Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT l PN berhak pasang impian untuk tawan Selangor

SURAT l Pilihan raya ( PRN) enam negeri - Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelatan dan Terengganu - semakin menghampiri tarikh pembubaran.

Pemerhati dan penganalisis membuat pelbagai andaian mengikut selera masing masing.Maka saya terpanggil untuk turut membicarakan tentang PRN ini. Tumpuannya adalah Selangor.

Perikatan Nasional (PN) seperti tidak sabar-sabar mahu menempuh PRN sehinggakan Azmi Ali yang tiada hak dan kuasa, mengumumkannya lebih awal dengan meletakkan tanggal 19 Jun ini sebagai tarikh pembubaran DUN Selangor dalam satu ucapan di Tanjung Karang baru baru ini.

Saya yakin Menteri Besar Amirudin Shari hanya tersenyum mendengar pengumuman itu erana beliau yang ada hak masih berdiam dan bekerja untuk rakyat seperti biasa.

Itulah buktinya kegelojohan sentiasa ada pada Azmin Ali. Bercakap mengikut selera politik beliau. Apapun, bahang pilihan raya enam negeri makin panas suhunya.

PN sudah berlari kencang di Selangor untuk merealisasikan harapan menang. Serangan dari pelbagai sudut sudah dilaungkan.

Mereka melaungkan keyakinan dan mahu menjadikan Selangor tumpuan utama.

PN berhak memasang impian.

Orang buangan Umno, Noh Omar dan singa PN, Azmin yang kecundang di kubu kuat masing-masing semasa PRU15, kini diangkat menjadi tiang seri PN untuk merampas Selangor.

Di bahu mereka tergalas misi mustahil ini. Namun saya melihat politik Azmin semakin menuju ke penamatnya dan nasib politik beliau makin meruncing.

Kelibat dan bantuan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor juga ditagih untuk membantu Selangor. Beliau acap dijemput berceramah di Selangor dan digelar panglima dalam PRN kali ini. Populariti Sanusi amat diharapkan seolah-olah tiada orang Selangor yang boleh memenangi hati rakyat negeri ini.

Dibimbangi Selangor yang dikejar, Kedah yang akan tercicir nanti.

Dalam politik apa jua boleh berlaku.Jangan sokong membawa rebah nanti kerana gaya politik Kedah dan Selangor tidak sama dan arkitek politik juga harus memiliki idea baru bukan sekadar memainkan sentimen.

Daripada 56 kerusi DUN Selangor, Noh Omar melaungkan keyakinan akan mendapat 33 kerusi bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan PN di Selangor.

Mengambil kira kehadiran dan tepukan tidak mustahil PN seperti berada di tahap 100 peratus yakin menang.

Ribuan para penyokong parti gabungan PN bersorak di Tanjung Karang dalam satu perjumpaan baru baru ini. Maka tafsiran mereka, Selangor akan jatuh dan kerajaan negeri yang baru akan dibentuk. Itu angan-angan PN yang mengira sifir politik berdasarkan kehadiran.

Azmin juga menggunakan umpan yang sama dengan menyerang batang tubuh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas kedudukan dia pernah rapat dengan Anwar sebelum ini.

Modal lama,”hari ini kita menang,esok harga minyak turun”.

Melabelkan Anwar sebagai pembohong maka Azmin merasakan ia dapat melemahkan kerajaan Pakatan Harapan (Perpaduan) pimpinan Amirudin di Selangor.

Sebagai pemerhati saya melihat Azmin dan konco-konco alam PN cuba menjalankan kerja mereka sebagai pembangkang di Selangor dengan harapan rakyat akan termakan dengan “umpan” yang digunakan.

Sementara Amirudin selaku pemimpin nombor satu PKR dan PH di Selangor terus bekerja mendampingi rakyat dengan pelbagai program sejak dulu tanpa mempedulikan momokan dan serangan PN yang semakin bertali arus.

Budaya kerja untuk rakyat dipraktikkan Amirudin tanpa termakan dengan pelbagai serangan yang dilontarkan.

Soal asal usul tempat lahir menteri besar Selangor turut dijadikan bahan sedangkan rakyat Selangor menilai pemimpin yang berbakti dan bekerja untuk mereka. ikap Amirudin menerapkan budaya bekerja untuk rakyat menjadikan PAS tenggelam dengan angan-angan.

Terbaru, PAS yang kaya dengan perjuangan slogan mahu mengenengahkan slogan “Selangor Baharu” dan sesungguhnya rakyat Selangor bimbang dan khuatir Selangor akan terkebelakang dan dikaitkan dengan Kelantan yang dianggap semakin terkebelakang dalam banyak perkara.

Adun Sungai Tua itu dijangka mempertahankan kerusi beliau selepas menang dengan bergaya ke atas Azmin pada PRU15 lalu di Parlimen Gombak.

Azmin seperti tidak menyangka dia akan kecundang ternyata kecewa tidak dapat kembali ke dewan rakyat bersama sama rakan yang lain.

Azmin disebut-sebut enggan bertanding pada PRN kali ini. Jika benar, selamat bersara kepada beliau.

Jika Azmin serius dengan keputusan itu atau sengaja menguji pasaran politiknya,hanya dia yang tahu dan rakyat sedang memerhati sama ada ia kenyataan atau lakonan semata-mata.

Dari pemerhatian, bersungguh benar PN mahukan Selangor. Mengaitkan kononnya kegagalan kerajaan perpaduan dan mahu menjadikan sebab kenapa Selangor perlu ditumbangkan.

Setelah sekian lama mengemudi kerajaan negeri, rakyat Selangor selesa dan tidak ada sebarang masalah besar yang berlaku yang ditimbulkan oleh kerajaan PH.

Namun, itulah politik. Apabila mabuk kuasa maka kebaikan akan terus terselindung dan memburukkan lawan serta menjadikan isu-isu remeh sebagai modal membakar kemarahan rakyat untuk tujuan mendapatkan kedudukan dan kuasa.

Dalam hal ini, Amirudin adalah anak muda yang sudah terbukti mampu menjaga Selangor dengan baik selepas mengambil alih daripada Azmin.

Maka, tiada sebab Selangor perlu bertukar tangan kerana yang kita kejar belum tentu lebih baik malah adakalanya ia akan menjadi lebih teruk dan tidak dijangka. Apa untungnya kita berpolemik sedangkan dalam himpunan pemimpin PN adalah di kalangan mereka yang sudah kecewa kerana tiada tempat.

Bagaimanapun, sekutu PH dalam kerajaan perpaduan iaitu Umno akan diuji dalam PRN kali ini. Jika Umno berupaya meyakini rakyat maka PN akan mendapat tamparan paling teruk dan tidak mustahil PH/BN akan sapu bersih kerusi dun di Selangor.

Umno harus mengenepikan kecelaruan dalam parti.


DAHLAN MAAMOR adalah pemerhati dan wartawan politik. Dia pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Surat ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS