Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Kerajaan harus melaksanakan kempen di seluruh negara untuk menghentikan penghasilan serta penggunaan beg plastik bagi perniagaan sederhana dan kecil dan juga untuk para pengguna. 

Pada masa kini, beg plastik amat kerap digunakan di hampir semua negeri bagi tujuan membeli-belah kerana ia adalah percuma di banyak tempat dan mudah digunakan. 

Majoriti rakyat cenderung menggunakan beg plastik kerana penggunaan beg boleh guna semula leceh. Ia perlu dibawa bersama serta dibersihkan selepas diguna. 

Tetapi, seperti yang kita sedar, beg plastik tidak mudah mereput dan proses pereputan mengambil masa yang sangat lama. Dan kerana penggunaan beg plastik agak berleluasa, maka kebanyakan sampah yang dibuang mengandungi beg plastik serta bahan yang diperbuat daripada plastik.

Akibatnya, kebanyakan sisa plastik yang dibuang dekat tapak pelupusan sampah terbiar di tapak-tapak tersebut untuk berdekad-dekad lamanya. 

Selain itu, kebersihan bandar-bandar khususnya serta kawasan perumahan di seluruh Malaysia juga terjejas akibat kuantiti sisa plastik yang banyak. 

Kehidupan laut terjejas secara teruk akibat pembuangan sisa plastik yang tidak bertanggungjawab ke dalam longkang dan sungai.

Langkah-langkah yang harus diambil oleh pihak kerajaan melalui kementerian dan jabatan relevan termasuklah:

-Penghasilan dan pembekalan beg-beg plastik harus dihentikan secara perlahan-lahan dan digantikan dengan beg-beg mesra alam. Penguatkuasaan caj pencemaran harus dipanjangkan kepada setiap hari serta dinaikkan secara berterusan dan beransuran.

-Semua kedai makanan juga harus mengenakan caj untuk beg plastik untuk membungkus makanan dan minuman. Pada masa sama, inisiatif yang mewajibkan semua kedai makanan menggunakan bungkusan makanan mesra alam harus dilaksanakan secara tegas tetapi beransur-ansur. Penghasilan bungkusan makanan sebegitu harus disubsidikan bagi mengurangkan beban kos tinggi terhadap kedai-kedai makanan.

-Kempen menggalakkan rakyat untuk berhenti menggunakan beg plastik untuk membeli barangan harian harus dijalankan di seluruh negara melalui semua bentuk media. Rakyat juga harus digalakkan untuk membawa bekas makanan dan minuman sendiri dari rumah apabila mereka ingin bungkus makanan dari restoran.

Tindakan-tindakan kerajaan yang sedia ada untuk menjaga alam sekitar serta mengurangkan pembuangan sampah secara haram adalah baik dan harus diteruskan. Tetapi akhirnya, penyelesaian holistik yang dapat menangani kesan buruk bahan plastik terhadap alam sekitar secara efektif adalah dengan menghentikan penghasilan dan penggunaan beg plastik dalam masyarakat sepenuhnya.


JV ialah seorang pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS