Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang membuat lawatan kerja ke United Kingdom. Antara program yang dirancang di UK ialah mengadakan pertemuan dengan mahasiswa. Pada 15 Mac, jam 4 petang, beliau bersyarah: 'Dialog Peradaban Islam dan Barat' di London School of Economics.
Pada 16 Mac, jam 7 malam, Datuk Seri Anwar akan berucap di pertubuhan debat terkemuka Universiti Cambridge, Cambridge Union tempat pemidato ulung telah berucap, seperti Winston Churchill, Archbishop Desmond Tutu, dan Hans Blix.
Kami bagaimanapun kesal kerana Jabatan Pelajar Malaysia telah menekan pertubuhan mahasiswa Malaysia yang ingin menganjurkan program untuk Datuk Seri Anwar. Salah sebuah pertubuhan mahasiswa Malaysia yang merancang acara di LSE, telah diarah menarik diri beberapa minggu yang lalu, manakala sebuah lagi pertubuhan dipaksa berbuat demikian pada saat-saat akhir.
Di Cambridge juga menyaksikan tekanan sedemikian. Kami ingin mengucapkan tahniah kepada pihak universiti yang meneruskannya dan mahasiswa kerana hadir di sebalik sikap Jabatan Pelajar Malaysia itu. Di Malaysia, perkara ini mungkin tidak mengejutkan kerana mahasiswa dan ahli akademik diikat dengan beberapa undang-undang, peraturan dan tekanan politik oleh pihak berkuasa.
Namun, untuk menguatkuasakan tekanan stail-Malaysia di sebuah universiti asing, hanya mencemarkan nama baik dan reputasi kita di mata dunia. Ironisnya, pada Januari 2007, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah membuka sebuah bilik Malaysia "di mana pengajian, perbincangan dan perdebatan mengenai Malaysia boleh dilakukan".
Namun, dua bulan kemudian, Jabatan Pelajar Malaysia tidak menunjukkan penghormatan yang sama kepada sebuah perbincangan yang dipimpin oleh seorang tokoh yang cukup dihormati di Malaysia yang pernah bersyarah di universiti-universiti Oxford, John Hopkins dan Georgetown.
Pihak kerajaan, korporat dan ibu bapa menghantar mereka ke luar negara untuk mendedahkan mereka kepada dunia dan memajukan pemikiran mereka untuk menyumbang semula terhadap pembangunan negara. Pengajian, perbincangan dan perdebatan hanya boleh dilakukan apabila pandangan dan pendapat yang berbeza didengari.
Sebaliknya, kerajaan memilih untuk meneruskan budaya takut di negara luar, sehinggakan menjadi sesuatu yang pastinya nampak lucu dan menarik oleh rakyat luar dan sesuatu yang memalukan negara kita.
Memandangkan ini tahun ke-50 kemerdekaan kita, bayangkan sekiranya Dato' Onn Jaafar, Tun Razak Hussein dan Tunku Abdul Rahman al-Haj dahulu disekat daripada terlibat dengan aktiviti mahasiswa di Britain. Adakah mereka akan muncul sebagai pemimpin gerakan kemerdekaan negara tanpa pendedahan tersebut?
Kami menyeru Jabatan Pelajaran Malaysia supaya menyedari semula peranan asal mereka untuk memperbaiki kebajikan dan kecemerlangan mahasiswa Malaysia.
Penulis adalah Pembantu Khas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seorang mahasiswa lulusan King's College London pada 2005, dan sebelum ini pernah menjawat Naib Pengerusi Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom (UKEC) 2003-2004, Setiausaha Kesatuan Penuntut Undang-Undang Malaysia UK/Eire dan perwakilan dari King's College untuk Persidangan Kesatuan Mahasiswa Nasional 2005.