BELASUNGKAWA | Pertubuhan Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak) merakamkan rasa dukacita tidak terhingga atas pemergian Datuk Haji Sulaiman Abdullah, salah seorang peguam terkenal Malaysia dan bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia.
Haji Sulaiman adalah Penasihat Undang-Undang Gerak sekian lama, sejak Gerak didirikan pada tahun 1993. Bahkan sebelum itu, kami meminta nasihatnya ketika mempersiapkan rancangan konstitusi Gerak.
Persahabatan kami sebenarnya bermula pada tahun 1985 ketika beliau bersetuju untuk menjadi peguam bela kepada Persatuan Kakitangan Akademik dan Pentadbiran Universiti Sains Malaysia (PKAPUSM) secara pro-bono.
Pada saat itu, pentadbiran USM telah mengambil tindakan disiplin terhadap presiden dan naib presiden persatuan kerana menyuarakan pandangan para ahli akademik yang prihatin. Mereka dianggap melanggar peruntukan dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
Namun kami merasakan bahwa pentadbiran USM yang telah melanggar peruntukan dalam Auku dan membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk semakan kehakiman, dengan alasan Jawatankuasa Disiplin USM telah bertindak sewenang-wenangnya dan tidak mengikut prosedur yang betul.
Perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memakan masa sekitar dua tahun dan Haji Sulaiman sentiasa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang setiap kali perbicaraan.
Pada saat itu, beliau dibantu oleh seorang peguam pelatih, saudara Sivarasa Rasiah yang kemudian menjadi peguam terkenal dan ahli parlimen.
"Krisis USM" menarik peguam-peguam hebat dari kedua-dua belah pihak; peguam-peguam yang telah mula mengukir reputasi mereka. USM mendapat khidmat Almarhum Raja Aziz Addruse, bekas presiden Majlis Peguam Malaysia dan kemudian menjadi peguam utama untuk Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas yang telah dipecat pada tahun 1988 – yang menyebabkan krisis kehakiman di Malaysia.
Kami di PKAPUSM ada Haji Sulaiman di pihak kami.
Secara kebetulan, kedua-duanya kemudian menjadi peguam utama untuk pasukan pembelaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Raja Aziz utuk perbicaraan liwat pertama manakala Haji Sulaiman dalam perbicaraan liwat kedua.
Berkat dedikasi, kerja keras dan jasa tak ternilai yang diberikan oleh Haji Sulaiman dan pasukan beliau, pihak kami akhirnya menang perbicaraan kes tersebut pada tahun 1988.
Hukuman berat dan tidak adil yang dijatuhkan oleh USM kepada presiden dan naib presiden PKAPUSM selama lebih dua tahun dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang dan USM diarah membayar ganti rugi.
Sehubungan itu pada tahun 1989 pihak PKAPUSM menganjurkan Persidangan Akademik Kebangsaan Pertama di Universiti Sains Malaysia. Haji Sulaiman merupakan salah seorang pembentang di persidangan tersebut. Beliau membentangkan kertas kerja bertajuk “Memahami Pendemokrasian Dalam Universiti”.
Persidangan tersebut juga meluluskan resolusi untuk menubuhkan sebuah persatuan akademik kebangsaan, yang mana pihak PKAPUSM ditugaskan untuk menjadi sekretariat dan jawatankuasa pro-tem sebelum didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan.
Dalam tempoh awal ini juga Haji Sulaiman banyak membantu dari segi nasihat perundangan dan sentiasa memberi motivasi kepada jawatankuasa pro-tem. Dalam pada itu beliau juga bersetuju untuk menjadi penasihat undang-undang persatuan baru itu.
Akhirnya pada tahun 1993 apabila Gerak didaftarkan sebagai persatuan berdaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan, Haji Sulaiman menjadi penasihat undang-undang kami selama 20 tahun, sehingga kesihatan beliau tidak mengizinkan. Gerak akan selama-lamanya berhutang budi kepada Haji Sulaiman kerana telah mendampingi kami selama ini.
Di saat Gerak meneruskan perjuangan untuk reformasi akademik, kami teringat akan kata-kata yang sering disampaikan oleh Hj Sulaiman kepada kami: “All Vice-Chancellors do not die, but they only lose their faculties”. Al Fatihah.
PROFESOR WAN MANAN WAN MUDA adalah pengasas Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.