Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Merujuk kenyataan Presiden Mesyuarat Majlis Setiausaha-Setiausaha Politik Kerajaan Madani Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman menggantung tugas Anggota Parlimen Putrajaya Radzi Jidin kerana membidas perdana menteri dalam parlimen adalah tidak wajar. 

Interaksi antara anggota parlimen Putrajaya (Radzi) dan Tambun (Anwar Ibrahim) yang juga dalam sesi penggulungan Kajian Separuh Penggal (KSP), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu merupakan interaksi yang biasa berlaku dalam parlimen. 

Sekalipun jika terdapat sebilangan ahli parlimen di pihak kerajaan yang tidak senang dengan kenyataan Putrajaya tersebut, perdebatan antara ahli parlimen dalam dewan adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang perlu dihormati oleh semua pihak. 

Dalam sesi parlimen pada 19 September 2023, pertelingkahan antara kedua-dua ahli parlimen tersebut menyebabkan Putrajaya diarah keluar dewan. 

Tindakan ini dilihat amat tidak demokratik, sedangkan yang melakukan provokasi dengan mengeluarkan kenyataan tuduhan adalah berpunca daripada Tambun. 

Kenyataan balas Putrajaya dalam dewan pada ketika itu yang menyebut tentang kes jenayah, yang Tambun telah didapati bersalah sebelum ini juga merupakan fakta dan bukannya fitnah. 

Sewajarnya, tindakan berat sebelah Yang Di-Pertua Dewan Rakyat pada ketika sesi itu dan saranan untuk mengenakan tindakan disiplin kepada Putrajaya bukanlah tindakan yang wajar kerana ia menyekat kebebasan ahli parlimen untuk bersuara. 

Saya percaya menyekat suara ahli parlimen bukanlah "reformasi" yang ingin dibawa oleh kerajaan ketika ini.

Justeru sekiranya tindakan dikenakan kepada Putrajaya, ia bukan sahaja akan merencatkan proses demokrasi, tetapi juga penghinaan kepada Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi medan utama untuk membincangkan permasalahan umum dengan bebas. 


ZURAIDA KAMARUDDIN ialah timbalan presiden Muafakat Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS