Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Perjalanan menuju ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bagi kerusi N05 Hulu Bernam menarik untuk diamati. Kerusi itu bukan sahaja menjadi tumpuan kerana berada di Selangor, tetapi insiden dalamannya yang begitu memberi kesan kepada PH dan BN.

Umno yang sudah bertapak lama di situ - iaitu sejak PRU pertama - tidak pernah tewas kepada mana-mana parti lain. Malah, ketika gelombang merah PH melanda Selangor pada 2018 yang menyaksikan PH menguasai 53 daripada 56 kerusi, Hulu Bernam kekal dalam genggaman BN walaupun dengan majoriti 20 undi.

Begitulah cengkaman kuat Umno dan tingginya stamina politik mereka di Hulu Bernam. Walaupun hampir tumbang tetapi BN bertahan meskipun hanya berbekalkan kelebihan cuma 20 undi.

Pengumuman pembahagian kerusi di Selangor akhirnya memutuskan bahawa Hulu Bernam diserahkan kepada Amanah-PH. Sebelum mencapai kata putus tersebut, adegan perebutan antara dua parti ini terpapar di media dengan masing-masing mengemukakan hujah mengapa mereka lebih layak diberi mandat untuk bertanding di situ.

Kedua-duanya mempunyai alasan kukuh dan make sense. Apa lagi Umno kerana sememangnya itu kerusi tradisi yang mereka boleh menang walaupun dalam suasana paling sukar.

Namun, atas nama kesepakatan dan rundingan yang saksama, Amanah diberikan laluan bertanding.

Pesan kena kerja kuat

Ramai menjangkakan akan berlaku protes besar-besaran dalam kalangan akar umbi. Biasanya akan ada adegan cabut bendera, menutup bilik gerakan, membakar bendera, sidang media protes dan tunjuk perasaan yang dirakam dan disebarkan.

Paling memberi kesan ialah apabila ada yang masuk bertanding sebagai calon bebas sebagai mesej tidak setuju dengan keputusan parti.

Namun semuanya tidak berlaku di Hulu Bernam.

Amanah dilaporkan sudah dari awal berpesan kepada ahli dan pimpinan setempat agar jangan ada sebarang tindakan provokasi atau menunjukkan keseronokan berlebih-lebihan sehingga melukakan kawan-kawan dalam Umno.

Sikap dan akhlak ahli sentiasa dipantau dan dijaga supaya tidak terlajak kata-kata khususnya di media sosial. Alhamdulillah, semua ahli patuh dan mendengar kata.

Sehinggalah ke hari penamaan calon, semuanya berjalan dengan baik. Paling mengejutkan ialah kehadiran bekas Adun Hulu Bernam sendiri, Rosni Sohar, yang jelas memberikan sokongan.

Ramai kalangan penyokong PH yang terkejut bercampur gembira dengan sikap positif yang ditunjukkan setiausaha Wanita Umno Malaysia itu.

Malah, Rosni mengambil kesempatan berucap menzahirkan sokongannya kepada calon PH-BN, Amran Sakir, dan berpesan supaya dia bekerja kuat untuk menang di Hulu Bernam.

Antara ucapan yang dibuat selepas penamaan calon Sabtu lalu - sekali gus memadamkan segala kecurigaan penyokong BN dan PH ialah: "Pemimpin akan datang dan pergi, tetapi perjuangan mesti diteruskan."

Rosni juga berkata: “Dengan gabungan ini, dengan semangat ini, dengan kerajaan Madani, kerajaan perpaduan, kita akan tentukan Hulu Selangor menjadi contoh kepada parlimen lain dan DUN lain."

Sehari kemudian Rosni menjemput pasukan kempen dan aktivis Amanah serta Amran sendiri untuk menyelaraskan operasi kempen dan gerak kerja di lapangan.

Sedia beri bantuan

Kelihatannya ahli politik berpengalaman itu sangat komited mahu memastikan PH-BN menang di Hulu Bernam.

Perkara yang menjadi senjata rahsia kemenangan mereka dikongsi bersama dan berulang kali dia menyatakan supaya semua jentera mesti bekerja keras untuk mengajak pengundi masing-masing keluar pada 12 Ogos ini.

Ternyata bukan semua dalam Umno yang disebut sebagai warlord itu sama seperti mana Noh Omar atau Annuar Musa.

Kalau nak dibandingkan, Tanjung Karang dan Ketereh itu masih diberikan kepada Umno untuk bertanding semasa 19 Nov tahun lalu tetapi keegoan membawa Noh dan Annuar membakar kelambu sendiri.

Berbeza dengan Rosni. Dia mempercayai ketentuan Allah mengatasi segala-galanya. Dia juga menyebut bahawa meranapkan apa yang sudah dibina sekian lama bukan pilihan terbaik.

Rosni turut menyampaikan pesanan dan berkongsi pengalamannya sebagai wakil rakyat selama dua penggal kepada Amran. Secara terbuka dia menyatakan rasa senang dengan karektor Amran Sakir yang rajin dan mudah dibawa berbincang.

Akhirnya dia menegaskan harapan yang sangat tinggi untuk melihat Hulu Bernam kekal di tangan BN-BH dan sentiasa terbuka untuk membantu bila-pada bila masa.

Itulah salah satu contoh yang boleh menjadi testimoni sikap dan keharmonian PH-BN untuk jangka masa panjang. Tahniah PH dan BN Hulu Selangor.


AZHAR RAHMAN ialah ketua Pasukan Bantu PRN Amanah Perak untuk Hulu Bernam.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS