SURAT | Setiap hari lebih daripada 100,000 penerbangan berlaku di seluruh dunia.
Dalam kesibukan itu, sudah tentu akan ada risiko gangguan seperti penerbangan ditunda atau dibatalkan, kehilangan atau kerosakan bagasi, dinafikan menaiki pesawat kerana lebihan tempahan, kehilangan tempahan atau masalah yang lain.
Semakin kerap penerbangan, semakin tinggi kebarangkalian masalah seperti itu timbul.
Oleh sebab itu, Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) diwujudkan pada 2016. Ia bertujuan untuk melindungi hak dan kepentingan pengguna dalam usaha untuk mewujudkan industri penerbangan yang berorientasikan pengguna.
Setelah enam tahun dilaksanakan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menerima lebih daripada 22,000 aduan, dengan separuh pertama 2022 sahaja sebanyak 1,251 aduan direkodkan.
Sebanyak 99.1 peratus daripadanya melibatkan syarikat penerbangan.
Daripada jumlah itu 577 (46.1 peratus) aduan adalah mengenai pembatalan penerbangan, penjadualan semula dan tempahan dalam talian secara kolektif.
Ia menjadi lebih kritikal ketika musim Aidilfitri tahun ini yang melibatkan lebih 500 penerbangan tertunda. Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kecewa dengan tindakan syarikat penerbangan kerana gagal berkomunikasi dengan pengguna dan ketidakmampuan mereka untuk membayar pampasan.
Pilihan untuk pengguna
Disebabkan itu, Mavcom sedang berusaha melakukan cadangan penambahbaikan kepada MACPC yang bakal dilaksanakan pada suku pertama 2023.
Perbincangan itu merangkumi pemerkasaan bayaran balik pada nilai asal harga tiket melibatkan pembatalan dan penangguhan penerbangan, hak penumpang, pas perjalanan dan penyelesaian oleh syarikat penerbangan sekiranya berlaku krisis kewangan atau sebarang gangguan operasi.
Kertas cadangan itu sangat penting bagi melindungi hak pengguna sekiranya terdapat isu melibatkan kepentingan mereka serta syarikat penerbangan.
Apabila sesuatu penerbangan dibatalkan, pengguna harus mempunyai pilihan untuk menerima sama ada bayaran balik tunai atau baucar perjalanan bagi tempahan semula penerbangan baru pada masa hadapan.
Ini akan memberikan pengguna pilihan yang lebih baik berbanding hanya disediakan satu pilihan sahaja.
Pun begitu sesuatu dasar yang baik tanpa pelaksanaan dan pemantauan tidak dilakukan secara tekal, sudah tentu ia menjadi ibarat projek gajah putih.
Justeru, Mavcom terutamanya perlu memastikan pindaan MACPC yang akan diperkenalkan itu dikuatkuasakan dengan efektif, khususnya melibatkan penguatkuasakan kod perlindungan pengguna yang sedia ada.
Ia mestilah memastikan pengguna boleh mendapatkan bayaran balik penuh bagi penerbangan yang dibatalkan.
Selain itu, Mavcom perlu lebih tegas mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan tidak mematuhi prosedur yang ditetapkan.
Pada masa sama, Mavcom juga perlu memberikan penjelasan lanjut dan telus kepada setiap syarikat penerbangan mengenai syarat yang mesti mereka patuhi atas setiap tindakan yang diambil.
Ia penting kerana pengguna perlu tahu apakah risiko yang akan mereka ambil apabila menggunakan perkhidmatan sesebuah syarikat penerbangan.
Syarikat penerbangan juga perlu lebih bertanggungjawab menyelesaikan tuntutan bayaran balik kepada pengguna sekiranya terdapat pembatalan penerbangan.
Terdapat banyak aduan membabitkan kesukaran pengguna mendapatkan semula bayaran balik atau kelewatan daripada pihak syarikat penerbangan walaupun kesilapan itu bukan dari pihak mereka.
Oleh itu, tempoh bayaran balik perlu dipercepatkan daripada 30 hari kepada 20 hari. Walaupun ia agak ketat tetapi matlamatnya ialah demi menjaga kepentingan pengguna.
Lebih-lebih lagi dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi dan pengguna mungkin berdepan isu kekurangan wang tunai akibat terpaksa membeli tiket yang lain.
Dalam tempoh beberapa hari lagi pilihan raya umum akan diadakan. Sudah tentu pengangkutan udara - sama ada dari luar atau dalam negara - akan menjadi lebih sibuk.
Ia menjadi lebih kritikal apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum memberi ruang untuk rakyat Sabah dan Sarawak menjadi pengundi pos sekiranya mereka berada di Semenanjung Malaysia.
Untuk jangka masa panjang, SPR wajar melaksanakan reformasi itu bagi menggalakkan serta memudahkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka untuk negara.
Namun yang lebih utama ketika ini, Mavcom dan Kementerian Pengangkutan perlu memantau serta memastikan nasib malang pengguna seperti menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini berulang.
Pihak syarikat penerbangan pula perlu lebih bertanggungjawab dan telus menguruskan perkhidmatan mereka agar pengguna mendapat maklumat yang tepat bagi setiap perubahan.
Hal itu penting agar pengguna boleh membuat perancangan yang lain sekiranya berlaku perkara berbangkit.
TARMIZI ANUWAR ialah anggota sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.