SURAT | Bencana banjir membawa risiko tinggi terhadap penularan beberapa penyakit berjangkit. Penyakit seperti leptospirosis, melioidosis, dan demam kepialu (typhoid fever) menjadi ancaman utama.
Leptospirosis: Penyakit ini disebabkan oleh bakteria yang terdapat dalam air kencing tikus. Manusia boleh dijangkiti jika terdedah kepada air yang tercemar.
Melioidosis: Penyakit ini disebabkan oleh kuman dalam tanah yang terdedah akibat banjir. Kuman ini boleh masuk ke tubuh melalui luka atau melalui air minum yang tercemar.
Demam kepialu: Penyakit ini berpunca daripada pembuangan najis yang tidak terurus, dan ia boleh merebak melalui air yang tercemar.
Ada beberapa gejala awal yang mungkin dialami oleh individu yang terdedah kepada kuman-kuman tadi termasuk:
• Demam yang berpanjangan selama dua hingga tiga hari
• Cirit-birit, yang mungkin disebabkan oleh jangkitan demam kepialu
• Menggigil dan kesukaran bernafas, terutamanya bagi mereka yang terdedah kepada leptospirosis atau melioidosis
• Sakit perut dan muntah
Bagi menghadapi risiko penyakit berjangkit ini, beberapa langkah boleh diambil sebagai usaha pencegahan. Antaranya ialah:
• Elakkan pendedahan: Jika kawasan anda berisiko banjir, lakukan persediaan awal dan elakkan pendedahan kepada air banjir
• Kebersihan diri: Bersihkan diri dengan teliti selepas terdedah kepada air banjir. Ini termasuk mencuci tangan dan menjaga kebersihan tubuh.
• Penjagaan luka: Jika anda mempunyai luka yang terdedah, pastikan ia ditutup dengan baik sebelum bersentuhan dengan air banjir.
• Kebersihan persekitaran: Sebelum berlaku banjir, pastikan persekitaran rumah dalam keadaan bersih untuk mengurangkan risiko penyakit.
Langkah untuk melindungi anak-anak daripada bermain di kawasan air banjir juga sangat penting. Mereka lebih terdedah kepada jangkitan, justeru langkah pencegahan perlu diambil untuk memastikan keselamatan mereka.
Sebagai kesimpulan, adalah penting bagi semua pihak mengambil langkah berjaga-jaga dan melaksanakan pencegahan yang berkesan selepas banjir.
Dengan kesedaran dan tindakan yang betul, kita dapat mengurangkan risiko penularan penyakit bawaan air dan melindungi kesihatan masyarakat.
DR MUHAMAD YAZLI YUHANA ialah pakar penyakit berjangkit di Hospital Pakar KPJ Ampang Puteri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.