SURAT | Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan pada 1 Oktober lalu menekankan sekurang kurangnya dua perkara, iaitu kebersihan dan kurangkan penggunaan gula dalam minuman dan makanan.
Pasar Siti Khadijah walaupun sentiasa dikunjungi ramai termasuk pelancong, kelihatan kurang bersih dan kotor dan amat tepat sekali bila perkara itu dibangkitkan oleh Anwar.
Begitu juga dengan risiko pendawaian elektrik lama di bangunan berkenaan yang patut diganti segera, begitu juga dengan lampu yang lebih cerah dan bukan seolah-olah bergelap seperti sekarang.
Justeru, majlis-majlis perbandaran di Malaysia serta Kementerian Kesihatan boleh mengetatkan lagi peraturan-peraturan berkaitan kebersihan dan kesihatan untuk dilaksanakan kepada semua kategori peniaga makanan, minuman, pasaraya, kedai runcit dan sebagainya.
Pertama adalah aspek kebersihan, termasuk kebersihan bangunan dan tandas serta amalan kebersihan yang ketat dalam penyediaan makanan dan minuman. Pemilik perniagaan perlu memastikan pekerja diberi penerangan dan latihan secukupnya sebelum mula bekerja.
Kementerian Sumber Manusia boleh mengeluarkan peraturan untuk memastikan tindakan boleh diambil terhadap majikan yang gagal memberikan latihan secukupnya sebelum pekerja mula bekerja.
Aspek kebersihan dalam penyediaan makanan dan minuman bukan sekadar dapur yang bersih dan hampir kering sahaja. Ia termasuk kewajiban membasuh tangan dengan sabun setiap kali keluar daripada tandas dengan masa yang cukup untuk tangan dikeringkan sebelum menyambung kerja.
Majikan perlu menggajikan pekerja untuk menjaga kebersihan tandas dan memastikan tandas sentiasa bersih setiap 15 minit, iaitu sekurangnya 4 kali setiap jam. Pekerja yang menyediakan makanan dan minuman dilarang merokok bukan sahaja ketika bertugas malah sepatutnya termasuk ketika waktu rehat. Kita tentunya biasa melihat tukang masak memasak sambil merokok ataupun warung burger tepi jalan menyediakan burger sambil merokok.
Tindakan tegas patut diambil serta-merta terhadap pemilik kedai yang tandasnya berbau hancing atau terdapat saki baki najis yang tidak dipam sepenuhnya. Begitu juga dengan sinki basuh tangan yang gagal dibersihkan segera selepas pelanggan muntah di dalamnya.
Kain pengelap meja tidak sepatutnya kelihatan kotor walaupun kini tidak seperti tahun 70-an, di mana ada kedai yang menggunakan seluar dalam dan singlet terpakai digunakan untuk mengelap meja.
Kebersihan premis termasuk longkang serta tong sampah perlu dijaga agar tidak berbau busuk. Ini untuk memastikan tiada tikus atau lipas berkeliaran. Penalti yang berat patut dikenakan sekiranya terdapat bukti tikus dan lipas hidup dengan bebas di premis mereka.
Pekerja, sama ada warga asing mahupun tempatan, yang biasa dengan amalan pengotor patut segera dihantar ke program yang sesuai untuk menyedarkan mereka agar berubah.
Kedua berkaitan kesihatan pengguna. Semua premis sama ada menjual makanan dan minuman, kedai runcit, pasar mini dan pasar raya perlu mempamerkan poster bersaiz besar yang menerangkan bahaya seperti berikut:
Bahaya makan dan minum sebarang makanan dan minuman yang mempunyai kandungan gula yang tinggi serta tunjukkan bukti akibat pengambilan gula berlebihan.
Tunjuk juga bukti contoh jenama yang menjual makanan dan minuman dengan kandungan gula berlebihan. Namun selepas itu, terpulang pada pengguna jika masih berdegil mahu membeli produk berkenaan.
Bahaya makan mee segera sebarang jenama. Tunjukkan bukti saintifik bahawa setiap bungkus mee segera boleh membaluti tali perut manusia selama seminggu.
Tunjukkan bukti bahawa perencahnya jika dituang di atas rumput akan menyebabkan rumput mula menjadi kuning selepas beberapa hari dan kemudiannya mati. Tunjukkan juga bukti bahan kandungan mee segera jenama luar negara yang mengandungi bahan yang tidak halal walaupun diminati ramai pengguna generasi muda beragama Islam.
Bahaya ketika makan tengahari atau makan malam di mana saja yang mungkin mempunyai elemen yang boleh menyebabkan serangan jantung termasuk contohnya kari ikan, kari daging, kari ayam, kari kambing yang mempunyai lapisan minyak masak yang begitu tebal di dalam periuk penjual. Begitu juga bahan bahan makanan berkolesterol tinggi.
Promosikan penggunaan beras perang berbanding beras putih. Sertakan bukti saintifik yang dilaporkan oleh badan-badan kajian yang dihormati masyarakat.
Promosikan penjualan roti perang berasaskan gandum asal berbanding roti putih yang mempunyai kandungan gula yang tinggi. Sertakan bukti santifik yang dilaporkan oleh badan badan kajian yang dihormati masyarakat.
Promosikan penggunaan gula perang yang berasal daripada warna perang tebu berbanding dengan gula putih. Sertakan bukti santifik yang dilaporkan oleh badan badan kajian yang dihormati masyarakat.
Poster-poster kempen kesedaran bahaya beberapa makanan yang dijual di restoran makanan segera serta bahaya ‘junk food’ yang dijual di serata kedai dan pasar raya.
Promosikan cara hidup sihat dengan poster-poster berkenaan amalan membeli sendiri bahan mentah di pasar serta pasar tani dan memasak sendiri untuk keluarga yang lebih sedap, murah dan terjamin kebersihannya.
Menyedarkan pengguna yang mereka cuma layak menyaman syarikat- syarikat yang menjual makanan dan minuman yang membahayakan kesihatan mereka jika tiada elemen cuai di pihak mereka.
Di zaman IT dan AI sekarang penggunaan telefon pintar serta computer riba membolehkan pengguna mengetahui dengan cepat dan mudah tentang mudaratnya sesuatu makanan atau minuman atau bahan yang terkandung dalam makanan yang telah siap diproses dan dikilangkan untuk jualan.
Menyedarkan pengguna tentang bahaya telefon pintar dijadikan rantai leher ataupun disimpan dalam poket, bahaya komputer riba diletakkan di atas riba dan bahaya menggunakan wireless earphone dengan kadar lama dan berterusan. Semua bukti saintifik boleh disertakan dalam bentuk penjelasan grafik.
Menyedarkan pengguna dengan lebih agresif berkenaan bahaya vape dan rokok tradisional.
Mempromosikan makanan kesihatan dengan memberikan dalil sahih seperti kurma ajwa , habbatus sauda dan air zam-zam. Kerajaan Malaysia boleh berbincang dengan kerajaan Arab Saudi untuk menamatkan larangan eksport air zam-zam bagi membekalkan air zam-zam secara komersial di Malaysia.
Mempromosikan senaman ringan dengan berjalan 20 minit setiap pagi dan petang. Memberikan amaran secukupnya mengenai senaman agar jantung tidak terkejut, contohnya individu yang tidak pernah berjogging seumur hidup berdepan risiko jika melakukan kegiatan itu secara mengejut.
Kempen-kempen kesedaran diatas boleh dibuat menerusi pelbagai bentuk poster, kain pemidang serta layar digital di semua premis makanan dan minuman, kedai runcit, pasar raya dan sebagainya. Namun jika pengguna masih mahu membeli produk tersebut, ia terpulang kepada mereka sendiri.
Apa yang penting, peraturan ketat tambahan dikenakan ke atas semua kategori peniaga dan perniagaan agar mereka memberi kerjasama untuk mempamerkan apa sahaja yang dibekalkan oleh pihak berkuasa kepada mereka. Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan penalti yang berat.
Cadangan-cadangan ini boleh dilaksanakan tanpa perlu memperkenalkan sebarang akta baru. Ini kerana setiap agensi penguatkuasaan undang-undang sedia ada memiliki kuasa membuat peraturan-peraturan kecil menerusi akta-akta sedia ada yang berkaitan.
SYED ISKANDAR SYED JAAFAR adalah seorang peguam.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.