Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Gunakan bulan Ramadan untuk muhasabah diri

Situasi yang dapat diperhatikan semasa bulan Ramadan adalah rata-rata masyarakat Malaysia mengamalkan pertuturan serta perlakuan yang berhemah dan berbudi bahasa. Perwatakan dan sifat tersebut perlu disemai dan diteruskan pasca bulan Ramadan. Perlu ingat tiada guna jikalau seseorang menjaga ibadah tetapi tidak mengawal lidah.

Ini jelas dan selaras dengan konsep Malaysia Madani yang antara lain menekankan tonggak kesejahteraan dan hormat.

Perasaan marah dan emosi adalah sesuatu perkara yang biasa. Tiada individu di dunia ini yang tidak mempunyai ego tersendiri. Malah saya sendiri juga mengalami perasaan sedemikian apabila diuji. Namun, anggaplah ujian tersebut daripada Tuhan untuk menjadikan kita sebagai insan yang lebih baik.

Apa yang perlu dibuat adalah mengambil sedikit masa untuk memproses dan mengawal emosi kita untuk mengelakkan perbalahan yang menggunakan perkataan kurang sopan atau kesat.

Tidak dinafikan terdapat banyak video yang tular di sosial media yang kita sebagai rakyat Malaysian dapat melihat sendiri penurunan dari segi aspek moral dan akhlak yang ditunjukkan sesetengah lapisan masyarakat. Perlu ingat, kata-kata kesat, perlakuan kurang bermoral dan budaya terlebih liberal bukanlah cara orang Malaysia.

Justeru, saya menyeru kepada semua masyarakat Malaysia untuk mengutamakan soal budi bahasa, mengamalkan pertuturan dan tingkah laku yang berhemah dan murni. Ia tidak patut dihadkan kepada musim perayaan atau bulan Ramadan. Jadikannya satu amalan hidup seharian.

Dalam pada itu, wajar kita menggunakan bulan Ramadan sebagai panduan atau pedoman untuk mengeratkan lagi silaturahim dan perpaduan diantara kaum. Gunakan bulan yang suci ini untuk melakukan muhasabah diri. Ingat kepada orang yang lebih susah, menghulurkan pertolongan secara ikhlas dan jagalah tingkah laku serta pertuturan.

Apa yang telah dinyatakan ini bukan merupakan sesuatu yang baru atau asing. Perkara itu telah disemai dalam prinsip Rukun Negara. Berusaha untuk berbakti kepada Malaysia  yang tercinta.


YEAP MING LIONG ialah seorang penduduk Subang Jaya, Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS