SURAT | Nampaknya susunan kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memperlihatkan wajahnya dan diterima dengan baik atau sebaliknya oleh orang ramai.
Dari segi bentuknya, gandingan tersebut mengesahkan terdapatnya ruang memperlihatkan keteguhan wadah - atau idealisme - Anwar untuk melaksanakan reformasi yang didendangnya selama ini.
Reformasi yang masih sama idealismenya kepada perdana menteri kini baru dapat digerak dan dijelmakan melalui gandingan kuasa yang dikatakan aneh dan diluar jangkaan.
Kini ia mula kelihatan dengan tidak bertangguh-tangguh lagi.
Ini dapat dilihat daripada beberapa kenyataan dan keputusan mesyuarat kabinet pertama yang diadakannya kelmarin.
Tindakan segera diambil kerajaan memang penting demi membina keyakinan, mengukuhkan kesatuan, dan membentuk kepercayaan di semua bahagian di dalam, dan di luar lingkungan.
Tanpa keyakinan kelompok-kelompok di sekeliling dan rakyat jelata, kerajaan akan dikatakan gagal.
Dilihat secara dekat pasukan reformasi ini sebenarnya telah jelas ada. Ia boleh dilihat pada wajah tokoh orang yang diberi kepercayaan oleh Anwar.
Personaliti seperti Fahmi Fadzil yang memimpin portfolio komunikasi, Rafiz Ramli di sektor ekonomi, Fadhlina Sidek di bahagian pendidikan, Saifuddin Nasution Ismail (hal ehwal dalam negeri), Tengku Zafrul Abdul Aziz (perdagangan antarabangsa) misalnya merupakan sosok yang ada keupayaan untuk menggalas gerak kerja merefomasi seperti yang dikehendakki ketua mereka.
Ini ditambah dengan perdana menteri sendiri yang mengawal perbelanjaan dan dasar kewangan negara.
Reformasi untuk pemulihan dan pemerkasaan tentunya boleh dijayakan.
Fahmi, Saifuddin Nasution, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Fadhlina adalah aktivis setia yang sangat dekat dengan Anwar serta memahami dan boleh menterjemahkan pemikiran Anwar dengan baik.
Rafizi adalah aktivis pengimbang yang strategis dan tidak mengalah, Tengku Zafrul seorang profesional yang punya latar belakang diyakini, setia dan sederhana.
Sementara Hanna Yeoh adalah pemimpin berpengetahuan luas dan berpendirian pertengahan yang disenangi.
Secara bersama rumpun ini boleh menjadi tunggak pemula kepada reformasi yang diigini. Ketangkasan mereka apabila dilengkapi dengan pemimpin-pemimpin berpenglaman luas di kementerian-kementerian lain akan dapat melestarikan agenda reformasi negara.
Pada masa sama, dijangkakan tidak berapa lama lagi - setelah menilai reaksi dan mengambil kira pelbagai persoalan berkaitan kepimpinannya - perdana menteri akan melengkapkan lagi pasukan kerjanya dengan melantik timbalan-menteri pula.
Tentunya pemimpi-pemimpin muda seperti Adam Adli Abdul Halim, Howard Lee, Mohd Azis Jamman, Steven Sim, Syahredzan Johan misalnya, antara watak yang boleh dipertimbangkan untuk menjadi pelengkap kepada pasukan sekarang.
Dengan pembangkang yang melengkapi sebagai mekanisme penyemak dan pengimbang serta dihormati kerajaan, bukan sahaja reformasi dalam bidang ekonomi, kemasyarakatan dan pentadbiran dapat dijayakan, tetapi reformasi dalam budaya politik baru yang bermakna akan turut menjadi kenyataan.
Siapa yang tak mahukan reformasi?
MAHADI J MURAT ialah pengarah filem dan profesor pengajian komunikasi profesional di Sekolah Komunikasi dan Teknologi, Universiti Malaya-Wales, (IUMW), Kuala Lumpur.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.