Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah berpendapat pendekatan ekstrem dan ghuluw dalam berpolitik akan meninggalkan implikasi jangka panjang yang serius bagi masyarakat dan negara.

Justeru penting bagi setiap pemimpin politik untuk mengedepankan kesederhanaan, inklusiviti, dan kebijaksanaan dalam kepemimpinan mereka.

Sikap dan cara berpolitik keras dan kasar seperti dipamerkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang melabel Umno dan kerajaan semasa sebagai "lebih Dajjal daripada Dajjal" sangatlah melampau (ghuluw).

Dajjal adalah bentuk kekufuran dan kefasikan sebagaimana yang telah dijelaskan dalam hadis. Sesungguhnya, ia sangat tidak wajar dipalitkan sesama umat Islam apalagi dinyatakan oleh seorang pemimpin parti yang meletakkan nama Islam padanya.

Biro Hal Ehwal Syariah dan Dakwah Amanah berpendapat kenyataan yang dibuatnya oleh Abdul Hadi itu boleh merosakkan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi.

Ia juga jelas suatu perbuatan menyalahgunakan agama untuk memanipulasi sentimen demi kepentingan politik, selain mentafsir agama secara sempit dan tidak konstekstual.

Sepatutnya sebagai sebuah parti politik yang melabelkan mereka bernunsakan Islam, sewajarnya PAS membawa pendekatan yang baik lagi benar, serta bersikap wasatiyyah dalam menangani sesuatu perkara.

PAS tidak sepatutnya memilih cara jumud dan ekstrem.

Ia sesuai dengan pandangan yang dikemukakan oleh Almarhum Yusuf al-Qardhawi yang mengatakan: “Amat silap sangkaan bahawa Daulah Islam yang kita serukan ini adalah sebuah negara agama. Sebenarnya negara Islam ialah sebuah negara madani yang dibina atas pemilihan, baiah, syura dan tanggungjawab pemimpin di hadapan ummat, serta hak setiap individu dalam masyarakat untuk menasihati pemimpin tersebut, memerintahkannya kepada kebaikan, melarangnya daripada kemungkaran.

"Malah Islam menganggap ini sebagai satu kewajipan kifayah ke atas umat Islam dan ia menjadi fardu ain apabila seseorang mampu melakukannya sementara yang lain meninggalkannya atau ada merasa takut untuk melaksanakannya.”

Cetus kekeliruan masyarakat

Kami amat percaya Islam menekankan kepentingan menjaga keamanan dan kesatuan ummah. Pemberontakan dan peperangan terhadap pemerintah yang sah akan membawa kepada fitnah, huru-hara, pepecahan dan merugikan Islam.

Tindakan memecah-belahkan kesatuan umat Islam adalah sangat berbahaya dan tidak dibenarkan.

Kami juga melihat kenyataan Azhar Idrus - yang menyeru untuk tidak takut kepada raja atau pemerintah - sebagai tidak wajar kerana boleh ditafsirkan sebagai menghasut orang ramai untuk melawan atau tidak menghormati pihak berkuasa.

Sangat keliru kenyataan dibuat Azhar kerana ia berpotensi untuk melanggar undang-undang.

Kenyataan tersebut boleh disalah tafsir sebagai menggalakkan semangat jihad dengan cara yang ekstrem yang ada kebarangkalian mencetuskan kekeliruan dalam masyarakat, khususnya jika dianggap sebagai panggilan untuk melakukan tindakan ganas atau menentang pihak berkuasa.

Justeru kami berpendapat kenyataan yang dikeluarkan Abdul Hadi dan Azhar sangat tidak wajar dibuat.

Marilah kita - masyarakat dan parti-parti politik - melaksana adab dan tatasusila bersiasah yang baik lagi harmoni sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Bersama-sama kita menghindari politik yang kasar dan ghuluw (melampau).


Tulisan ini adalah pandangan BIRO HAL EHWAL SYARIAH NASIONAL AMANAH dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS