Paling Popular
Terkini

SURAT | Sewaktu bersandar pada tiang bangunan di luar unit kecemasan Hospital Putrajaya, kelihatan beberapa doktor muda berlari keluar apabila ada pesakit mahu di x-ray.

Menunggu anak bersama ramai kanak-kanak dan orang dewasa lain yang dirawat akibat lelah memang menjadikan fikiran semakin berkecamuk.

Sambil melayan perasaan bimbang dengan keadaan anak serta tertanya-tanya jika dia perlu ditempatkan dalam wad, di kejauhan kelihatan beberapa orang membetulkan deretan bendera parti yang tumbang selepas dilanda hujan lebat serta angin kencang.

Memang kecewa apabila memikirkan di sebalik gembar-gembur kehebatan Malaysia, pada masa sama berpuluh-puluh pesakit terpaksa menunggu berjam-jam untuk ditempatkan ke dalam wad.

Mereka menunggu kalau ada katil pesakit dalam wad yang dikosongkan.

Perasaan tidak puas hati berkenaan sebenarnya bukan dituju kepada kakitangan hospital. Jelas mereka begitu mencuba sehabis baik untuk mengukir senyum sambil menyembunyikan kepenatan di depan pelanggan.

Mereka memang memberikan rawatan sedaya mampu menggunakan peralatan seadanya.

Kemaruk pada kuasa

Beberapa hari lagi, petugas dan pesakit serta rakyat Malaysia akan mendapat pentadbir baru dengan harapan keadaan akan menjadi lebih baik.

Namun apakah harapan itu akan menjadi kenyataan? Atau mungkinkah ia hanya perulangan seperti lazimnya selepas pesta pilihan raya berakhir?

Biasanya orang yang menang akan terus mencari serta mengumpul laba sambil melupakan apa itu amanah dan tanggungjawab.

Sudah 14 kali PRU diadakan, dan sudah puluhan atau ribuan kali juga sembang politik di tepi tiang, di kepala simpang, serambi masjid atau sewaktu minum-minum di kedai kopi.

Rakyat memang arif akan erti pengundian. Ia adalah masa untuk menentukan siapa yang ingin dipilih untuk ditabalkan menjadi orang kaya.

Atau mungkin juga kita dikehendaki memilih orang yang begitu kemaruk mengidamkan kerusi kuasa. Ini kerana mereka sedar selepas mengangkat sumpah, orang biasa akan kembali seperti sediakala.

Yang pasti berubah hanya harga serba-serbi. Rakyat sudah tahu dan sedia menerima segala omongan harga di dunia naik atau harga baru itu  adalah lebih rendah daripada negara jiran.

Selepas PRU juga, mereka yang menang akan didatangani pendana atau geng senior, mengajar kaedah bagaimana merangka pelbagai projek atas nama pembangunan sambil meraih komisyen.

Yang tidak kurang penting untuk diajar: cara-cara mengelak daripada tertangkap.

Mungkin ada yang benar-benar ikhlas menjadi yang berhormat (YB), tapi yang lebih ramai adalah jenis mencekau begitulah.  

Silap faham satu undi

Teringat pula kisah anak buah jiran. Bekerja di syarikat swasta, dia mempunyai seorang anak. Isterinya bertugas di sebuah agensi kerajaan. 

Segala tumpuan hidupnya adalah memikirkan bagaimana mengisi kantung buat mengisi perut, membayar rumah dan membesarkan anak.

Keluar subuh balik malam. Dalam sanubari, tiada masa mahu mengikuti perkembangan politik, siapa YB, tiada masa memikirkan isu negara. Yang penting adalah mengimpikan sebuah keluarga bahagia serba cukup.

Katanya, dia akan pulang ke kampung dengan meminjam motor rakan untuk merayakan pesta pemilihan.

"Tempat saya meriah pilihan raya. Tolong pasang bendera boleh dapat duit, makan dan rokok percuma, dapat baju T juga.

"Ada masanya mereka tumbangkan lembu. Lagi pun bila anak perantau balik selalunya dapat elaun seratus dua," katanya.

Ini bukan cerita seorang dua. Semua orang tahu, tapi inilah pelik dan 'indahnya' Malaysia.

Tidak pula ia menjadi salah, terutama jika pelaku dalam kalangan parti pemenang atau golongan yang boleh menasihati siapa yang boleh dilantik selaku ketua penguat kuasa.

Dan indah serta peliknya Malaysia: rakyat sentiasa reda dan pasrah untuk apa saja. Pada mereka, satu undi itu tidak akan mengubah apa-apa.

Daripada undi kosong, baik undi dia, dapat juga seratus dua atau sekampit dua beras.

Bagi yang baru pertama kali mengundi, tarikan mendapat manfaat menjelang PRU pasti lebih utama, lebih-lebih lagi jika mereka masih di bawah tanggungan keluarga.

Inilah kemajuan Malaysia. Kemajuan yang dipaksakan rakyat melihat betapa semakin ramai kemaruk kuasa. Sanggup mempermainkan agama dan maruah diri untuk kuasa.

Sekadar kemajuan songsang

Kemajuan pendidikan yang menyaksikan anak murid sentiasa menuding jari kepada guru apabila melakukan kesalahan. Atau mungkin juga seperti dialog filem Anakku Sazali: “Kerana bapaklah Sazali jadi begini”.

Peliknya Malaysia, guru di sekolah mengajar ilmu, adab pekerti, ajaran agama tetapi disogok dalam kehidupan yang ternyata terlalu keji angkara mereka yang berebut kuasa.

Peliknya Malaysia juga apabila melihat ilmuan menjadi lebih taasub kepada ilmu mereka, sehinggakan tidak mahu menerima pembaharuan atau mencuba mencari inovasi lebih gemilang.

Malah peliknya Malaysia juga, cerdik pandai juga sejurus selepas keluar dari pusat pengajian, serta-merta diajar bagaimana cara mendapat fi tinggi dan menekan orang susah.

Semakin tinggi di atas undang-undang juga, mereka akan menjadi seakan bingung sama ada mahu mengikut buku atau bertindak atas dasar akal waras ilmu perikemanusiaan.

Kemuncak kepelikan itu, rakyat sudah menganggap rasuah adalah segala-galanya dalam kehidupan dan mengagungkan pula golongan terpalit tuduhan rasuah.

Mungkin rakyat Malaysia sudah dianggap maju dengan berpelakuan begitu. Tetapi mungkin juga ada rakyat yang sedar, itu adalah kemajuan songsang.

Golongan ini mungkin mahu memilih pemimpin yang ada wawasan, serba baru. Menolak pemimpin daripada kumpulan  DNA rasuah, kluster mahkamah atau kelompok yang dibentuk berasaskan kesumat dendam dan kemaruk kuasa.

Mereka mahukan kelompok yang boleh membawa Malaysia ke arah kemajuan hakiki seperti semasa negara digelar Harimau Asia.

Dan mungkin juga ada kelompok yang mahu melihat Hospital Putrajaya kembali seperti suatu ketika dulu dengan kelengkapan serba cukup dan waktu menunggu yang singkat.


MEOR HISHAM ZULKIFLI ialah besar wartawan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS