Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT l Dalam satu perhimpunan agung Umno, Hishammuddin Hussein yang ketika itu adalah Ketua Pemuda Umno, telah melakukan satu tindakan yang kontroversi iaitu dia telah menghunus dan mencium keris Panca Warisan. 

Tindakan itu dipertahankannya walaupun menimbulkan ketidakselesaan ramai dan mengundang bidasan terutama daripada kaum bukan Melayu. 

Langkah itu dilihat seolah-olah, mahu memerangi kaum lain. 

Walaupun mendapat kritikan, namun Hishammuddin tetap mempertahankan tindakannya  dengan mengatakan, ia sebagai satu simbol mempertahankan warisan orang Melayu. 

Dia juga menjelaskan secara terperinci berkenaan keris dalam Perhimpunan Agung Umno  2007, dan ucapannya yang berbunyi:

".... Keris tidak dihunus tanpa bertempat. Keris dihunus dengan tekad untuk mempertahankan bangsa dan kepentingan negara, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi juga untuk mempertahankan kaum-kaum lain yang bernaung di negara ini. Keris Melayu menjadi pelindung kepada semua orang seperti juga kerajaan yang ada pada hari ini yang sentiasa melindungi rakyat pelbagai kaum yang bernaung di bawahnya."

"Berteduhlah di bawah perlindungan keris Melayu yang berdaulat ini. Tiada siapa yang harus gementar atau gugup dengan lambang yang abadi itu. Oleh itu jangan dicipta musuh yang tiada dan jangan takut akan bayang-bayang."

"Janganlah dikhuatiri sebuah perlambangan. Janganlah terbawa-bawa dengan semangat perkauman melulu sehingga hilang rasa hormat yang dibina sekian lama dengan pengorbanan Melayu." 

Namun ia tidak diterima baik bahkan oleh rakan komponen BN sendiri, Ketua Pemuda MCA berkata,

 "Kalau saya memegang pedang di suatu majlis wushu, ia akan berbeza kalau saya memegangnya pada suatu majlis politik. Ini adalah satu majlis politik, jadi ia dilihat dalam konteks berlainan. Ia mewujudkan ketidaksenangan.”

Namun, Hishammuddin, kekal tidak berganjak. 

Namun kesan terbabit telah membuatkan Umno membayar harga yang sangat besar, iaitu apabila berlaku PRU11 yang menyaksikan Umno telah gagal untuk mendapat majoriti 2/3 parlimen dan dari situ, bermulanya Kejatuhan Umno. Parti Melayu itu kehilangan sokongan majoriti buan Melayu.

Setelah menang besar pada PRU10 pada 2004, iaitu menawan 198 kerusi, BN tersungkur dengan hanya mampu meraih 140 kerusi pada PRU11. 

Pada 25 April 2008, kira-kira sebulan setelah pilihan raya, akhirnya Hishammuddin tampil memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi tindakan terbabit lagi. 

Itulah harga yang perlu dibayar oleh Umno, kerana sebilah keris. 


MUAMMAR QADDAFI MOHD NASIR adalah Setiausaha Pemuda Amanah Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS