Kepada
YB Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi dan Digital.
Saya ingin menarik perhatian pihak YB bahawa saya telah ditamatkan perkhidmatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dengan notis tidak sampai 8 jam.
Penamatan itu dibuat dengan cara yang amat aneh lagi luar biasa.
Namun kerana dalam surat itu disebut penamatan tugas saya dibuat dengan kuasa menteri, justeru saya mohon keadilan dan berharap YB memberi penjelasan mengenai perkara-perkara di bawah:
Kenapa pemendekan perkhidmatan saya harus dibuat secara mengejut (dengan notis 24 jam), iaitu lima bulan sebelum tempoh perkhidmatan saya tamat?
Apakah kesalahan besar (atau kecil) yang saya buat sehingga saya diperlakukan sedemikian rupa?
Jika benar ada kesalahan, kenapa di dalam surat itu tidak menyatakan sebab-sebab atau alasan pemecatan saya?
Jika benar ada kesalahan, kenapa saya tidak dipanggil untuk memberi penjelasan dan membela diri sebelum tindakan diambil?
Apakah wewenang begitu sememangnya sesuai dengan prinsip Madani yang diamalkan kerajaan perpaduan?
Dalam kenyataan media, YB menyatakan keputusan pemecatan saya dibuat oleh Lembaga Pengarah Finas. Kalau betul, saya mahu YB nyatakan bilakah mesyuarat ahli perbadanan itu diadakan, dan apakah keputusan pemecatan saya dibuat ketika itu?
Surat pemecatan saya ditandatangani oleh Pengerusi Finas, Kamil Othman. Ketika menyampaikan surat tersebut kepada saya, Kamil menyatakan secara lisan bahawa keputusan pemecatan saya dibuat oleh YB sendiri. Ia ternyata bercanggah dengan kenyataan YB bahawa pemecatan saya dibuat oleh ahli Finas. Siapa yang bercakap benar dan siapa yang tidak bercakap benar? Siapa sebenarnya yang membuat keputusan memecat saya?
YB ada menyatakan - dalam wawancara dengan TV3 - bahawa penamatan perkhidmatan saya adalah dengan tujuan untuk penjajaran semula Finas dan membentuk hala tuju baru. Persoalannya, bagaimana YB beranggapan saya tidak mempunyai hala tuju sedangkan YB gagal untuk meluangkan masa mendengar pembentangan Plan Strategik 2022-2027?
Saya ada memohon janji temu pada 27 Mac 2023 dengan Setiausaha Sulit Kanan YB, Encik Asif, untuk membentang hala tuju Finas dan pendekatan baru dari segi penjajaran semula yang meliputi pengukuhan ekosistem dan pengantarabangsaan (FIMI, perluasan pasaran filem, penyertaan di pasaran filem, pemerkasaan kapasiti modal insan, dan peningkatan kualiti filem).
Kemudian dipersetujui bahawa pembentangan hala tuju Finas dibuat antara jam 4 petang hingga 5 iaitu selepas mesyuarat pascakabinet pada pada 12 April.
Namun demikian YB membatalkan perjumpaan tersebut dan tidak ada tarikh baru yang diberi sehinggalah perkhidmatan saya ditamatkan.
Apakah pemecatan saya ini dibuat berikutan pendedahan saya baru-baru ini mengenai 47 individu dan syarikat produksi yang gagal menerbitkan sebarang filem meskipun sudah menerima dana berjumlah kira-kira RM20 juta antara 2015 hingga 2019?
Apakah salah saya bertanya, kerana pendedahan itu juga turut melibatkan orang yang masih berkuasa dalam Finas sekarang?
Justeru saya mahukan jawapan dan penjelasan dari YB.
Untuk makluman YB, saya juga menyalinkan surat ini untuk perhatian perdana menteri.
Yang menuntut keadilan,
Md Nasir Ibrahim
Salinan kepada
YAB Perdana Menteri Malaysia
Datuk Seri Anwar Ibrahim
MD NASIR IBRAHIM ialah bekas ketua pegawai eksekutif Finas.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.