Harga makanan global telah jatuh sejak pertengahan 2022 disebabkan beberapa faktor, termasuk penerusan semula eksport dari pelabuhan Ukraine di bawah Inisiatif Bijian Laut Hitam (BSGI).
Indeks Harga Makanan Pertubuhan Makanan dan Pertanian merosot sebanyak 19.7 peratus tahun ke tahun pada April 2023 kepada 127.2 peratus.
Penganalisis data Trading Economics melaporkan bahawa di Kesatuan Eropah (EU), walaupun inflasi makanan telah menurun ia masih dalam angka dua digit – 15.04 peratus pada Mei berbanding 16.41 peratus pada bulan sebelumnya.
Dalam negara dengan ekonomi yang lebih besar di EU seperti Perancis dan Jerman, inflasi makanan masing-masing pada 13.6 peratus dan 13.4 peratus pada bulan Jun berbanding 14.3 peratus dan 14.5 peratus pada Mei.
Di negara-negara Eropah Timur, untuk bulan Mei, Poland mencatatkan inflasi makanan sebanyak 18.9 peratus daripada 19.7 peratus pada bulan sebelumnya, Republik Czech (14.5 peratus daripada 17.3 peratus sebelumnya), Bulgaria (14.38 peratus daripada 15.85 peratus sebelumnya) dan Romania (18.73 peratus daripada 19.84 peratus).
Di negara-negara Baltic, Estonia mencatatkan inflasi makanan sebanyak 19.5 peratus pada Jun daripada 20.4 peratus padabulan sebelumnya, manakala Latvia (14.4 peratus daripada 17.9peratus) dan Lithuania (14.4 peratus daripada 18.2 peratus).
Di United Kingdom, inflasi pada masa ini berada pada kadar 8.7 peratus pada Mei - tidak berubah dari April - tetapi harga makanan telah meningkat. Inflasi makanan mencecah paras tertinggi iaitu pada kadar 18.3 peratus pada Mei (19 peratus pada April).
Di Rusia pula, kadar inflasi makanan adalah 0.2 peratus (sangat rendah) pada Jun berbanding satu peratus pada Mei.
Sebagai perbandingan, mari kita lihat kadar inflasi makanan bagi sesetengah negara Asia Tenggara. Brunei dan Kemboja mencatatkan kadar inflasi makanan masing-masing 2.8 peratus dan 2.26 peratus pada April, manakala Malaysia dan Singapura dengan kadar 5.9 peratus dan 6.8 peratus pada Mei dan Indonesia dengan 2.85 peratus pada Jun.
Hanya dua negara Asia Tenggara yang mencatatkan inflasi makanan dua digit – Laos (42.73 peratus) dan Myanmar (18.43 peratus).
Bagi negara-negara yang mengalami inflasi makanan dua digit, tidak jelas bila harga makanan akan mula turun kerana terdapat pelbagai faktor yang perlu menjadi stabil sebelum ia berlaku.
Kebanyakan penganalisis berpendapat perang Russia-Ukraine perlu ditamatkan dan seterusnya diikuti dengan tempoh penstabilan semua kos lain yang dihadapi perniagaan makanan, sebelum sebarang pengurangan bermakna dalam inflasi makanan mula menjadi kenyataan.
Mereka juga berpendapat terdapat banyak sebab yang kompleks berhubung peningkatan harga makanan sejak tahun lepas.
Kos buruh, tenaga dan pengangkutan yang meningkat merupakan penyumbang utama kepada kenaikan itu, ditambah dengan perang Russia-Ukraine dan kesukaran pengeluaran yang disebabkan oleh keadaan cuaca yang teruk.
Perang Russia-Ukraine telah memberi kesan kepada komoditi seperti gandum, bijirin dan minyak sayuran, selain isu rantaian bekalan akibat wabak Covid-19 yang masih ada.
Ditambah pula dengan kos tenaga untuk mengeluarkan produk makanan serta kenaikan gaji akibat inflasi juga tidak membantu mengurangkan kos makanan.
Perniagaan kecil yang mengeluarkan dan menjual makanan yang merasai tekanan – ramai hanya boleh bertahan dengan meletakkan harga tinggi.
Dalam meneliti semua data dalam Trading Economics, kita dapat melihat beberapa kesimpulan yang menarik.
Pertama sekali, nampaknya terdapat trend penurunan umum dalam inflasi makanan di hampir semua negara bermula pertengahan tahun lepas apabila BSGI diperkenalkan pada Julai 2022, selepas kemuncak kenaikan harga makanan selama berbulan-bulan selepas perang Russia-Ukraine bermula pada Februari tahun itu.
Sekarang bayangkan jika Russia menarik diri daripada BSGI apabila ia tamat pada 17 Julai; trend menurun dalam inflasi makanan yang sedang dinikmati dunia sekarang pasti akan berbalik, mencetuskan krisis makanan global sekali lagi.
Trend penurunan harga makanan ini sangat kecil di negara-negara EU sehingga walaupun selepas kejatuhan harga makanan di sana, inflasi makanan kekal pada kadar dua digit, tidak seperti angka satu digit yang dialami oleh hampir semua negara Asia Tengggara kecuali Laos dan Myanmar.
Mengapakah kadar inflasi makanan negara-negara EU mirip dengan kadar inflasi negara-negara miskin seperti Ethiopia, Sierra Leone, Senegal dan Haiti?
Mungkinkah ia kerana sekatan mengejut yang dikenakan EU ke atas Russia telah menjadi semacam boomerang ke atas semua negara kesatuan itu, sehingga inflasi makanan mereka berada pada kadar dua digit manakala inflasi makanan Russia sangat rendah pada paras 0.2 peratus?
Perlu dinyatakan yang hampir semua negara Asia termasuk Asean, yang kebanyakannya tidak menyokong sekatan EU ke atas Russia, mencatatkan kadar inflasi makanan satu digit.
Bukankah ini alasan yang cukup kukuh untuk negara-negara EU tidak meletakkan halangan dalam eksport makanan dan baja Russia dengan memenuhi permintaan Russia untuk menarik balik sekatan ke atas eksport pertaniannya, supaya ia akan terus mengambil bahagian dalam BSGI dan lantas mengelakkan berlakunya krisis makanan sedunia?
Selain itu, dengan mengambil kira perang Russia-Ukraine perlu ditamatkan agar inflasi makanan akan berkurang secara bermakna, bukankah sudah tiba masanya untuk EU, yang majoriti ahlinya juga berada dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), untuk memberi tekanan kepada Amerika Syarikat memujuk Ukraine ke meja rundingan dengan Russia?
Dunia sudah cukup menderita akibat perang ini. Ia perlu ditamatkan.
JAMARI MOHTAR ialah editor bulletin berita dalam talian mengenai hal ehwal semasa, Jom Sembang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.