Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
SURAT | Alangkah baiknya robot masuk politik, jadi wakil rakyat

Kebangkitan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robot pada masa kini tidak dapat dielakkan lagi. Teknologi AI dan robot sudah mula mempengaruhi kehidupan seharian kita dan mengambil alih kebanyakan tugas dan tanggungjawab ramai pihak. 

Baru-baru ini kita didedahkan dengan berita mogok pelakon dan penulis skrip filem serta drama di California, Amerika Syarikat. Antara salah satu sebab kenapa mereka melakukan mogok adalah kerana penggunaan teknologi AI dalam industri perfileman yang menyebabkan mereka kehilangan pekerjaan. 

Perkara ini pun dijangka dari dulu. Sama ada kita suka ataupun tidak, AI akan menakluki banyak sektor pekerjaan. Tidak mustahil juga AI dan robot akan menakluki sektor politik juga. 

Jika difikir secara mendalam, memilih antara manusia atau AI dan robot, kita sudah pasti akan memilih AI dan robot sebagai wakil rakyat dan pemimpin kita. 

Tahap kepercayaan yang tinggi dapat diberikan kepada AI dan robot untuk melaksanakan sebarang jenis tugas atau tanggungjawab sebagai wakil rakyat atau pemimpin kita. 

Jika kita memilih manusia, kita akan sentiasa terdedah dengan pelbagai isu yang menyakitkan hati. 

Banyak isu yang melibatkan kelakuan buruk wakil rakyat dan pemimpin selama ini yang sedikit sebanyak mencemarkan reputasi institusi demokrasi negara serta menganggu gugat perjalanan proses pentadbiran negara. 

Antara yang paling hangat diperkatakan adalah isu yang lompat parti (sebelum wujudnya undang-undang larangan lompat parti), isu janji manifesto yang tidak dipenuhi, salah guna kuasa, rasuah, penggunaan bahasa kurang sopan ketika berbahas, ponteng tugas serta terlibat dengan kluster mahkamah. 

Ini ditambah lagi dengan perangai buruk ahli keluarga dan rakan-rakan mereka. 

Sekiranya pengundi tersilap memilih wakil rakyat atau pemimpin, tidak banyak pilihan yang boleh dilakukan melainkan menghantar surat aduan kepada pemimpin tertinggi dalam negara, muncul dalam media atau program berita untuk membuat aduan umum ataupun menunggu bertahun-tahun untuk proses pilihan raya bagi memilih wakil rakyat baru.

Dari sudut perundangan, tidak banyak pilihan yang ada bagi pengundi untuk singkirkan wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas ataupun tidak seperti diharapkan.

Rujukan umum boleh dilakukan kepada Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan mengenai isu ini. Perkara 48 memperuntukkan bahawa seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana- mana satu Majlis Parlimen jika dia adalah dan telah didapati atau diisytiharkan tidak sempurna akal, dia seorang bankrap belum lepas, telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas dan lain – lain lagi. 

Syarat yang hampir sama juga dipakai terhadap ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) peringkat negeri. 

Sekiranya kita memilih AI dan robot sebagai wakil rakyat dan pemimpin kita, kita tidak akan sentiasa terdedah dengan pelbagai isu buruk dan menyakit hati yang datang dari wakil rakyat dan pemimpin kita. 

AI dan robot tidak memiliki sebarang kepentingan konflik dengan sesiapa pun. AI dan robot tidak perlukan gaji serta elaun bulanan, yang sekali gus dapat jimatkan duit rakyat.

AI dan robot tidak akan terlibat dengan isu jenayah seperti penyalahgunaan kuasa ataupun rasuah. AI dan robot juga tidak akan terdedah dengan masalah kesihatan dan mampu berkhidmat kepada rakyat 24 jam buat selama-lamanya.

AI dan robot lebih bijak dan cepat membuat keputusan, tidak akan membuang masa berpolitik sepanjang masa sehingga menjejaskan tumpuan pada rakyat, lebih berdisiplin dan tidak akan ponteng kerja.

AI dan robot tidak akan membuang masa dengan cakap-cakap kosong di kedai atau warung, tidak melayan bodek dan tidak banyak kerenah. 

Kita boleh melihat semula Perlembagaan Persekutuan kita untuk melihat sama ada kita boleh membenarkan AI dan robot untuk terlibat dalam dunia politik kita. 

Jika tiada, kita boleh memberi pertimbangan untuk melakukan proses pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan untuk membenarkan AI dan robot untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin kita pada masa akan datang. 


MUZAFFAR SYAH MALLOW ialah profesor madya Fakulti Syariah dan undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS