Paling Popular
Terkini

SURAT | Tindakan Menter Besar Kelantan, Nasuruddin Daud, menggelarkan dua orang wakil rakyat dari PH dan BN di Kelantan sebagai penentang perjuangan Islam adalah salah satu sifat ghuluw (melampau).

Ia mempunyai unsur ekstrem dalam beragama dan mendekati takfiri.

Cukuplah pengajaran daripada pelbagai peristiwa gelap yang berlaku akibat amanat Banggol Peradong dijadikan pengajaran untuk menjadikan kita masyarakat yang lebih matang dalam mendepani perbezaan.

Berdasarkan statistik dalam PRU ke-15, daripada 15 juta pengundi berdaftar, lebih 10 juta mengundi untuk gabungan kerajaan perpaduan melalui PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ia kira-kira bersamaan dengan 65.8 peratus daripada keseluruhan jumlah rakyat Malaysia.

Jika mengambil sikap seperti menteri besar Kelantan, adakah kita ingin menyatakan bahawa jutaan pengundi PH-BN dulu juga adalah penentang perjuangan Islam?

Di Kelantan sendiri terdapat lebih 250,000 pengundi memilih untuk calon gabungan PH dan BN. Justeru adakah suku juta rakyat Kelantan itu semuanya bencikan perjuangan Islam?

Tokoh pondok Kelantan, Baba Zul - atau Ustaz Zulkarnain Haron - juga bertanding sebagai calon bebas menentang calon PAS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat.

Islam panduan, bukan tunggangan

Menganggap kekalah PAS sebagai kekalahan Islam adalah kesalahan besar. Di negeri yang PAS tidak memerintah, termasuk di peringkat persekutuan, Islam tetap berkembang dan kepentingan agama terus terbela.

Fakta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menunjukkan sekolah agama dan institusi tahfiz berdaftar jauh lebih banyak di Selangor berbanding di Kelantan.

Sebagai anak Kelantan yang menetap di Selangor, saya boleh akui program agama di masjid dan ruangan umum juga lebih kerap diadakan di sini dengan jumlah hadirin yang tidak kurang ramainya.

Di negara ini juga terdapat pelbagai NGO dan persatuan Islam bebas yang tidak bersama dengan PAS. Jasa mereka cukup besar termasuk dalam hal kebajikan, pembelaan ummah dalam negara dan antarabangsa, pendidikan serta pembangunan ekonomi.

Adakah kita hendak labelkan semua mereka itu penentang Islam kerana tidak menyertai PAS?

Jika kita membuka sedikit kefahaman Islam melangkaui retorik dan melihat kepada maslahah (kebaikan) maqasid syariah melalui dharuriyyah (keperluan asas), hajiyyah (kelapangan) dan tahsiniyyah (pembaikan/kesempurnaan), bolehkah kita katakan negeri yang menolak PAS sebagai kerajaan yang mengabaikan ketiga-tiga maslahah tersebut?

Telitilah latar belakang Adun Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim sebelum menghukum sama ada dia seorang penentang Islam seperti dilabel menteri besar, atau kata-kata tersebut merupakan fitnah semata-mata.

Akhir kalam, bersederhanalah dalam berpolitik.

Islam mengajar setiap pendakwah sebenar agar bersabar mengajak manusia ke syurga, bukannya menerakakan sesiapa saja yang tidak sealiran dengan kita.

Raikanlah perbezaan pendapat atas dasar fastabiqul khairat (berlumba-lumba membuat kebaikan) dan jadikanlah Islam sebagai panduan, bukannya bahan tunggangan untuk pangkat dan keuntungan dunia yang sementara.


MOHD SHAZWAN ialah pengundi DUN Panchor dan pembaca Malaysiakini yang menetap di Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS