Paling Popular
Terkini

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad mendakwa kekalahannya ketika pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disebabkan amalan rasuah.

Beliau mendakwa kehilangan lebih 14,000 undi gara-gara amalan itu.

Namun, ada ahli politik blok pembangkang menafikan dakwaan itu dan meminta Mahathir mengusulkan petisyen membantah kekalahannya itu.

Ketua Pemuda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, Mahathir sepatutnya membuat petisyen sekiranya mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan itu daripada membangkitkan isu tersebut kepada umum.

Mahathir ketika bertanding di Langkawi pada 2022

Tambahnya lagi, Mahathir perlu mengakui bahawa PRU15 dibuat secara adil dan bebas serta tuduhan itu disifatkan tidak berasas.

Kekalahan teruk Mahathir sehingga hilang wang deposit pada PRU15 perlu diamati oleh beliau.

Mahathir perlu menerima orang ramai tidak lagi memberikan sokongan kepadanya berbanding dahulu.

Rakyat mahukan pemimpin yang memiliki idea baharu dalam memperjuangkan kebajikan dan suara mereka.

Zaman Mahathir dianggap sudah berlalu dan beliau perlu menerima hakikat bahawa orang ramai tidak lagi mahu bergantung kepadanya sebagai wakil rakyat di Langkawi atau lokasi lain.

Kesihatan Mahathir juga berada pada tahap membimbangkan di samping usianya yang hampir menginjak 100 tahun.

Mahathir sepatutnya pada usia berkenaan perlu mengambil pendekatan menjauhkan diri daripada dunia politik yang kian mencabar.

Mahathir juga dilabel sebagai pemimpin politik yang menerapkan amalan nepotisme dalam pentadbirannya seperti didakwa oleh segelintir pihak.

Dakwaan demi dakwaan sedemikian yang dilontarkan terhadap Mahathir telah menjejaskan kredibiliti beliau sebagai pemimpin negara yang disegani suatu masa dahulu oleh rakyat Malaysia.

Malahan, beberapa polisi yang diterapkan ketika memegang jawatan perdana menteri ketujuh pada 2018 hingga 2020 dilihat gagal dan menyusahkan rakyat.

Janji-janji yang dilontarkan dalam manifesto PRU14 juga gagal dilunaskan oleh Mahathir sehingga mengundang kecaman orang ramai sehingga kini.

Di Langkawi, Mahathir gagal memperbaiki prestasi ekonomi di situ terutamanya dari segi peluang pekerjaan serta meningkatkan taraf hidup penduduk setempat.

Malahan, para pelancong juga semakin berkurang untuk berkunjung ke Langkawi akibat beberapa faktor yang gagal diambil perhatian oleh Mahathir seperti isu harga yang terlalu mahal serta masalah pengangkutan feri.

Kontroversi perkauman

Faktor kegagalan Mahathir yang paling penting adalah beliau kerap mencetuskan pelbagai kontroversi khususnya dalam soal perkauman.

Naratif perkauman beliau seperti melabel Melayu malas serta mengkritik kaum Cina yang menggunakan penyepit adalah antara punca Mahathir gagal mendapat tempat dalam kalangan pengundi.

Selain itu, tindakannya yang memecah belah parti dan melompat pelbagai parti sehingga menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menjejaskan kredibiliti Mahathir.

Sejak pilihan raya negeri (PRN) di Melaka, Johor dan Sarawak pada 2021, Pejuang hanya parti 'belasahan' dan ramai ahlinya hilang wang deposit.

Mahathir seharusnya sedar bermula titik itu, parti berkenaan tidak relevan untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya kerana diterajui oleh Mahathir dan anaknya, Muhkriz.

Rakyat tahu sekiranya mereka memilih Pekuang, maka tampuk pemerintahan negara akan diserahkan semula kepada Mahathir buat kali ketiga.

Situasi itu yang cuba dielakkan oleh rakyat kerana tidak mahu lagi kembali kepada zaman pemerintahan yang kurang menentu di bawah Mahathir seperti berlaku pada 2018-2020.

Tuntasnya, Mahathir harus berlapang dada menerima hakikat bahawa beliau bukan lagi pemimpin disegani seperti suatu masa dahulu.

Rakyat mahukan perubahan yang lebih baik untuk negara dan disebabkan itu, mereka memilih pemimpin lain untuk memperjuangkan kebajikan orang ramai.

Rakyat tidak memilih Mahathir bukan kerana rasuah tetapi tiba masa untuk bergerak ke hadapan demi kepentingan negara.

Mahathir perlu akui, zamannya telah berakhir dan beliau perlu mengambil inisiatif untuk berehat.

Tiada apa lagi yang perlu dikejar dalam dunia politik pada usia seperti Mahathir.

Mahathir perlu menjadi pemerhati sahaja dan berikan ruang kepada para pemimpin muda untuk mencorakkan pembangunan negara.


ASYRAF HAKIMI ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS