Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Pupuk minat reka cipta pelajar melalui inovasi hijau

Era pemodenan berserta teknologi dunia yang pesat mempengaruhi gaya hidup manusia. Secara lumrahnya, seiring dengan perubahan gaya hidup, keperluan dalam memenuhi kehendak adalah berbeza-beza. 

Hal ini memberi impak dan mempengaruhi permintaan dalam penciptaan produk yang dibangunkan oleh pereka cipta. Dalam erti kata lain, pelbagai produk dicipta, yang bersesuaian dengan fungsi terkini. 

Dalam konteks pembudayaan penciptaan produk, terdapat beberapa elemen yang perlu dipertimbangkan. Elemen kreatif dan inovatif adalah penting dalam menghasilkan produk yang mempunyai fungsi, nilai dan menepati keperluan. 

Hala tuju Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 antaranya menggariskan aspirasi murid dalam pembangunan kemahiran berfikir secara kreatif, inovatif dan kritis. Ia juga bersesuaian dengan teras Malaysia Madani, iaitu nilai daya cipta. 

Pengukuhan nilai daya cipta di peringkat sekolah dapat memupuk minat dan mempertingkatkan elemen kreativiti dalam kalangan pelajar. Di samping itu, program-program sokongan yang melibatkan daya cipta dapat membangun dan membimbing minat pelajar dalam penciptaan sesuatu produk. 

Dalam memastikan pelajar memiliki kemahiran berfikir aras tinggi, nilai ini perlu disemai daripada peringkat akar umbi dan dibuat secara berterusan. Kebolehupayaan pelajar mencipta produk dapat memberikan petunjuk keupayaan nilai daya cipta hasil bimbingan dan pembelajaran yang dilalui. 

Dalam konsep penciptaan produk, elemen penghasilan prototaip adalah salah satu kaedah dalam menilai sesuatu produk, sama ada ia menepati reka bentuk dan mematuhi fungsi yang telah ditetapkan atau tidak. 

Dalam memenuhi hasrat memupuk dan membimbing minat reka cipta, penggunaan bahan kitar semula amat bersesuaian sebagai bahan dalam pembangunan prototaip. 

Tanpa menggunakan modal yang tinggi, budaya inovasi ini dapat dikembangkan melalui penggunaan bahan kitar semula, atau diistilahkan sebagai inovasi hijau. 

Bahan kitar semula adalah seperti bekas makanan, botol minuman, surat khabar, kotak, majalah dan kain. Penggunaan bahan kitar semula ini juga dapat dikategorikan sebagai produk akhir jika ia dapat digunakan secara langsung dan mematuhi kebolehfungsian yang diperlukan.

Konsep mereka cipta produk bermula dengan mengenal pasti masalah. Proses ini amat penting bagi mendapat idea reka bentuk produk yang bersesuaian. Peringkat ini dinamakan sebagai reka bentuk konseptual. Dalam proses ini, beberapa  reka bentuk dipertimbangkan untuk dianalisis berdasarkan faktor-faktor yang berkaitan. 

Selain itu, proses ini turut mencakupi aktiviti mendapatkan maklumat daripada sumber lain, membangunkan idea melalui konsep peta minda serta mengukur dan menilai konsep melalui teknik bersesuaian. Proses awalan yang dilaksanakan seharusnya dapat menggilap keupayaan individu untuk berfikir secara kreatif, dan dapat memastikan idea yang diperoleh adalah sesuai dan dapat menyelesaikan masalah yang dikenal pasti.  

Seterusnya, ia melalui peringkat reka bentuk penjelmaan. Peringkat ini kebiasaannya mempertimbangkan tiga elemen iaitu seni bina produk, reka bentuk konfigurasi dan reka bentuk parametrik. Proses pengaturan komponen, pemilihan bentuk/dimensi komponen, pemilihan reka bentuk optimum dan lain-lain dilaksanakan pada peringkat ini. 

Peringkat reka bentuk ini dapat menguji kebolehan pelajar untuk membuat pemilihan berdasarkan perbandingan reka bentuk. Ia sekali gus dapat menilai keupayaan pelajar berfikir secara kritis melalui hasil, dan membuat pengesahan hasil akhir yang terbaik dan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. 

Peringkat terakhir dalam reka bentuk produk adalah reka bentuk terperinci. Peringkat ini memerlukan lukisan akhir, jenis dan bilangan komponen lengkap, kenal pasti kos dan semakan akhir. 

Peringkat-peringkat reka bentuk ini sesuai untuk diaplikasikan dalam mengembangkan minat pelajar, mengenal keupayaan pelajar dalam penciptaan produk dan mengembangkan bakat reka cipta. 

Pelbagai fungsi dan penggunaan produk daripada bahan kitar semula dapat dikenal pasti. Penghasilan produk ini juga dapat dikomersialkan sekiranya mempunyai nilai estetik yang tinggi. 

Ia juga dapat mendidik pelajar untuk cintakan alam sekitar, dan menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) untuk kesejahteraan kehidupan dunia pada masa hadapan. 

Pembudayaan reka cipta adalah amat penting dan pengukuhan perlu dilaksanakan seawal pengajian secara formal. Dengan mengadaptasi penggunaan bahan kitar semula, penghasilan produk melalui inovasi hijau dapat melestarikan budaya reka cipta dan mencipta bakat reka cipta ternama.


PROF MADYA DR AHMAD MUBARAK TAJUL ARIFIN adalah ketua jabatan Keusahawanan, Daya Usaha dan Inovasi dan Sastera Liberal, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS