Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Trend penagih dadah di kalangan belia dijangka meningkat tahun ini

Pendedahan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution di Dewan Rakyat mengenai trend belia berusia 19 hingga 39 tahun yang ditahan tahun lalu positif pelbagai jenis dadah, meningkat berbanding tahun sebelumnya, telah dijangka oleh Majlis Penyalahgunaan Bahan Malaysia  (Masac).

Ia berdasarkan pelbagai aktiviti turun padang dan maklumat daripada puluhan ribuan bekas pengguna bahan salah seperti dadah pada tahun lalu.

Masac melalui pengalaman dan pengamatan, percaya trend ini akan meningkat lagi bagi tahun 2023.

Ini kerana faktor tekanan hidup, penjualan peranti vape tidak berdaftar–yang memudahkan belia mengambil dadah jenis perisa mushroom serta bekalan dadah yang makin mudah diperoleh serta kesan peningkatan permintaan bahan terlarang.

Ini berlaku walaupun pihak-pihak berkuasa sedang dan telah bersungguh bekerja dengan ikhlas menangani permasalahan ini.

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang melaksanakan pelbagai program yang menyasarkan keluarga, institusi pendidikan, tempat kerja dan komuniti untuk mendekati golongan muda seperti pelaksanaan aktiviti pendidikan pencegahan, pencegahan melalui model i-cegah perlu diperkasakan lagi dengan tambahan bajet serta tambahan kakitangan.

Pelbagai NGO berkait permasalahan dadah perlu diberi bantuan dana tahunan seperti pelbagai persatuan sukan untuk menggerakkan usaha memberi maklumat bagi menangani secara lembut.

Ia juga membolehkan AADK dan agensi lain memfokuskan kepada usaha penguatkuasaan dan pencegahan, pemulihan serta penyembuhan selepas ditangkap.

Masac bersedia membantu kerajaan melalui puluhan ahli gabungan dan puluhan ribu bekas pengguna bahan salah berdasarkan kekuatan dan pengalaman dengan dana tahunan kerajaan.

Melalui kuarters kerajaan di setiap negeri yang tidak digunakan lagi, pelbagai aktiviti digerakkan agar pada tahun 2023, trend belia terlibat dengan dadah dapat diturunkan secara agresif, yang boleh menjadi amalan baik kepada dunia.

Masac yang mempunyai jaringan meluas hingga ke akar umbi mampu mendekati dan mendapat kepercayaan bekas pengguna atau bakal pengguna bahan salah mampu memberi nasihat.

Nasihat ini bukan hanya dibaca dari teori atau buku, tetapi merupakan pengalaman sebenar yang akan dikongsi secara nyata kepada golongan berisiko agar tidak terus atau mula terlibat dengan dadah durjana.

Masac juga sebagai NGO yang tiada kuasa penyiasatan, tangkapan atau pendakwaan seperti AADK sering memperoleh kepercayaan masyarakat. Namun Masac mempunyai kekangan bajet yang amat terhad hasil sumbangan terdahulu yang kini hampir kehabisan dana.

Data yang dikongsi oleh menteri dalam negeri semalam berkaitan kes pengguna dadah yang telah ditangkap, walhal berganda lagi yang masih bebas.

Masac juga percaya keadaan sebenar mungkin dua atau tiga kali ganda lagi, namun mereka ini bijak mengelak daripada dikesan oleh badan penguat kuasa.

Penangkapan tiga beradik yang menjadi keldai dadah, tonto yang ditahan bersama 150kg syabu dinilai RM5.4 juta semalam yang dilaporkan media di Kelantan menunjukkan permasalahan ini semakin hari semakin meruncing kerana permintaan semakin meningkat.

Laporan berita tersebut juga menyatakan dengan jelas dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh kira-kira 1.5 juta penagih. Ia diseludup melalui sempadan Malaysia-Thailand untuk pasaran Lembah Klang.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan madani haruslah menggunakan masyarakat madani sebagai tenaga kerja untuk membantu kerajaan.


RAJA AZIZAN SUHAIMI ialah setiausaha agung Masac.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS