Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Islam untuk semua, hanya PAS untuk ahli PAS sahaja

Saya mengamati ucapan saudara Howard Lee, anggota parlimen Ipoh Timur dan kenyataan balas yang dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi Md Nor, pemimpin tertinggi PAS dan menteri besar negeri Kedah.

Ucapan saudara Howard Lee di Tiktok yang tular baru-baru ini dikatakan menimbulkan kegusaran di kalangan umat Islam kerana didakwa mengungkapkan terjemahan ayat suci al-Quran dari surah al-Nisa ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan Rasul serta Ulil Amri di kalangan kamu."

Anggota parlimen Ipoh Timur itu cuma membaca terjemahan ayat suci Al-Quran dan bukannya membuat tafsiran sendiri atau mensyarahkan ayat suci al-Quran tersebut. 

Howard bahkan membaca terjemahan tersebut dalam Bahasa Melayu.

Umat Islam sepatutnya merasa gusar dengan amalan dan perkataan yang keluar dari mulut orang Islam yang tidak selari dengan panduan ayat suci al-Quran, dan bukannya daripada orang bukan Islam seperti Howard. 

Masyarakat pelbagai kaum di Malaysia dan umat Islam khususnya wajar lebih risau terhadap golongan yang menggelar diri mereka agamawan atau yang menganuti parti beragama namun lebih mudah mentafsir ayat-ayat suci al-Quran berdasarkan nafsu dunia, emosi politik dan parti yang mereka anggotai.

Amanat Hadi Awang, fitnah Ahmad Dusuki Abd Rani terhadap Dr Mujahid Yusof berkenaan penjualan Tabung Haji (TH) kepada orang bukan Islam, fitnah Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria terhadap perdana menteri berkenaan LGBT, ketua Pemuda PAS Sik, yang mengeluarkan hukum masuk neraka kepada sesiapa yang mengundi BN dan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU15 dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan 'fatwa' haram mengundi calon PH dalam PRK Pulai baru-baru ini adalah contoh klasik betapa ucapan dan kenyataan golongan yang kononnya bergelar agamawan ini sebenarnya jauh lebih berbahaya berbanding apa yang dikongsi oleh Howard.

Howard bukan orang bukan Islam yang pertama yang cuba membaca terjemahan ayat suci al-Quran.

Sebagai umat Islam, kita patut menginsafi dan menyedari bahawa Islam adalah agama yang indah, sehingga keindahan tersebut mahu disebut-sebut, dijadikan panduan dan teladan oleh mereka yang bukan beragama Islam. 

Ini wajar menjadi kebanggaan kita dan bukan pula menjadikan Islam itu hak milik sesuatu bangsa sahaja sehingga hilang tarikan dan kecantikannya. Islam itu untuk semua, biarlah

PAS hanya menjadi milik anggota PAS sahaja.


NOR MISWARY RAMLI ialah setiausaha cawangan DAP Pusat Bandar Shah Alam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS