Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Syaban ditanggapi masyarakat sebagai bulan persediaan sebelum memasuki madrasah Ramadan. Sewajarnya kita melakukan muhasabah agar proses perbaikan diri dapat dilakukan sebaiknya.

Bagi para reformis, sesuatu yang manis apabila melihat Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai perdana menteri ke-10. Kita semua sangat memahami penderitaan dan liku-liku perjuangan yg dilalui oleh para reformis yang dipimpin oleh Anwar.

Pemikiran kita sering dipasak dengan ayat 88 Surah Hud. Intipati ayat tersebut adalah kekuatan tekad bagi melakukan perubahan atau dalam istilah Quraniy disebut 'islah'.

Islah bukan kekuasaan, islah juga bukan daulah. Islah adalah ketundukan dan kepatuhan kepada kebenaran serta keberanian menegakkan keadilan.

Justeru para reformis tidak pernah gentar untuk berpencak di mana-mana gelanggang. Kekecewaan tidak pernah tercatat dalam diari hidup kami. Malah kita bimbang kekecewaan itu menghilangkan segala catatan amal dan ganjaran abadi dari penderitaan yang telah kita lalui.

Terangkatnya Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri adalah permulaan episod baru dalam perjuangan Reformasi.

Ia membawa maksud kita sudah boleh berperanan dari dalam jentera kerajaan. Kita perlu berinteraksi dengan para pegawai dan anggota dalam struktur pentadbiran kerajaan.

Tidak semua memahami agenda Islah yang kita bawa. Selama ini mereka difahamkan bahawa struktur pentadbiran dan sistem yang ada adalah yang terbaik. Ketirisan dilihat sebagai norma. Malah 'mark up' nilai projek dilihat sebagai strategi perniagaan.

Sejarah pengislaman rantau ini boleh kita jadikan panduan. Para pendakwah lampau cukup memahami 'fiqh taghyir' (fiqh perubahan). Mereka terus berinteraksi dengan masyarakat secara intensif.

Masyarakat di rantau ini yang sudah pun mempunyai tamadun, sistem pentadbiran yang tersendiri, budaya dan bahasa serta cara fikir yang berteraskan pandangan hidup rantau ini berjaya dibimbing. Pegangan nilai dan etika kehidupan mereka diubah ke arah yang lebih gemilang.

Justeru, Islam tersebar secara subtle dan berperingkat tanpa sebarang penentangan keras daripada masyarakat tempatan.

Maka berubahlah adat Pepatih apabila dinyatakan 'adat bersendi syarak, syarak bersendi Kitabullah'. Juga sindiran dalam Bait Satu Serat Kalatidha nukilan Raden Ngabehi Rangga Warsita yang keras mengkritik penyelewengan para penguasa dan agamawan.

Inilah matlamat perjuangan para reformis. Sirah sendiri mengkisahkan bahawa terangkatnya Rasulullah sebagai pemimpin di Madinah bukanlah noktah perjuangan. Ia adalah episod baru yang membuka lebih banyak ruang perubahan.

Kita bukan pentaksub kepada individu, apatah lagi menjadi pentaksub kepada diri sendiri. Kita adalah pentaksub kepada nilai perubahan.

Kita perjuangkan nilai yang kita yakini dapat menjaga negara kita ini. Nilai yang mampu mencegah kerosakan dan menghentikan segala kemusnahan.

Kita kukuhkan perjuangan dan tekad kita untuk terus menumbangkan mereka yang menjadi penghalang kepada perubahan nilai ini atau kepada sesiapa yg mengkhianati asas perjuangan ini.


AMIDI ABDUL MANAN adalah Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS