Mungkin ramai mengatakan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan hilang deposit, tetapi berdasarkan kajian data di DUN Larkin, Johor Bahru jika sama terpakai, ia membahayakan Pakatan Harapan (PH) di DUN dengan peratus pengundi Melayu lebih 60%.
Saya membuat kajian di Larkin berpandukan score sheet daripada Suruhanjaya Pilihan Raya dengan melihat keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 lalu dan pilihan raya negeri Johor di pusat daerah mengundi (PDM), serta daftar pemilih. Hasilnya adalah seperti berikut:
1. Ramai pengundi Cina tidak turun mengundi dan menyebabkan PH hilang kerusi DUN Larkin, ditambah pula majoriti orang Melayu masih menyokong Umno di Johor Bahru sehingga sekarang. PH menang di Johor Bahru, itu pun dengan bantuan padu undi Cina, padahal majoriti Melayu di Johor Bahru masih menyokong Umno, dan dicabar oleh Perikatan Nasional (PN) di tempat kedua.
2. Pengundi Cina sedia ada pula memberi undi kepada PH dan Muda mengikut pecahan berikut:
Muda: 30%
PH: 47%
PN: 6%
BN: 17%
Berdasarkan peringkat umur pula; semakin muda umur, semakin menurun undi untuk PH dan menaik untuk Muda. Pecahannya adalah seperti berikut:
Sokongan pengundi Cina 18-20 tahun:
35% PH
37% Muda
2% PN
18% BN
Sokongan pengundi Cina lebih dari 56 tahun:
47% PH
39% Muda
4 % PN
10% BN
3. Sementara dari sudut sokongan Melayu di kampung pula adalah seperti berikut:
3% Muda
7% PH
34% PN
55% BN
Manakala, sokongan orang Melayu di bandar pula adalah seperti berikut:
8% Muda
7% PH
34% PN
45% BN
Peratus undian mengikut peringkat umur pula, sama graf seperti sokongan Cina tetapi dengan nilai yang jauh lebih rendah. Berikut peratus undi Melayu mengikut umur yang diperoleh parti yang bertanding:
Sokongan pengundi Melayu 18-20 tahun:
10% Muda
8% PH
30% PN
52% BN
Sokongan pengundi Melayu lebih 56 tahun:
5% Muda
6% PH
13% PN
66% BN
Saya tidak dapat keluarkan data orang India kerana mereka di sana sangat minoriti dan berada di merata-rata PDM.
Boleh lihat data di bawah untuk pemahaman lebih lanjut.
Daripada data di atas, ada kebenaran menurut ura-ura daripada orang PH bahawa parti Muda ditugaskan Dr Mahathir Mohamad untuk hancurkan PH, sementara PN pula segmen yang berbeza ditugaskan untuk musnahkan Umno.
Lihat saja, semua kerusi yang ditandingi parti Muda adalah kerusi sama PH bertanding, bukan Umno (kecuali Dusun Tua). Meskipun Muda bergerak solo, parti itu tidak akan hilang deposit pada PRN akan datang walaupun mereka dijangkakan akan kalah teruk.
Cuma, untuk PRN kali ini, mungkin senario 30% undi Cina untuk Muda tidak semestinya akan berlaku kerana banyak faktor perlu diambil kira mengikut kerusi tersebut dan banyak senario yang berlaku dalam tempoh 9 bulan selepas PRU15.
Bagaimanapun, Muda berpotensi untuk memperoleh 15% hingga 20% undi Cina dan 5% undi Melayu, khususnya 8% daripada anak muda pada PRN nanti. Jika ada sebahagian pengundi Cina protes terhadap calon atau situasi semasa, mereka mungkin akan membuang undi pada Muda daripada memberi undi pada PN. Data PRN Johor dan Melaka sebenarnya telah memberi gambaran kepada keputusan PRU15 jika ramai yang keluar mengundi.
Justeru itu, PH yang memegang 95% undi orang Cina dan sebahagian anak muda Melayu khususnya di Selangor perlu memastikan mereka ini turun mengundi seperti PRU15 dan tidak lari ke arah menyokong Muda, sebaliknya menyokong parti-parti Umno/PH bertanding kerana undi Melayu tidak dapat dipastikan berapa banyak yang bakal menyokong Umno/PH di Selangor.
Jika orang Cina kurang turun mengundi dan 15-20% daripada yang turun mengundi menyokong Muda, mungkin PN boleh mentadbir Selangor dengan merampas hampir semua kerusi 60% Melayu ke atas.
Saya sertakan PDM Melayu di kampung dan bandar, serta PDM Cina dan campuran:
PDM Melayu di kampung: Kampong Melayu Majedee I, Kampong Melayu Majedee II, Stulang Baru, Sepakat, Abad Jaya 2, Kebun The & Ulu Ayer Molek
PDM Melayu di bandar: Bandar Baru Uda, Uda Malinja, Jalan Datin Halimah, Rumah Pangsa Larkin, Larkin Jaya, Taman Skudai Kanan & Uda Mahsuri
PDM Cina: Taman Kebun Teh, Taman Melodies, Taman Abad, Abad Jaya 1, Abad Jaya 2 & Kebun Teh
PDM Campuran: Kampong Ungku Mohsin, Larkin, Taman Majedee & Taman Baru
ARIF ANWAR LOKMANOL HAKIM ialah penyelidik politik Malaysia di syarikat pemula Nusa Research Centre.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.