Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Permainan politik kaum dan agama rugikan negara

Persatuan Kebajikan Komuniti dan Dialog merayu kepada semua pemimpin parti politik, mengambil sikap dan pendekatan sederhana dalam kempen pilihan raya negeri.

Seperti ketahui umum pilihan raya yang melibatkan negeri Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan Kedah, Kelantan dan Terengganu akan diadakan pada 12hb Ogos 2023.

Amat mendukacitakan bila isu kaum dan agama dipermainkan oleh parti politik tertentu dalam media sosial untuk menraihkan sokongan majority rakyat.

Politik yang berasaskan sentimen kaum dan agama mungkin boleh membawa kemenangan parti politik tertentu pada jangka masa yang pendek.

Namun, ia akan merugikan negara dari segi jangka masa panjang di mana perpecahan kaum yang menebal akan menggugat keamanan dan kestabilan negara.

Golongan yang paling akan merasai perpecahan ini ialah golongan muda dan parti politik yang sedia ada perlu bertanggungjawab dengan retorik negatif mereka.

Sebuah negara yang ingin kemajuan dan hendak mempertahankan kebebasannya perlu memupuk perpaduan rakyat supaya penduduk negara yang berbilang kaum dan agama dapat berdiri teguh bila kepentingan negara digugat oleh kuasa-kuasa asing yang mempunyai agenda tersendiri.

Kita perlu mengambil contoh dari negara timur tengah seperti Iraq di mana kuasa asing menguasai negara mereka dengan mengambil kesempatan daripada permusuhan dan perpecahan di antara penganut Syiah dengan Sunni.

Pemimpin jujur, hujah membina

Malaysia yang masih membangun memerlukan tenaga kemahiran dan ilmu pelbagai kaum untuk bersaing dari segi ekonomi dan teknologi di arena antarbangsa.

Negara Malaysia yang menghadapi pelbagai cabaran seperti kemiskinan desa dan bandar, kejatuhan mata wang, kekurangan pekerja mahir, inflasi, perubahan iklim, korupsi dan hutang yang mencecah sampai berbilion bilion ringgit memerlukan kerajaan yang kuat, kompeten dan stabil untuk menangani cabaran ini.

Pendekatan politik yang progresif, sederhana dan pemimpin jujur yang menentang rasuah habis-habisan amat diperlukan supaya pendapatan cukai dapat digunakan untuk memperkasakan kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial rakyat Malaysia.

Dengan ini, Persatuan Kebajikan Komuniti dan Dialog mendesak parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya negeri yang akan datang, supaya berkempen dan bertembung dengan hujah yang membina dan bukan mempermainkan sentimen kaum dan agama yang sempit.

Strategi perkauman dan agama yang sempit yang seolah-olah hanya ingin memenangi pilihan raya dengan apa cara pun tanpa menyedari kesan perpecahan kepada negara perlu dihentikan.


RONALD BENJAMIN ialah Setiausaha Persatuan Kebajikan Komuniti dan Dialog.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS