Paling Popular
Terkini

SURAT | Pertamanya izinkan patik menjunjung kasih ke bawah Duli Tuanku Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan memohon ribuan ampun atas warkah yang dibuat secara terbuka dan tentunya tidak sempurna ini.

Nama patik Mohamad Ezam Mohd Nor, kelahiran Selangor dan satu-satunya rakyat negara ini yang dipenjarakan diatas kesalahan membongkar dokumen rasuah di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). Ada beberapa pemimpin dan rakyat didakwa dan dihukum dibawah OSA tetapi dikenakan denda sahaja.

Tentunya apabila tersebar di media berita kesungguhan dan komitmen DYMM Tuanku melawan rasuah dan perasuah beberapa hari lalu, patik menjadi antara rakyat yang paling gembira menerimanya.

Rasuah adalah musuh nombor satu negara - itulah keyakinan patik dan diperteguh semasa dipenjara apabila membaca buku karangan Prof Buya Hamka bertajuk Tuan Direktur yang memaparkan kisah rasuah dan di dalam buku itu dinukilkan Hadis Rasulullah SAW Riwayat Tarmidzi di mana Baginda Rasulullah sendiri menyebut cabaran umatnya adalah harta (termasuk rasuah).

Makanya amat bertepatan sekali apabila menggambarkan keutamaan DYMM Tuanku menjadi Agong nanti , DYMM Tuanku meletakkan secara jelas dan tegas melawan rasuah dan perasuah adalah agenda utama Tuanku. Daulat Tuanku!

Namun sebagai rakyat yang pernah melalui jalan yang panjang dan pelbagai dalam usaha melawan rasuah ini, patik mohon memberikan gambaran sebenar gejala rasuah yang sudah membarah di negara ini.

Sudah menjadi rahsia umum rasuah amat berleluasa di kalangan elit-elit politik negara ini. Namun perlu juga diketahui, elit-elit pentadbiran malah elit-elit kalangan kerabat di istana juga berleluasa amalan rasuah dan salah guna kuasa ini.

Makanya negara amat-amat memerlukan komitmen jelas dari orang nombor satu negara sendiri DYMM YDPA untuk melakukan ikhtiar yang bersungguh-sungguh melawan rasuah dan perasuah.

Perdana menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman menubuhkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada tahun 1967. Perdana menteri ke-5, Tun Abdullah Badawi melakukan perubahan besar termasuk pindaan Akta BPR ke SPRM sesuai dengan cabaran rasuah yang semakin kompleks dan mencengkam pada 2008.

Patik terbabit dalam usaha awal perubahan BPR ke SPRM dan sertai kerajaan pada masa itu atas tujuan itu. Bersama SPRM yang diketuai Tan Sri Abu Kassim Mohamed ketika itu, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) diketuai Tan Sri Abu Zahar Ujang (Tan Sri Azam Baki Ketua SPRM sekarang pada masa itu pegawai kanan yang memain peranan besar), patik berusaha sedaya upaya khususnya pindaan khusus undang-undang tertentu dan pelaksanaannya.

Namun elit-elit politik dan pentadbiran yang korup menghambat usaha tersebut. Patik tinggalkan kerajaan dan berusaha menubuhkan sebuah parti politik yang perlembagaannya khusus bermatlamat melawan rasuah. Tetapi digagalkan oleh elit-elit politik pada masa itu.

Patik mencuba tiga kali dengan menggunakan tiga nama; Parti Bebas Rasuah, Parti Negara, Parti Integriti pada tahun 2016, 2018 dan 2019. Kesemuanya ditolak oleh tiga perdana menteri yang berbeza.

Semoga di bawah naungan DYMM Tuanku menjadi YDPA nanti, cita-cita mewujudkan sebuah parti politik yang hanya fokus membasmi rasuah akan tercapai. Kewujudan parti khusus melawan rasuah ini penting kerana sebagai parti dengan satu fokus tunggal (melawan rasuah), ia akan kekal kecil dan tidak tertumpu kepada soal mendapat posisi dan kuasa.

Tidak dinafikan, parti-parti besar juga ada yang mempunyai agenda memerangi rasuah, sepertimana lebih jelas di bawah pentadbiran perdana menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi percaturan kuasa banyak menghambat usaha beliau. Makanya kabinetnya sendiri tidak terlepas terdiri daripada beberapa nama yang terpalit dengan jenayah rasuah.

Akhir kalam, izinkan patik merafak sembah tahniah di atas pertabalan DYMM Tuanku sebagai Yang Dipertuan Agong yang ke-17 dengan iringan doa DYMM Tuanku terus diberi kekuatan, taufik dan hidayah menjadi Raja Pemerintah yang jelas dan tegas memerangi rasuah di negara ini.

Rasuah adalah jenayah dan mesti ditangani tanpa kompromi.Dalam Sirah Rasulullah SAW dalam Perang Khaybar Rasullullah SAW perlihatkan kepada kita rasuah dan memakan harta negara bukan sahaja jenayah tetapi jenayah paling jijik apabila baginda enggan bersama solat jenazah seorang sahabat yang mencuri harta negara.

Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun.


MOHAMED EZAM MOHD NOR

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS