Kami memandang serius dakwaan rasuah di Sabah yang dikatakan membabitkan sejumlah Adun.
Dakwaan tentang wujudnya budaya rasuah di negeri ini telah pun berlarutan selama berdekad lamanya dan tidak pernah menemui penghujungnya, sepertimana isu pendatang asing tanpa izin (pati) yang terus membelenggu Sabah.
Kami sebagai generasi muda Sabah sudah muak dan bosan dengan dua isu ini malah kami berpendapat rasuahlah yang menyebabkan negeri ini kekal miskin, lemah dan tidak berdaya saing walaupun banyak kali dikatakan mempunyai hasil bumi dan simpanan mineral yang besar.
Terdapat banyak dakwaan mengenai salah laku ahli-ahli politik di Sabah, antaranya melibatkan isu rampasan tanah, kayu balak dan pengeluaran mineral, tetapi belum ada dakwaan dibuat.
Apa yang lebih pelik, pemimpin-pemimpin GRS yang disebut dalam video itu, seperti Ketua Menteri Hajiji Noor dan Menteri Kewangan Masidi Manjun tidak membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang walaupun telah seminggu berlalu sejak pendedahan dibuat.
Biasanya pemimpin-pemimpin politik akan membuat laporan polis atau memfailkan saman terhadap pihak yang menyebarkan dakwaan untuk menjaga reputasi mereka, tetapi pemimpin-pemimpin yang disebut dalam video-video ini hanya berdiam diri.
Ini memberi satu gambaran seolah-olah pemimpin-pemimpin GRS sudah terperangkap, tidak mampu berbuat apa-apa dan kini terpaksa mengharap ihsan dari pemimpin-pemimpin politik di Semenanjung.
Ini termasuklah rakaman memaparkan bekas CEO Sabah Mineral Management (SMM) Jontih Enggihon yang mendakwa Hajiji menyalahgunakan kuasanya. Mengapa tidak ada apa-apa tindakan susulan dibuat oleh Hajiji untuk menjaga reputasinya?
Oleh yang demikian (dan untuk berlaku adil kepada semua yang disebut dalam dakwaan ini), kami meminta agar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan PH memberikan pengecualian kepada pemberi maklumat ini jika undang-undang membantutkan proses keadilan yang diharapkan oleh rakyat Sabah.
Common sense membuatkan kami berpendapat bahawa lebih penting untuk kita menyiasat dan membongkar dakwaan skandal rasuah yang berskala besar ini dan membuat reformasi yang diperlukan, berbanding memberi tumpuan kepada 'sudut teknikal' yang menghalang pemberi maklumat ini daripada mendedahkan segalanya.
Kami menyebut PH secara spesifik kerana agenda membanteras rasuah, nepotisme dan kronisme ialah naratif utama yang membolehkan mereka mendapat undi yang tinggi dari rakyat Sabah pada PRU15. Sokongan terhadap mereka bukannya kerana isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau kedudukan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Jika PM dan PH tidak mampu merealisasikan naratif yang mereka laungkan bertahun lamanya di negeri ini, di saat peluang sudah terbuka luas pada hari ini untuk merealisasikannya, maka PH bolehlah dianggap sebagai tidak relevan lagi di Sabah.
Kami tidak mahu mereka yang terlibat dengan dakwaan rasuah ini terlepas, jika mereka memang terbukti bersalah, dan akan mengulangi perkara yang sama di masa akan datang, ketika kerajaan lain pula yang mentadbir negara.
Tulisan ini adalah pandangan Sabah Youths Against Corruption (SYAC) dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.