Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

Salam ukhuwah dan dalam perjuangan.

Ingatkah Tuan Guru bahawa perkenalan kita pada 1982 kita telah menghasilkan pertemuan dan perbincangan susulan yang kemudiannya membentuk kerjasama sama ada di dalam atrau luar negeri?

Dalam suatu sesi ziarah dan mesyuarat, saya masih ingat lagi bagaimana Tuan Guru tergelak agak lama apabila mendengar Ustaz Alias Othman bercerita bagaimana semasa dia berusia 16 tahun lagi sudah bergerak seperti seorang ahli aktif PAS.

Pada masa itu - beberapa bulan menjelang pilihan raya umum (PRU) , Ustaz Alias keluar rumah meredah gelap subuh (selepas solat Subuh bersama kawan-kawannya yang lebih dewasa) untuk menoreh getah.

Semua hasil termasuk getah sekerap pun dikumpulkan dengan bersungguh-sungguh untuk dijual di kedai-kedai Cina sebelum hasilnya diserahkan kepada ketua urusan pengumpulan dana.

Sekitar 1983 Tuan Guru dilantik menjadi pengerusi Lajnah Tarbiyah PAS Pusat. Atas inisiatif bijak Tuan Guru, Ustaz Alias dan Ir Mustafar Abdul Kader telah dijemput untuk membantu kerja-kerja pembangunan lajnah tersebut.

Dalam satu lawatan kerja ke Rusila pada 1984, saya ada menyuarakan hasrat untuk menjadi ahli PAS bagi membolehkan saya membantu kerja-kerja lajnah itu, tetapi sebaliknya Tuan Guru meminta saya membantu dari luar sahaja.

Bahkan saya dinasihatkan agar tidak perlu lagi menjadi ahli PAS.

Islam dan sistem demokrasi

Pada tahun itu juga, atas permintaan Tuan Guru saya menyiapkan sebuah buku yang merupakan kompilasi artikel bahan-bahan fikrah bagi usrah. Saya namakan buku itu Risalah Usrah dengan menggunakan nama pena Abu Urwah.

Apabila buku itu diberikan kata pengantar daripada Tuan Guru, maka Risalah Usrah tersebut mudah digunakan sebagai bahan usrah untuk pelajar-pelajar sekolah menenagh dan institusi pengajian tinggi.

Ustaz Alias yang memiliki ijazah sarjana siyasah syar‘iyah adalah rakan sekuliah Tuan Guru di Al-Azhar. Pada ketika yang sama Tuan Guru dan dia merupakan rakan seusrah ketika di Mesir.

Bermula daripada taaruf pada 1982 itu, setiap satu atau dua bulan sekali saya dan Ustaz Alias - dan berapa rakan lain - akan ke Rusila untuk mengadakan pertemuan dengan Tuan Guru.

Banyak yang kita bincangkan dan perkemaskan dari segi fikrah. Paling utama adalah penyelarasan fikrah kita dari aspek demokrasi dan penglibatan dalam pilihan raya.

Tuan Guru sering mengingatkan kami dengan kata-kata Ustaz Abu Bakar Al-Baqir: “Sesungguhnya, syura dalam Islam lebih baik daripada demokrasi Barat, namun sekiranya melalui proses demokrasi dan pilihan raya kita dapat menegakkan keadilan dan meruntuhkan kezaliman, marilah kita manfaatkan sistem demokrasi sepenuh-penuhnya”

Tuan Guru, saya pun sering mengingatkan kata-kata Dr Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi: “Sehingga kita memiliki satu sistem yang lebih baik daripada demokrasi maka hendaklah kita memanfaatkan sepenuhnya proses dan tatacara demokrasi”.

Saya rasa Tuan Guru juga sedar bahawa tiada demokrasi tulen di Malaysia. Pihak yang berkuasa memperalatkan jentera kerajaan bagi kepentingan mereka.

Penguasa juga percaya SB (polis cawangan khas) diwujudkan adalah untuk mempertahankan sistem hagemoni dan ketuanan Melayu-Islam. Maksud yang sebenarnya ialah Melayu-Umno, elit Melayu, Umnoputera, dan seumpamanya.

Berbaik-baik dengan SB

Pada masa sama kita ada Melayu Muslim yang mencuri wang rakyat, atau dikenali juga sebagai Melayu kleptokrat. Kleptokrasi adalah konsep yang diambil dari kata akar bahasa Yunani lama iaitu kléptēs yang bermaksud pencuri.

Tuan Guru, adakah sesiapa yang tidak berasa gentar apabila diancam dengan penahanan zalim seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Di negara kita undang-undang zalim di atas nama keselamatan merupakan pemenjaraan tanpa perbicaraan di bawah kuasa seorang menteri.

Dalam lingkungan PAS dan simpatisan parti, penyokong dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan PAS ada ditahan di bawah ISA. Di mana mereka sekarang? Apakah yang mereka lakukan ketika mereka disoal siasat? Siapakah dalam kalangan mereka yang boleh dikatakan sebagai pejuang yang secara konsisten berterusan bersama NGO dan rakyat menentang ISA?

Tuan Guru, saya telah ditahan dua kali melalui ISA. Pertama kali pada 1998 dan kali kedua pada April 2001 hingga Jun 2003. Mungkin sayalah saja bekas tahanan ISA yang menulis lapan jilid buku mendedahkan kezaliman dan kekejaman akta itu.

Saya lihat lebih ramai pemimpin PAS di peringkat kawasan yang bekerjasama dengan SB. Mereka melakukan itu bersama keyakinan bahawa langkah tersebut membuka ruang untuk menjalin hubungan baik dengan polis.

Pada masa sama rata-rata kefahaman mereka terhadap hak asasi manusia adalah pincang, bahkan banyak membawa padah yang parah kepada jati diti dan semangat perjuangan mereka.

Apa yang saya kesali, sering ucapan dan ulasan isu-isu politik Tuan Guru menimbulkan ketegangan. Kenapa saya tidak mendengar keputusan atau pandangan yang bagus-bagus keluar daripada Tuan Guru?

Sebaliknya pelbagai tuduhan dan kata-kata nista yang dilapor dan disiarkan berpunca daripada kenyataan Tuan Guru!

Sikap itu sama sekali berbeza daripada Tuan Guru dan rakan-rakan sehaluan yang dahulu sama-sama menentang kezaliman dan menegakkan kebenaran.

Jika tribulasi, kesusahan dan kesempitan itu adalah tanda-tanda yang boleh meyakinkan orang ramai bahawa seseorang itu berjuang di jalan yang betul, maka Anwar Ibrahim adalah orang yang paling layak dikatakan pejuang tulen.

Anwar meringkuk dalam penjara tiga kali dengan jumlah tempoh keseluruhan selama 15 tahun. Dua tahun daripada tempoh itu adalah tahanan tanpa bicara.

Dua kali lagi dia ditahan dalam penjara selama 13 tahun sebagai mangsa tahanan bermotifkan politik menurut semua badan hak asasi manusia antarabangsa termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch.

Tuduh Anwar berubah

Populariti Tuan Guru di pentas dunia telah membolehkan Tuan Guru ditempatkan dalam beberapa organisasi di peringkat dunia.

Pada pandangan saya ketika Syeikh Al-Qaradhawi mengeluarkan fatwanya berkenaan dosa dan jenayah qazaf, Tuan Guru sepatutnya menjadi orang yang terkehadapan menerangkan fatwa tersebut atas dasar ilmu dan kebenaran.

Dengan ilmu yang Allah anugerahkan kepada Tuan Guru serta puluhan buku yang telah hasilkan, sepatutnya Tuan Guru menerangkan dan mempertahankan kebenaran itu sebagai kebenaran.

Namun saya terkejut apabila Tuan Guru secara sambil lewa sahaja melemparkan pelbagai tuduhan terhadap rakan-rakan saya daripada PKR dan DAP.

Bagi saya semua tuduhan itu adalah terlalu melulu dan berunsur fitnah. Terhadap Anwar juga Tuan Guru sudah menganggap dia adalah seorang Muslim berfikiran liberal.

Tuan Guru menuduh Anwar berubah dan menurut siapa di hadapannya dan apa yang disenangi olehnya.

Tuduhan itu sama bunyinya dengan apa yang saya dipaksa dengar daripada SB semasa saya disoal siasat semasa dalam ISA dahulu.

SURAT 1 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru

SURAT 2 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru

SURAT 3 | Warkah kenang-kenangan buat Tuan Guru


SAARI SUNGIB ialah Adun Hulu Kelang, Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS