Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru [Siri 6]

SURAT | Selamat sejahteralah buat para pejuang kebenaran yang secara berpanjangan menjadi insan rabbani. Setiap seorang memperoleh istiqamah dan menjadi manusia pilihan Allah dengan amanah nubuwwah dan risalah diperkukuhkan iman dan dianugerah mukjizat atas kesabaran.

Salam Tuan Guru.

Biar kali ini kita terus ke pokok utama permasalahan yang ramai orang menganggapnya sekadar perkara remeh-temeh.

Kita hendaklah menjawab soalan yang telah saya bangkitkan dalam beberapa warkah saya kepada Tuan Guru sebelum ini. Semoga tiada gundah-gulana, berkecil hati atau memendam rasa terhadap satu sama lain.

Jika dibandingkan dari segi usia sahaja pun sudah cukup. Tarikh lahir Tuan Guru ialah pada 20 Ogos 1947 manakala saya pada 3 Ogos 1957. Allah sahaja yang Maha Mengetahui besarnya kelebihan Tuan Guru dari segi ilmu, kebijaksanaan dan pengalaman.

Semoga kita diberikan keberkatan hidup disebabkan tekunnya kita berjasa dan berbakti kepada manusia.

Jika ada sesiapa yang sengaja mahu mencetus bibit kebencian dalam wacana berkaitan umur, akan muncul lintasan seperti “tarikh lahir Anwar Ibrahim ialah pada 10 Ogos 1947" justeru terfikirlah orang seperti “alaah, Anwar hanya 10 hari lebih awal makan garam dari Tuan Guru”.

Naratif itu dilakukan atas motif untuk memperkecilkan Anwar!

Tarbiah di luar negara

Bercakap tentang jasa dan bakti, saya ingin merakamkan dalam surat ini bahawa bakti dan jasa Tuan Guru kepada saya tidak akan saya lupakan dan tidak mungkin terbalas oleh saya.

Saya memang meminati pengajian tafsir al-Quran, terutama yang bersifat ilmiah serta menggunakan kaedah an-nahjus sahih dalam mengupas sesuatu perkara yang bersifat fundamental mahupun peripheral.

Benar dan sangat tepat apa yang telah kita amalkan serta hayati dalam kehidupan. Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling banyak manfaatnya buat manusia dan kemanusiaan.

Tuan Guru, maka benar kata Tuan Guru bahawa tiada salah dan dosanya kita untuk berasa kasih terhadap bangsa atau kaum sendiri.

Apa yang dilarang Islam ialah mendukung serta memperjuangkan asabiyah kaum dan bangsa sehingga menzalimi orang lain, atau mengambil hak orang lain.

Saya hanya seorang musafir yang cuba melaksanakan perintah fastabikul khairat menurut keutamaan amal seperti yang telah digariskan oleh ulama dalam ilmu fiqh al-awlawiyat.

Antara panduan yang saya jadikan pegangan ialah: jika ada seorang hamba Allah yang mencari hidayah lalu mendapatkannya melalui bimbingan kamu maka itu adalah lebih baik bagi kamu berbanding seluruh isi dunia ini.

Tuan Guru, saya ingin bertanya satu soalan yang sering berlegar dalam diri saya: apakah amalan yang Tuan Guru betul-betul jaga tanpa mahu meninggalkannya, dan cuba pula mengamalkannya siang dan malam?

Tuan Guru, betulkah jika saya percaya orang yang mendapat hidayah akan selalu beristiqamah dalam menjalankan setiap ibadah? Suasana sekeliling dan keluarga soleh dan musleh akan dibina oleh orang-orang yang mendapat hidayah.

Mereka akan berusaha menjaganya agar sentiasa tekal dalam ibadah masing-masing.

Tuan Guru, sejahteralah jika kita saling ingat-mengingati terhadap ayat 178 surah al-A’raf: “Siapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk dan siapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang rugi.”

Sejak itu saya sentiasa mengharapkan dapat laluan terbaik untuk setiap program tarbiah yang saya lalui. Minat saya terhadap tarbiah sungguh luar biasa.

Tak tunjuk kemesraan sama

Saya berdoa setiap siang dan malam agar mendapat seorang naqib yang dapat benar-benar mentarbiah saya.

Semasa di United Kingdom saya dan beberapa orang pelajar Malaysia telah ditarbiah oleh seorang pelajar PhD dari Iraq bernama Syeikh Adil al-Syuaikh.

Selepas tamat mendapat sarjana muda di Madinah, Tuan Guru melanjutkan pelajaran ke Kaherah, Mesir. Di sana Tuan Guru telah mengikuti program-program tarbiah Syeikh Abdul Sattar yang juga berasal dari Iraq.

Ditakdirkan Allah, murabbi kepada Syeikh Adil al-Syuaikh dan murabbi kepada Syeikh Abdul Sattar adalah orang yang sama iaitu Syeikh Abu Ammar Moneim al-Ali dengan nama penanya Muhammad Ahmad ar-Rashid.

Syeikh Abu Ammar memperakui sumbangan PAS dengan menyebut kes kematian Prof Zulkifli Muhammad sebagai tindakan pembunuhan politik yang sudah berlaku dalam politik Malaysia sejak 1960-an.

Dia turut menyanjung tinggi pelbagai usaha dan tindakan Anwar menempatkan Islam sebagai teras pembangunan gerakan Islam yang dihormati, hubungan Muslim antara bangsa dan pembangunan negara (nation building).

Dalam perkembangan lain, sikap terbuka Syeikh Abu Ammar membuat dia mengiktiraf Anwar sebagai tokoh negara dan rakyat Malaysia. Bagaimanapun sikap dan hubungan Tuan Guru dengan Anwar tidak menunjukkan kemesraan yang sama.

Maaf Tuan Guru, ini bukan setakat pemerhatian saya. Rasa yang tidak senang itu juga datang daripada kenyataan-kenyataan Tuan Guru sendiri secara sepintas lalu.

Ia pernah berlaku dalam satu ziarah saya bersama Ustaz Alias Othman dan Zaid Kamaruddin ke rumah Tuan Guru di Rusila, Marang.

Peristiwa itu berlaku pada 1985 apabila kita diarahkan untuk mewujudkan tansiq (penyelarasan) di antara PAS dengan pihak yang pernah mengikuti program tarbiah anjuran Ikhwan Muslimin di Eropah atau Amerika Utara.

Secara khusus kita diarah untuk menubuhkan lajnah tansiq.

Dalam pertemuan itu, Tuan Guru telah menyebut bahawa Anwar tidak termasuk dalam kumpulan yang memperjuangkan tertegaknya Islam.

Apakah neraca penilaian Tuan Guru terhadap Anwar sehingga boleh membuat ketetapan begitu dan ia berlaku ketika seorang pemimpin Ikhwan Muslimin mengambil sikap sebaliknya?

Adakah kerana pada masa itu Anwar adalah Umno?


SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang, Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS