Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Bersama ke arah Thaipusam bebas polistirena

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru pihak pengurusan semua kuil di Malaysia yang menyambut perayaan Thaipusam supaya tidak menggunakan bekas makanan polistirena ketika menghidangkan makanan kepada para penganut.

Thaipusam disambut pada bulan Thai (yang jatuh antara Januari dan Februari) untuk Dewa Murugan. Ia menarik orang ramai kepada perhimpunan terbesar penganut Hindu ke kuil mereka.

Semasa Thaipusam, pelbagai pertubuhan amal menyediakan makanan percuma sebagai Anna Thanam. Kebanyakan mereka menggunakan bekas yang diperbuat daripada polistirena ketika menghidangkan makanan percuma ini.

Pinggan dan cawan polistirena digunakan secara meluas untuk menghidangkan makanan dan minuman kepada penganut Hindu dengan alasan lebih mudah untuk disediakan bagi menguruskan orang ramai.

Disebabkan inilah maka banyak sampah polistirena yang dihasilkan setiap tahun. Penggunaan bekas polistirena pakai buang inilah yang menghasilkan sejumlah besar sampah.

Ramai yang tidak menyedari hakikat bahawa polistirena mengambil masa sekitar 500 tahun untuk mengurai dalam persekitaran. Pembungkusan polistirena biasanya mengandungi beberapa baki stirena kerana proses pembuatannya tidak 100% cekap.

Bahan kimia ini boleh berpindah ke dalam makanan apabila ia dalam keadaan baharu dan apabila lama pula ia akan rosak akibat terdedah kepada haba, matahari atau haus. Akhirnya bahan kimia ini diserap pula oleh tubuh dan menimbulkan pelbagai masalah kesihatan.

Sampah polisterina ini apabila dibakar boleh mengeluarkan bahan kimia berbahaya yang sekali lagi menimbulkan ancaman kesihatan kepada pengguna.

Memandangkan Thaipusam adalah perayaan keagamaan, adalah penting agar para penganut Hindu tidak terdedah kepada bahan kimia berbahaya ini.

Dengan mengambil kira perkara ini, pihak pengurusan kuil perlu memastikan para penganut dihidangkan dengan makanan dan minuman dalam bekas terbiodegradasikan yang lebih selamat.

Para penganut juga boleh memainkan peranan dengan membawa bekas mereka sendiri untuk menerima makanan. Ini secara tidak langsung akan dapat mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan.

Sehubungan itu, CAP menggesa pihak pengurusan kuil supaya bertegas dengan para pemilik gerai dan mengenakan peraturan yang lebih ketat untuk mengelak pemilik kedai daripada menggunakan pembungkus polistirena atau beg plastik.

Mereka yang didapati melanggar peraturan ini tidak seharusnya diberi peluang untuk mendirikan gerai mereka sendiri pada Thaipusam yang akan datang.

Marilah kita berusaha bersama-sama ke arah Thaipusam yang bebas daripada polistirena dan menggunakan festival ini sebagai platform untuk menyelamatkan dan memupuk kesedaran akan pentingnya untuk menjaga alam sekitar.

Ini akan meninggalkan persekitaran yang lebih bersih dan selamat untuk anak-anak kita.


NV SUBBAROW ialah Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS