Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Pengisytiharan Kawasan atau Tempat Larangan Merokok) 2024.
Mengapa larangan ini penting?
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Surgeon General Amerika Syarikat, tiada tahap pendedahan kepada asap rokok basi (secondhand smoke) yang selamat. Kajian menunjukkan:
Asap rokok persekitaran mengandungi lebih 4,700 bahan kimia berbahaya, termasuk 43 bahan karsinogenik.
Pendedahan berpanjangan meningkatkan risiko kanser paru-paru, penyakit jantung dan masalah pernafasan kronik.
Kanak-kanak lebih mudah terjejas, dengan peningkatan risiko jangkitan saluran pernafasan, serangan asma, dan Sindrom Kematian Bayi Mendadak (SIDS).
Dianggarkan lebih 27,200 kematian di Malaysia setiap tahun adalah disebabkan oleh tembakau.
Data di Malaysia menunjukkan bahawa penguatkuasaan larangan merokok di tempat kerja adalah sangat penting. Ia meningkatkan kualiti udara dalaman, melindungi kesihatan pekerja, dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan yang berkaitan dengan penyakit akibat asap rokok.
Tiga matlamat larangan merokok di tempat awam
Melindungi semua dari bahaya asap tembakau: Seramai 27,000 orang maut setiap tahun akibat penyakit yang berpunca daripada pendedahan kepada asap tembakau termasuk asap rokok sekunder (secondhand smoke).
Menggalakkan perokok untuk Berhenti: Membantu perokok mengurangkan kadar merokok ke arah mendorong mereka untuk berhenti merokok.
Melindungi kanak-kanak: Mengelakkan kanak-kanak, yang memerhatikan orang dewasa merokok sejak bayi, daripada terpengaruh dengan tabiat merokok di khalayak awam.
Etika merokok
- Jangan Mengajak Orang Lain untuk Merokok: Usah mengajak sesiapapun, walaupun perokok, untuk menemani merokok kerana mungkin teman perokok itu sedang berusaha untuk berhenti merokok.
- Patuh pada Larangan Merokok: Tidak merokok di tempat-tempat yang dilarang merokok.
- Lindungi Kanak-Kanak: Tidak merokok di hadapan kanak-kanak.
Tindakan undang-undang terhadap larangan merokok
Sejak pelaksanaan Kod Amalan Kualiti Udara Dalaman 2010 dan penguatkuasaan Akta 853, beberapa pihak telah mencabar perluasan larangan merokok di bangunan tempat kerja atas pelbagai alasan, termasuk kebimbangan tentang hak peribadi dan implikasi ekonomi.
Walau bagaimanapun, mahkamah telah menegaskan bahawa kepentingan kesihatan awam adalah keutamaan utama. Fomca menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan undang-undang ini demi melindungi keselamatan dan kesihatan masyarakat secara keseluruhan.
Manfaat larangan merokok di bangunan tempat kerja
Melindungi Kesihatan Pekerja: Menghapuskan pendedahan kepada asap rokok basi yang boleh menyebabkan masalah kesihatan akut dan kronik.
Meningkatkan Produktiviti: Mengurangkan ketidakhadiran akibat penyakit yang berkaitan dengan pendedahan asap rokok.
Menurunkan Kos: Menjimatkan kos penyelenggaraan bangunan dan rawatan kesihatan.
Menyokong Persekitaran Kerja Sihat: Memberi mesej yang jelas tentang komitmen terhadap kesejahteraan pekerja.
Tindakan penguatkuasaan
Semua majikan diwajibkan memastikan bangunan tempat kerja bebas asap rokok sepenuhnya.
Pemantauan dan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa akan ditingkatkan untuk memastikan pematuhan terhadap larangan ini.
Penggunaan papan tanda larangan merokok yang jelas di semua bangunan tempat kerja.
Seruan Fomca
Fomca menyeru semua pihak untuk mengambil tindakan berikut:
Mematuhi larangan: Merokok hanya dibenarkan di kawasan yang ditetapkan di luar bangunan.
Mendidik dan ,enyedarkan: Mengadakan kempen kesedaran tentang bahaya asap rokok basi.
Menguatkuasakan dasar: Mengambil tindakan tegas terhadap pelanggaran peraturan larangan merokok.
Inisiatif ini bukan sahaja melindungi kesihatan pekerja tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada kesejahteraan masyarakat dan generasi akan datang dengan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat serta mengurangkan beban penyakit yang berkaitan dengan asap rokok.
MUHAMMAD SHA’ANI ABDULLAH ialah Penyelaras Kawalan Tembakau / Inisiatif @SmokeFreeMY Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.