Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Konflik harimau dan manusia: Tingkatkan populasi haiwan mangsa

Konflik antara manusia dengan harimau yang semakin meningkat akhir-akhir ini telah mencetuskan kebimbangan besar terhadap keselamatan penduduk dan kelangsungan hidup harimau Malaya yang diancam kepupusan.

Baru-baru ini, terdapat beberapa kes yang dilaporkan berkenaan harimau yang menyerang haiwan ternakan penduduk kampung pada waktu malam. Pada hujung bulan Ogos, seekor harimau dilihat menyeberangi jalan raya di Pahang.

Dalam sebuah video yang tular pada 26 September yang lalu, kelihatan seekor harimau berjalan di jalan raya menuju ke Gua Musang-Jeli.

Dalam kejadian terbaharu yang berlaku pada awal bulan ini, seorang orang asli dari Pos Pasik, Kelantan maut dipercayai dibaham  harimau semasa keluar menyumpit seorang diri di kawasan ladang kelapa sawit.

Walaupun masih terdapat banyak kawasan hutan di Malaysia, harimau yang secara semula jadinya hidup bersendirian dan lebih gemar menjauhkan diri daripada manusia, terpaksa keluar daripada kawasan hutan untuk mendapatkan keperluan asas - makanan untuk hidup. 

Faktor utama yang mendorong harimau keluar daripada habitatnya adalah disebabkan kekurangan makanan di dalam hutan.

Spesies yang menjadi makanan kegemaran harimau ialah rusa, yang mampu membekalkan tenaga kepada harimau bagi tempoh beberapa hari.

Sungguhpun begitu, bilangan rusa di hutan semakin berkurangan. Babi hutan yang selama ini menjadi makanan utama harimau juga semakin berkurangan akibat jangkitan penyakit African Swine Fever.

Disebabkan krisis kekurangan makanan yang berlaku, harimau terpaksa keluar dari habitatnya untuk mencari sumber makanan alternatif, seperti haiwan ternakan, yang mencetuskan konflik harimau dengan manusia. 

Apabila konflik berlaku atau terdapat harimau yang mengancam keselamatan, Jabatan Perhilitan tidak mempunyai banyak pilihan selain memasang perangkap bagi memindahkan haiwan daripada kawasan tersebut dan menempatkannya di salah satu fasiliti yang dimiliki oleh Jabatan Perhilitan.

Jika perkara ini berterusan, bilangan harimau Malaya di habitat semulajadi akan menjadi semakin berkurangan. 

Dua perkara utama yang perlu diambil perhatian dalam menangani konflik harimau-manusia adalah - yang pertama,melindungi nyawa manusia.

Kedua, meningkatkan populasi spesies mangsa harimau - agar harimau memperoleh sumber makanan yang diperlukan bagi menjamin kelangsungan hidup mereka.

Dengan menggabungkan langkah pencegahan dan usaha bersepadu untuk meningkatkan populasi spesies mangsa, kita boleh mencapai keseimbangan agar keselamatan manusia, dan spesies ikonik negara ini dapat dilindungi dengan baik dalam ekosistem semula jadi mereka. 

Langkah pencegahan

Menghentikan atau mencegah konflik harimau-manusia sebelum ia berlaku merupakan cara terbaik untuk menangani konflik ini.

1) Mewujudkan dan mengekalkan sistem amaran awal untuk memberitahu komuniti tentang kehadiran harimau di kawasan sekitar:

  • Memasang alat pengesan pergerakan dan perangkap kamera yang boleh mengesan pergerakan harimau.

  • Membangunkan rangkaian komunikasi komuniti untuk menyampaikan amaran dengan segera.

2) Menggalakkan penduduk kampung untuk menjalankan amalan pengurusan haiwan ternakan yang baik: 

  • Membina kandang yang kukuh untuk haiwan ternakan dan memastikan haiwan ternakan berada di kandang pada waktu malam.

  • Mengelakkan haiwan ternakan dari berkeliaran berhampiran pinggir hutan dan memasuki hutan, atau membina kandang berhampiran pinggir hutan kerana ini boleh menarik perhatian harimau atau haiwan pemangsa lain.

  • Membuat pemantauan terhadap pergerakan haiwan ternakan dari masa ke semasa.

3) Melaksanakan langkah pencegahan untuk menghalang harimau daripada mendekati kawasan penempatan penduduk:

  • Pencegahan visual: Memasang lampu yang cerah di sepanjang laluan dan berdekatan dengan kandang haiwan ternakan. Membersihkan semak-samun di kawasan kandang, kampung atau kebun yang boleh menjadi tempat persembunyian harimau.

  • Pencegahan akustik/bunyi: Gunakan peralatan yang mampu menghasilkan bunyi yang kuat, seperti hon angin (air horn) untuk menghalau harimau. 

4) Menjalankan program kesedaran secara berkala untuk mendidik penduduk kampung tentang tingkah laku harimau, habitat mereka, dan sebab di sebalik pergerakan mereka ke kawasan penempatan penduduk.

  • Menekankan kepentingan tentang kewujudan bersama (coexistence) dan bagaimana tindakan yang bertanggungjawab boleh menyumbang kepada keselamatan manusia serta pemuliharaan harimau.

5) Mewujudkan peronda komuniti untuk mengawasi dan melaporkan jika kehadiran harimau dikesan di kawasan kampung:

  • Melatih sukarelawan di kawasan tersebut tentang kelakuan harimau dan amalan perondaan yang selamat.

  • Bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk penyelarasan dan laporan yang efektif. 

6) Mencadangkan pelaksanaan program insurans haiwan ternakan:

  • Jika terdapat kes harimau menyerang haiwan ternakan, penduduk yang mempunyai insurans boleh mendapat pampasan, seterusnya mengurangkan kerugian yang dialami mereka. Hal ini dapat memupuk sikap yang lebih positif terhadap pemuliharaan harimau.

7) Membangunkan pelan tindak balas kecemasan yang komprehensif sekiranya bertembung dengan harimau: 

  • Mendidik penduduk kampung tentang tindakan segera yang perlu diambil, seperti mencari kawasan perlindungan di kawasan yang selamat.

  • Mewujudkan saluran komunikasi dengan pihak berkuasa tempatan untuk respons segera.

Dengan melaksanakan langkah-demi-langkah pencegahan ini, komuniti boleh menyumbang secara aktif untuk mengurangkan kejadian konflik antara manusia dan harimau, dan pada masa yang sama menggalakkan kewujudan bersama dan memelihara populasi harimau Malaya yang semakin terancam. 

Walaupun langkah berjaga-jaga adalah penting, namun ia tidak dapat menyelesaikan konflik manusia dan harimau sepenuhnya.

Segera tingkatkan populasi makanan rimau

Tindakan untuk meningkatkan populasi spesies mangsa harimau perlu dilaksanakan dengan segera. Dengan meningkatkan populasi spesies mangsa semula jadi harimau seperti rusa dan babi hutan, kita dapat mewujudkan ekosistem yang lebih sihat serta dapat mengurangkan keperluan harimau untuk memasuki kawasan penempatan penduduk bagi mencari sumber makanan. Ini bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan penduduk dan melindungi haiwan ternakan mereka, malah dapat memastikan integriti ekologi hutan terjaga dan seterusnya memberi manfaat kepada pelbagai spesies lain. 

Untuk menangani kesan jangkitan African Swine Fever terhadap populasi babi hutan, satu   strategi pengurusan penyakit yang komprehensif perlu diwujudkan.

Kajian dan pemantauan populasi spesies mangsa yang berterusan adalah penting untuk menilai keberkesanan usaha meningkatkan spesies mangsa harimau. 

Walaupun kehadiran anak harimau yang direkodkan pada tahun 2020 sehingga 2022 merupakan petanda yang baik kerana ia menunjukkan harimau di hutan membiak, anak-anak harimau ini apabila dewasa, ia memerlukan ruangnya tersendiri untuk berkeliaran dan makanan untuk kelangsungan hidup.

Jika kita ingin memulihkan populasi harimau Malaya, kita perlu memastikan mereka mempunyai habitat yang selamat, luas dan makanan yang mencukupi.

Inisiatif seperti program penambahan spesies mangsa yang dilaksanakan di Taman Negeri Royal Belum dengan kerjasama Jabatan Perhilitan, Perbadanan Taman Negeri Perak, dan WWF-Malaysia merupakan satu langkah permulaan yang baik, namun dengan bilangan harimau Malaya yang dianggarkan kurang daripada 150 ekor, tindakan segera yang efektif perlu dilaksanakan secepat mungkin. 

Kita mesti mempercepatkan dan meningkatkan usaha untuk menambah populasi spesies mangsa harimau bagi mencegah konflik manusia dan harimau terus terjadi.

Ini bukan sahaja merupakan langkah penting dalam menangani konflik, tetapi juga membantu memulihkan keseimbangan ekologi, memulihara spesies yang diancam kepupusan, serta memupuk kewujudan bersama antara manusia dan harimau. 

Menyokong penuh saranan Datuk Dr John Payne dalam artikelnya “Best way to save the Malayan tiger” (The Star, 30 September 2023), tanpa campur tangan manusia, kita tidak boleh mengharapkan sesuatu spesies itu mampu pulih dengan sendirinya. Sekiranya aspek kritikal seperti kekurangan spesies mangsa dan kehilangan habitat tidak ditangani, usaha-usaha lain pemuliharaan harimau mungkin menjadi sia-sia.   

Untuk maklumat lanjut mengenai konflik manusia dan harimau, baca laporan penuh Living with Tigers: How to manage coexistence for the benefit of tigers and people  yang ditulis oleh Mike Belecky dan Smriti Dahal daripada Tigers Alive Initiative, WWF International. 


WWF MALAYSIA atau Tabung Alam Malaysia merupakan sebahagian daripada rangkaian WWF, sebuah pertubuhan bukan kerajaan antarangbangsa yang berusaha untuk memastikan kelestarian alam semula jadi bagi manfaat manusia dan hidupan liar.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS