Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Jangan pandang remeh persoalan makna k'jaan perpaduan

Setelah menelaah dan meneliti secara mendalam, maka timbul soalan dalam fikiran saya.

Apakah definisi yang paling tepat untuk memberi gambaran sebenar akan kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim?

Walaupun kini ia dikenali sebagai kerajaan perpaduan, tetapi dari segi falsafah dan politik adakah ini benar-benar sebuah kerajaan perpaduan?

Atau adakah ia boleh ditafsir sebagai sebuah kerajaan campuran atau kerajaan kompromi?

Jika benar ia adalah sebuah kerajaan perpaduan, maka Anwar harus dengan segera menggariskan inti pati dan aspek-aspek perpaduan agar rakyat jelas akan hala tuju kerajaan perpaduan pimpinannya.

Ini adalah penting untuk menangkis segala tohmahan yang keterlaluan oleh pihak tertentu.

Suara-suara pembangkang semakin lantang dan kian menyoal akan konsep perpaduan yang sedia ada.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh memandangkan ada pihak yang mengatakan bahawa kerajaan sekarang berlandaskan konsep berkompromi dan bukan atas dasar perpaduan.

Pencerahan dengan kadar segera akan memastikan kerajaan yang sedia ada tidak disangsi atau dipersoal di medan politik.

Negara harus bergerak ke hadapan dan tidak sekali lagi dibelenggu isu-isu politik yang tidak bermakna dan merugikan masyarakat umum.

Anwar dan kabinetnya tidak boleh lagi menggunakan alasan bahawa memandangkan kerajaan hari ini bukan sahaja terdiri dari PH, maka banyak kompromi harus dibuat.

Sebagai perdana menteri, dia harus dilihat sebagai tegas dan tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak dalam kerajaannya.

Parti politik dalam gabungan-gabungan yang telah membantu Anwar naik sebagai perdana menteri harus akur akan hakikat bahawa pengemudi bahtera negara adalah Anwar.


NARINDER PAL adalah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS