Paling Popular
Terkini

Saban minggu seawal pukul 5.30 pagi saya sering didatangi dengan pesanan-pesanan ringkas dan email berkaitan dengan kutipan derma secara online.

Fenomena ini menjadi semakin rancak menjelang hari Khamis dan Jumaat kerana strategi pengutip derma ini yang ingin menjadikan keberkatan hari Jumaat itu akan menjadikan nilai sedekah itu berlipat kali ganda berbanding hari biasa.

Namun, bukan isu mengutip derma itu yang ingin saya kupas. Saya akan mengaitkan dengan isu derma ini sebentar lagi.

Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah akibat kelembapan ekonomi sejagat, kebanyakan rakyatMalaysia khususnya masyarakat bandar amat terkesan dengan fenomena ini.

Kenaikan harga barangan yang tidak terkawal menyebabkan warga bandar terseksa untuk melepasi hari-hari mendatang.

Saya masih lagi teringat inisiatif yang dibangunkan oleh Mantan Perdana Menteri Najib Razak yang telah membangunkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M).

Walaupun pada dasarnya kedai ini lebih bersifat retorik dan lebih kepada meraih kredit politik, namun konsep yang diperkenalkan itu sesuai dengan situasi semasa.

Pada ketika dan situasi sekarang ini, konsep KR1M itu amat signifikan untuk dilaksanakan. Cuma modus operandinya itu yang perlu diperkemas.

Kalau sebelum ini, jenama KR1M itu lebih sinonim kepada Najib Razak. Kali ini, ia perlu dijenamakan semula supaya ia milik rakyat dan untuk rakyat. Mungkin konsepKR1M itu sukar mencapai matlamatnya kerana ia hanya bersifat retorik politik dan membebankan kerajaan. Hal ini dapat diatasi apabila konsep baru KR1M ini boleh diperkemaskan dengan beban kewangan KR1M ini ditanggung secara bersama oleh pihak kerajaan, swasta dan individu yang berkemampuan.

Caranya, pemilikan dan punca dana datangnya daripada kerajaan, swasta dan individu perseorangan yang mampu. Mungkin nama kedai ini boleh ditukar kepada Kedai Rakyat waima Kedai Rahman sekalipun, rakyat tak kisah.

Asalkan barangan keperluan asas seperti telur, minyak masak, ayam, sayur- sayuran dan sebagainya mampu dimiliki oleh golongan B40. Sekurang-kurangnya, nilai RM50 di Kedai Rakyat ini mampu untuk memenuhkan sebuah troli.

Berbalik kepada pembuka kata di perenggan pertama tadi, kaedah menderma secara online ini telah menjadi trend dan memudahkan orang ramai untuk menderma. Seperti yang saya nyatakan di awal tadi, kebanjiran peminta-peminta derma yang datang saban masa.

Cuma bezanya, dalam banyak-banyak derma yang kita telah keluarkan, kesahihannya belum pasti. Ada juga pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menggunakan platform derma itu sebagai mata pencarian mereka.

Kutipan derma

Di kesempatan ini, pihak kerajaan boleh melancarkan kutipan derma secara berterusan bagi membantu menambah dana Kedai Rakyat ini disamping dana tetap yang akan dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Saya masih lagi ingat tatkala kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan dan melancarkan derma secara massa bagi memohon bantuan rakyat untuk membantu ekonomi negara. Sambutan yang diberikan itu amat menggalakkan.

Dari aspek penderma pula, mereka tidak perlu sangsi kerana wang derma mereka itu disalurkan kepada golongan sasar yang tepat. Tambahan pula, setiap sen itu akan diaudit kerana perlaksanaannya diketuai oleh pihak kerajaan. Bagi menambah lagi perencah program ini, kerajaan bolehlah memberi pengecualian cukai kepada individu atau syarikat-syarikat yang menyalurkan derma melalui program ini.

Agensi kerajaan di bawah Kementerian Penerangan hendaklah sentiasa mempromosi program ini melalui media massa dan mengemaskini perkembangan Kedai Rakyat ini. Penderma seharusnya sentiasa diberikan tentang perkembangan terbaru program ini seperti jumlah kutipan secara mingguan, apa yang dibelanjakan oleh agensi perlaksana dan berapakah nilai yang telah dimanfaatkan oleh golongan sasar.

Cuba kita bayangkan secara matematik mudah, jika 1 juta rakyat Malaysia menderma RM5 pada setiap minggu, program ini akan dapat mengumpul RM 5 juta setiap minggu bagi menampung operasi Kedai Rakyat ini. Ini belum dicampur lagi dengan suntikan dari agensi-agensi swasta yang sememangnya mempunyai peruntukan khas bagi program-program CSR mereka. Daripada dibelanjakan kepada tujuan yang belum tentu hasilnya, lebih baiklah dipulangkan kepada rakyat semula.

Hal ini akan memberi kuasa berbelanja yang tinggi kepada rakyat dan seterusnya akan merancakkan kembali sektor peruncitan. Dengan tertubuhnya kedai-kedai Rakyat ini, pesaing-pesaing di dalam pasaran yang sama turut akan rasa terkesan. Dengan harga rendah yang diperkenalkan oleh Kedai Rakyat ini, pesaing mereka akan turut serta menurunkan harga setidak-tidaknya jurangnya tidak terlalu jauh supaya mereka akan kembali kompetitif.

Suatu pendekatan secara holistik seharusnya diadakan bagi memastikan Kedai Rakyat ini menepati objektifnya. Ia merangkumi urus tadbir yang baik serta sistem kewangannya yang efisien dan bersih.

Pendekatan secara jangka pendek dan segera ini mampu untuk dijadikan penyelesaian jangka panjang jika urus tadbirnya baik dan setiap sen diaudit oleh pihak ketiga.

Diharap pihak kerajaan sudi untuk mengangkat cadangan ini dan memperhalusinya diperingkat kebangsaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dapat dicapai.


ABD MUTALIB BIN ABD GAPAR ialah seorang pemerhati bebas dan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan di Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS