Merujuk kepada beberapa laporan dan perkongsian di media sosial berkaitan satu acara hiburan "Thai Hot Guy" yang dirancang oleh Privacy Club di Jalan Tun Razak pada 30 Mac, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) mengambil pendirian tegas untuk menentang dan membantah sekeras-kerasnya penganjuran program ini.
Program seperti ini adalah merupakan sebuah program yang jelas bertentangan dengan adab, budaya dan tatasusila masyarakat di negara ini. Malahan, tarikh penganjuran iaitu pada 30 Mac adalah pada bulan Ramadan.
Ia adalah suatu tindakan yang menghina kesucian bulan Ramadan, tidak sensitif dan sangat biadab.
Pekida berpandangan program "Thai Hot Guy" yang menampilkan lelaki berpakaian perempuan sambil menyajikan minuman keras dan menari bukan sahaja bertentangan dengan norma dan budaya kita, malah ia juga jelas bertentangan dengan undang-undang negara.
Program seumpama ini juga mampu mengundang kepada kegiatan seks bebas dan seks songsang serta secara tidak langsung mempromosi dan mengiktiraf aktiviti golongan LGBT.
Pekida menyambut baik dan menyokong penuh tindakan pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia untuk tidak membenarkan penganjuran program ini.
Pada masa yang sama, Pekida Juga berharap agar siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti dalang acara ini dan memastikan penganjuran seumpama ini tidak lagi diulangi di masa akan datang.
Pekida turut berharap supaya pemantauan berterusan dan sikap tegas pihak berkuasa akan diteruskan apabila berhadapan dengan penganjuran program-program yang berunsur negatif seperti ini.
Pekida tidak mahu tindakan hanya diambil apabila menerima teguran daripada pemimpin negara atau apabila ia menjadi tular.
Ia seharusnya bersifat menyeluruh dan berterusan bagi memastikan gejala tidak bermoral dan bertentangan dengan budaya kita tidak meresapi pemikiran dan gaya hidup rakyat negara ini khususnya golongan muda.
Pekida ingin merakamkan ucapan tahniah dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Polis Diraja Malaysia atas keprihatinan dan ketegasan dalam menghalang penganjuran program "Thai Hot Guy".
Semoga ia menjadi pengajaran kepada pihak yang cuba mempromosi budaya songsang dan mencari keuntungan dengan penganjuran program tidak bermoral di dalam negara ini untuk tidak mengulangi perkara yang sama.
MOHD FOAD MAT ISA ialah presiden Pekida.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.