Penulisan ini merujuk luahan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) berhubung isu perolehan rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM), sebagaimana laporan Malaysiakini berjudul "Anak seni kini ibarat kais pagi makan pagi, kata PTVM."
Janganlah mengharap buah dari pohon yang rendang. Selama ini RTM dianggap sebagai lubuk rezeki dari seorang penerbit dan pemain industri seni termasuklah sang pengarah, penulis, pelakon, jurukamera, krew produksi dan pihak yang berkaitan.
Dengar sahaja berita 'pitching RTM' berderu-deru perjumpaan antara sang penerbit, pengarah dan penulis.
Katanya, membincangkan sesuatu idea yang baru.
Tiga serangkai
Pun begitu, idea yang dikatakan 'fresh' (baru) itu, tidaklah sesegar manapun atas faktor sudut pandang seperti di bawah:
a) Penerbit melihat idea tersebut dari sudut margin keuntungan. Jika ditakrifkan dengan bahasa pasar/ awam (layman); berapa banyak aku boleh untung?
b) Pengarah melihat idea tersebut atas faktor menumpang populariti dengan bacaan; artis mana yang aku nak bekerjasama? Hasil daripada cerita ni harap-harap penerbit 'lain' nampak effort aku!
c) Penulis memerah keringat dengan idea hanya kepada faktor budget yang ditentukan oleh penerbit dan pengarah. Elemen cinta, mak mertua, harta, syarikat bapak adalah hasilnya.
Apa yang dilakukan oleh faktor 'tiga serangkai' ini secara tidak langsung memberi gambaran bahawa industri seni ini adalah hiburan semata-mata.
Jika saya jadi menteri sekalipun, desakan daripada artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini itu sekadar ibarat 'anak kecil menangis hendakkan barang mainan bukan kerana lapar’.
Buktinya; lihat sahaja kualiti drama atau program televisyen, adakah ia sesuatu yang memberi manfaat kepada masyarakat?
Ambillah salah satu teras dalam Malaysia Madani iaitu daya cipta. Ini tidak berlaku! Cerita masih sama, isu masih berulang-ulang. Itu belum lagi jika disentuh teras 'ihsan' dalam Malaysia Madani.
Presiden PTVM, Jurey Rosli (gambar, atas) adalah calon ahli parlimen bagi parlimen P.055 Lenggong. Come on! Sang Presiden.. bukan sekadar hal 'tak dapat job' daripada RTM yang perlu dibawa!
Asasnya atau spine adalah; adakah penggiat industri mampu memberikan sesuatu yang 'break through' dalam setiap karya yang dicipta?
Atau idea yang dikatakan 'fresh' itu sekadar mengisi perut mereka sahaja. Dan penonton disajikan dengan sesuatu yang tidak datang manfaat bagi mereka.
Lebih baik mereka memilih medium hiburan lain selain RTM, sebab penonton semakin bijak. Buktinya adalah peningkatan jumlah langganan streaming seperti Netflix dan Disney+ meningkat saban tahun.
Ini bermaksud penonton sudah tahu rancangan mana yang 'baik' untuk mereka.
Jadi mantapkanlah karya terlebih dahulu sebelum bicara soal perjuangan!
Percayalah, RTM bukan lagi pohon yang rendang dan sentiasa berbuah. RTM sudah menjadi pohon yang tinggi yang buahnya sangat berkualiti.
Hendak mendapat manfaat dari buah tersebut? Berusahalah dan sedarlah diri. Saya percaya jika kita sajikan sesuatu naskhah yang baik, kita tidak perlu lagi terkejar-kejar ke RTM.
RTM sendiri, malah stesen televisyen yang lain akan terkejar-kejar mencari kita dek kerana naskhah kita yang berkualiti.
PERAN MULIA ialah pembaca Malaysiakini.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.