Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT l ‘Pengecualian tol tindakan bodoh Anwar’

Pengumuman  Perdana Menteri Anwar Ibrahim, semalam bahawa rakyat akan menikmati perjalanan bebas tol di semua lebuh raya di seluruh negara selama dua hari (20 dan 21 Jan) sempena Tahun Baru Cina adalah tindakan populis yang bodoh.

Pertama, inisiatif itu, membawa implikasi kewangan RM40 juta, sedangkan pada masa yang sama Anwar menasihatkan penjawat awam supaya tidak leka memandangkan hutang negara telah mencecah RM1.2 trilion.

Kedua, selain pengecualian tol itu, adalah dijangkakan sebanyak 3.8 juta kenderaan akan berada di atas lebuh raya di seluruh negara sepanjang cuti perayaan yang bermula hujung minggu itu.

Setiap kenderaan ini menggunakan petrol atau diesel yang sekali lagi menyaksikan kerajaan menanggung bebanan dengan memberikan subsidi bahan api.

Sepatutnya kadar tol dan bahan api dinaikkan semasa cuti perayaan bagi memastikan jumlah yang balik kampung tidak ramai.

Dan ketiga, seperti lumrahnya, setiap kali musim perayaan jumlah kemalangan termasuk kehilangan nyawa terus meningkat. Kenaikan kadar tol dan bahan api mungkin akan menyaksikan orang ramai kurang berjalan.

Justeru, Anwar tidak harus mengambil langkah populis tetapi bodoh itu.

Tidak pasti jika keputusannya itu adalah selaras dengan konsep ‘madani’ yang dicanagkannya itu atau dia memang ‘tidak bijak’ dan tidak seharusnya menjadi perdana menteri seperti pendapat yang diberikan oleh seorang bekas perdana menteri sebelum ini.


KAMAL HUSSIN adalah anak petani marhaen yang menuntut di Bangi dan cuba menjadi ‘bijak’.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS