Sejarah ketika Parti Amanah hendak memilih nama bagi parti, banyaklah cadangan yang dilontarkan termasuklah nama 'Parti Progresif Islam'. Namun semua pengasas parti bersepakat untuk mencari satu nama yang sinonim dengan sifat Nabi Muhammad s.a.w, maka antara sifat baginda yang dikaitkan dengan keperibadian mulia baginda ialah al Amanah di mana baginda digelar al Amin.
Usai berbahas panjang, kami bersetuju untuk memakai nama Parti Amanah Negara dengan singkatan namanya Amanah. Semangat nama tersebut diambil adalah supaya Amanah mengambil segala daya upayanya untuk memenuhi sifat ini dalam perjuangannya di persada politik tanah air. Banyaklah suka-duka yang dilalui sepanjang tarikh kelahirannya iaitu pada 16 September 2015 di Selangor.
Sebagai rekod, pada tahun ketiganya 2018, Amanah memenangi 11 kerusi parlimen dalam PRU 2018 bersama pencapaian ini 5 MP Amanah diberi peluang menganggotai kabinet Tun Mahathir manakala 3 MP dan 1 Ahli Dewan Negara masing-masing menjadi Timbalan Menteri manakala seorang diberi tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Melaka.
Beberapa Adun Amanah diberi tanggungjawab exco di negeri-negeri Selangor, Perak dan Johor manakala seorang Speaker di Johor adalah dari Amanah.
Amanah menyaksikan episod 'Sheraton Move' pada tahun 2020 dan melalui era 'shutdown Covid' dan pada PRU 2022 terpaksa berhadapan dengan 'Gelombang Hijau' di mana nama-nama besar Amanah di parlimen gugur menyebabkan Amanah hanya tinggal 8 sahaja ahli parlimennya setakat ini.
Namun buat kali keduanya Amanah berjaya menjadi anggota kerajaan Perpaduan dengan tiga menteri dan dua timbalan menteri menjalankan tugas eksekutif.
Tahun ke-9 Amanah sememangnya sangat bererti kepada ahli Amanah kerana bersempena dengan Maulid Rasul SAW cita-cita menelusuri perjalanan hidup Nabi SAW yang terbina atas keperibadian rahmah sepatutnya diteladani oleh ahli Amanah.
Politik yang membina peradaban dan memupuk kesepaduan perlu menguasai Amanah dalam setiap perancangan strategik mereka. Selain itu slogan inklusif Amanah perlu meneladani peribadi Nabi SAW yang menghapuskan kebencian antara agama dan kaum dengan mengisytiharkan "tiada kelebihan antara Arab dan bukan Arab kecuali kelebihan sifat Taqwa".
Dalam dunia politik yang menyuburkan kebencian kaum dan agama, Amanah perlu tegas supaya tidak tercenderung ke arah politik toksik ini, apatah lagi ada pihak yang berselindung atas nama perjuangan agama dan kaum.
'Godaan' untuk turut serta dalam gerombolan "isle/Melayu" sangat kuat atas nama meraih sokongan segmen pengundi tetapi perlu diingatkan kepada satu prinsip perjuangan bahawa "satu kebatilan tidak akan menjadikan kebatilan yang satu lagi itu benar!"
Amanah perlu tegas tetapi memakai pendekatan hikmah secara maksima kerana hikmah akan menjadi pendinding daripada tergadainya prinsip parti. Nabi bersabda:
"Hikmah itu adalah barang keciciran mukmin, di mana sahaja dia menemuinya maka dialah berhak untuk mendapatkannya" (Hadis dhoif maknanya sahih)
Perjalanan Amanah masih panjang namun berbekalkan semangat Rahmatan Lil Alamin, kita yakin hasilnya sangat besar untuk rakyat Malaysia. Biarlah Amanah berkorban dalam satu amal yang lebih besar iaitu di medan politik Rahmah.
Ahli Amanah perlu bersabar panjang dan jangan tergoda dengan kilauan kuasa sehingga sanggup berbalahan demi kedudukan. Kedudukan seharusnya diberi atas kelayakan dan amanah untuk menjalankannya sebaik mungkin.
Selamat Menyambut Tahun ke-9, semoga Amanah terus bergerak ke hadapan untuk tahun-tahun mendatang.
MUJAHID YUSOF ialah timbalan presiden Amanah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.