Sudah seminggu berlangsungnya pelancaran Membangun Malaysia Madani oleh perdana menteri di Putrajaya.
Acara yang penuh gilang gemilang ini telah membuka mata masyarakat dalam dan luar negara akan hasrat dan tekad kepimpinan Malaysia baru sejak dua bulan terbentuknya kerajaan selepas PRU15 untuk melangkah menuju negara bertamadun dan mendapat pengiktirafan dunia serta mencapai negara sejahtera.
Namun ramai kedapatan memberi komen dan respons ada yang positif malah tidak kurang juga yang sangsi serta mengkritik agenda tersebut.
Apa pun respon yang diberikan, apa yang lebih penting adalah hasrat dan cita-cita yang digagaskan itu, bukanlah suatu tekad yang tiba-tiba muncul oleh harapan seorang insan bernama Anwar Ibrahim sejak dilantik sebagai perdana menteri.
Beliau sendiri tanpa segan silu menjelaskan ia adalah tulisan dan karya susunan beliau ketika di penjara.
Dalam sejarah, mana-mana tokoh terpenjara biasanya menghabiskan masa menulis dan menumpahkan idea dan pemikirannya termasuk tokoh-tokoh gerakan islam seperti Syed Qutb, dan Hamka.
Oleh itu Anwar Ibrahim juga turut tidak terkecuali. Bukan ingin menyamakan ketokohan standing mereka tetapi begitulah kurniaan Tuhan kepada manusia teraniaya.
Kongkongan besi tidak membantutkan pemikiran untuk menumpahkan idea demi masa depan. Dan kini kita telah menyaksikan sendiri penghasilan buku Membangun Malaysia Madani.
Jika dibaca dan dihayati bait-bait dan kalimah dalam buku tersebut ternyata ia adalah suatu cita-cita dan idea pemikiran seorang negarawan yang dinukilkan berdasarkan pengalaman yang cukup mendalam serta terbentuk daripada sepak terjang politik yang dilalui, hasil daripada hubungan rapat politik bukan sahaja dalam konteks Malaysia malah luar negara.
Gagasan pemikiran negara yang dinamakan Malaysia Madani ini benar bukan semata-mata slogan tetapi adalah hasrat dan harapan yang dibentuk bagi memperbaiki dan memperkukuh Malaysia dengan lebih baik, merencana perubahan yang datang daripada cita-cita murni dan sanggup mendepani cabaran yang bakal dihadapi.
Kita tidak mengatakan ia terlalu sempurna, tetapi cukup menjadi panduan, hasrat seorang pemimpin diangkat menjadi panduan kepada kepimpinannya untuk mendepani arus perdana.
Bukan slogan tanpa idea
Tiada apa yang dibimbangkan, sudah pasti gagasan ini akan dinilai oleh rakyat Malaysia.
Ia bukan semata-mata slogan dan tema tanpa idea, ia juga bukan satu tema politik yang sekadar mengisi aktiviti namun lebih dari itu hasrat yang tertangguh diangkat menjadi panduan membawa negara ke arah pembangunan yang mampan.
Jika diteliti dengan mendalam antara aspek penting yang perlu difahami adalah bagaimana agenda pembangunan negara harus dipasakkan dengan nilai dan agenda berintegriti dan berakhlak.
Enam prinsip madani yang digariskan itu bukanlah suatu istilah baharu yang dicipta oleh Anwar Ibrahim semata-mata tetapi ia adalah suatu penegasan aspek-aspek penting yang mesti disusun dan dijadikan panduan untuk menjadikan tindakan membawa Malaysia menjadi negara yang benar-benar berkesan dari segi urus tadbir dan tata kelola.
Pembangunan negara yang berjaya sebagaimana yang sering kali diulang-ulang oleh PM adalah urus tadbir dan tata kelola yang baik.
Barangkali jika tidak dihayati benar-benar prinsip asas dan dasar madani yang digariskan tersebut sudah tentu kita tidak dapat menghayatinya apatah lagi melaksanakannya.
Ada juga kedengaran kritikan sinikal daripada netizen yang mempertikaikan dasar dan wawasan ini.
Berkali-kali PM Anwar Ibrahim menyebut tentang istilah governan dan akhlak dalam ucapan beliau sejak mula mengemudi negara.
Apakah kita masih tidak percaya dan menolak hakikat kehendak memperbaiki ini? Atau oleh kerana kita membenci beliau maka kita juga menolak hasrat beliau mahu menghapuskan gejala kebobrokan yang berlaku ini?
Oleh itu kita harus menginsafi hakikat ini.
Ya, barangkali akan ada kelemahan dimana-mana namun kehendak dan cita-cita menghapus kebobrokan ini tidak mungkin diterima menjadi sebahagian daripada agenda negara yang sekian lama dibiar berleluasa. Maka sebab itu mari kita sama-sama mengangkat tema ini demi kesejahteraan.
Malaysia Madani juga adalah satu hakikat menjadi wacana yang akan diperdebatkan. Namun perkara ini tidak boleh disanggah kerana masing-masing mempunyai asas dan latar belakang tersendiri.
Apabila sikap tidak sebulu dengan arus perdana sudah pasti akan sentiasa mengkritik walaupun ia benar.
Ketinggalan kereta api
Namun di sebalik ketidak haluan dan kefahaman ini, apa yang lebih penting, kerajaan pimpinan PM Anwar Ibrahim telah merencana dasar dan gagasan utama tadbir urus dan tata kelola yang baik.
Tidak perlu menggunakan istilah-istilah yang terlalu tinggi namun ia cukup untuk membuka minda rakyat keseriusan kerajaan menangani masalah dan cabaran mengurus negara.
Paling tidak kerajaan sedia ada telah menggariskan agenda membangun Malaysia.
Kita yang berada di belakang kepimpinan ini apakah masih menunggu atau hanya duduk di bangku sekadar melihat tanpa berusaha mencari jalan untuk membantu menjayakannya atau kita sekadar menjadi manusia yang akan ketinggalan kereta api yang akhirnya merugikan diri.
HASRI HARUN ialah timbalan presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.