Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masuk tahun ini, genaplah lima tahun Program MyBrain15 ini ditangguhkan perlaksanaannya. Bermula pada  zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 sehinggalah Pakatan Harapan melalui Kerajaan Perpaduan memerintah semula pada tahun ini. Sepanjang tempoh itu, sudah tiga perdana menteri bertukar baton, namun sub agenda pendidikan ini tetap bukan menjadi keutamaan. 

Saya adalah merupakan salah seorang pelajar yang pernah menikmati program tersebut semasa  menjalani pengajian peringkat sarjana. Memang tidak dinafikan, program ini telah memberi kelegaan  kepada pelajar-pelajar terutamanya pelajar matang dan sudah berkeluarga. 

Sebagaimana yang kita  maklum, kebanyakan pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat pascasiswazah adalah  terdiri dari pelajar matang dan berkeluarga. Terlalu banyak tuntutan dan komitmen selain dari  peruntukan untuk pengajian harus diutamakan oleh golongan ini. Hal ini telah menyebabkan golongan  ini sukar untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat seterusnya. 

Program MyBrain15  

Pada 2011, kerajaan ketika itu telah mensasarkan untuk melahirkan 60,000 rakyat Malaysia yang  menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan menghasilkan kajian dan penyelidikan yang  berkualiti tinggi serta dianugerahkan dengan ijazah PHD. Maka wujudlah program yang dinamakan  MyBrain15. Ia merupakan inisiatif kerajaan BN ketika bawah pimpinan bekas perdana menteri, Najib Razak. Ia telah ditubuhkan bertujuan untuk membiayai pelajar  yang layak menyambung pengajian ke peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD). 

Namun pada 27 Julai 2018, semasa pemerintahan PH, Maszlee Malik yang menerajui  Kementerian Pendidikan telah membuat pengumuman dengan menangguhkan pelaksanaannya untuk  tempoh tertentu yang tidak dinyatakan atas alasan kerajaan terdahulu meninggalkan hutang yang terlalu  banyak. Ini menyebabkan kerajaan ketika itu merasakan tidak boleh memberikan biasiswa kepada  sesiapa. Keputusan ini merupakan suatu tindakan yang tidak populis dan telah mencalar sedikit imej  kerajaan pada ketika itu. 

Golongan pelajar ketika itu agak tersentak dengan keputusan yang diambil oleh kerajaan kerana pada  ketika itu, kerajaan PH lebih dikenali sebagai mesra pelajar kerana agenda mereka tidak pernah  menyisihkan tentang agenda pelajaran untuk rakyat. Tambahan pula, Maszlee Malik juga datangnya dari  bidang akademik.  

Walaupun fokus kerajaan ketika itu adalah murni iaitu untuk memerangi rasuah dan ketirisan serta  memperbaiki ekonomi negara, namun sektor pendidikan seharusnya diperkasa dan dipastikan  kelangsungannya. Bukan dipotong peruntukannya. Pendidikan adalah suatu pelaburan masa depan  untuk negara. Masa depan negara kita bergantung pada generasi yang sedang kita didik sekarang ini. Jika  bobrok sekarang ini, maka bobroklah masa depan negara kita. 

Kesan Penangguhan Program MyBrain15 

Penangguhan program telah menyebabkan kesan domino di dalam institusi pendidikan kerana ianya  memang saling berkait. Kesan utama akibat dari penangguhan ini adalah ia telah membantutkan usaha  kerajaan dalam melahirkan 60,000 pemegang Phd menjelang 2015. Ini kerana, kos sara hidup yang tinggi  telah menyebabkan golongan pelajar memilih untuk bekerja demi kelangsungan hidup. Untuk  melangsungkan hidup pun sudah perit, apatah lagi untuk membuat peruntukan untuk belajar. Alamat, makan pasir sahajalah jawabnya. 

Akibat kurangnya minat untuk pelajar menyambung pengajian mereka, jumlah pelajar pasca siswazah juga  semakin menurun di university-universiti dan ianya telah memberi kesan kepada golongan pensyarah  pula. Ini kerana, proses penilaian pensyarah dalam memastikan prestasi mereka juga bergantung kepada kerja-kerja mereka dalam menyelia kajian dari pelajar-pelajar pasca siswazah. Jika kurangnya pelajar,  maka akan berkuranglah kajian yang boleh diselia dan kekurangan ini akan menyebabkan prestasi  pensyarah juga akan merosot.  

Ranking sesebuah universiti juga ditentukan oleh jumlah kajian yang telah dijalankan. Maka akibat  kemerosotan jumlah pelajar, ia juga akan menjejaskan prestasi universiti itu sendiri. Geran-geran  penyelidikan yang diperoleh oleh universiti juga sukar untuk digunakan akibat dari ketiadaan pelajar untuk  membuat kajian dan penyelidikan. Tiada gunanya geran-geran penyelidikan yang diterima jika tiada  penyelidik untuk memanfaatkan geran tersebut. 

Dari aspek pelajar yang masih lagi meneruskan pengajian walaupun tanpa bantuan, kehidupan seharian  mereka sangat survival. Ada yang terpaksa melakukan pekerjaan sampingan seperti membawa Grab dan  sebagainya demi memastikan peruntukan untuk membayar yuran pada tiap-tiap semester. Ada juga yang  terpaksa mengikat perut, lebih-lebih lagi pelajar-pelajar yang menuntut di bandar-bandar besar seperti  Kuala Lumpur. Jika tidak dicatu perbelanjaannya, maka tiadalah peruntukan untuk membayar yuran.  Sepatutnya golongan ini diraikan kerana kegigihan mereka dalam memberi sumbangan berbentuk kajian  ilmiah yang secara langsung menaikkan martabat negara. Malah, apa yang berlaku, golongan inilah yang  terpilih untuk disisihkan kerana pada firasat mereka, implikasinya tidak bersifat akut dan hanya akan  nampak kesannya 10-20 tahun akan datang. 

Cadangan Penambahbaikan 

Saya mewakili suara-suara pelajar-pelajar pascasiswazah yang lain menyeru agar pihak Kerajaan  Perpaduan mempertimbangkan untuk membuka semula Program MyBrain15 ini. Kami golongan pelajar  berasa amat yakin dengan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang sentiasa mesra dan dekat  dengan golongan pelajar ini. Bagi mengurangkan beban kerajaan untuk menjalan program ini, usahasama  dengan pihak swasta dan GLC amat diperlukan. Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan boleh  mengadakan sidang meja bulat dengan pemain industri serta GLC untuk membincangkan tentang mekanisme yang sesuai supaya mereka dapat sama-sama membantu mengisi tabung MyBrain15 ini.  

Pengecualian cukai serta insentif-insentif lain harus diberikan kepada syarikat-syarikat yang turut serta  membantu memperkasakan program ini. Bagi syarikat-syarikat besar, pemberian biasiswa kepada  pelajar-pelajar peringkat diploma dan sarjana muda bukanlah sesuatu yang asing bagi mereka. Mereka  mengadakan inisiatif ini adalah bertujuan untuk mendapatkan bekalan pekerja-pekerja mahir dan  profesional bagi kemampanan syarikat disamping dapat menikmati pengecualian cukai daripada kerajaan.  Inisiatif sedia ada ini boleh dikembangkan lagi ke peringkat seterusnya iaitu peringkat sarjana dan doktor  falsafah dengan membuat memperuntukkan bagi mengisi tabung MyBrain15 ini.

Kami berasa yakin, jika pihak swasta sama-sama membantu perkasakan program ini, ia mungkin dapat  menampung perbelanjaan program ini. Lagipun, manfaat yang bakal diterima hasil dari kajian-kajian dan  penyelidikan ini pun turut sama-sama dinikmati oleh pihak swasta juga. 


ABD MUTALIB ABD GAPAR seorang pemerhati bebas dan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS