Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Jangan heret institusi diraja demi kancah politik peribadi

Majlis Belia Malaysia (MBM) dukacita dan kecewa dengan kenyataan dikeluarkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang mempertikaikan keputusan dan kewibawaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin al-Mustafa Billah Shah dalam isu pelantikan perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15.

Baca: Muhyiddin: Ucapan di Nenggiri suatu fakta

Kenyataan beliau tidak lain dan tidak bukan merupakan satu tindakan biadab serta cuba untuk mengheret institusi yang menjadi simbol utama negara ini ke dalam kancah politik selain untuk tujuan peribadi semata-mata.

Walaupun diingatkan berkali-kali, sebilangan aktor politik masih gemar bermain dengan sentimen yang boleh menimbulkan persepsi dan kekeliruan di kalangan rakyat khususnya terkait institusi beraja, perkauman mahupun agama (3R).

Oleh yang demikian, MBM menjunjung kasih ke atas titah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibn Al-Sultan Abdullah Ria’ayatuddin al-Mustafa Billah Shah supaya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas dalam isu ini.

MBM mengingatkan kepada semua parti dan ahli politik untuk meletakkan batas jelas supaya tidak bermain dengan isu yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara dan menjunjung tinggi pada setiap masa kedudukan institusi diraja selaras dengan Perlembagaan Negara serta prinsip Rukun Negara.

MOHD IZZAT AFIFI ABD HAMID ialah presiden Majlis Belia Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS