Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT l ‘BN akan terus kempunan memiliki Selangor’

SURAT l Hajat besar BN sudah disuarakan di serata tempat janji manis serta menafikan kebajikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) makin didengari di mana-mana. Tempoh 14 tahun bukan pendek dan rakyat Selangor terus selesa dengan kerajaan pimpinan Menteri Besar, Amirudin Shari.

Kerajaan PH di bawah kepimpinan ini nyata stabil, makmur dan berkebajikan.

Mana tidaknya, pelbagai inisiatif dan tawaran kepentingan rakyat dibuat oleh kerajaan PH. Rakyat kebanyakan tidak mahu lagi memperjudikan nasib di bawah kerajaan terdahulu sebelum PH kerana mereka terbukti gagal malah rekod kegagalan itu memberi kesan kepada rakyat.

Dibimbangi mudarat politik akan kembali seandainya BN kembali memerintah Selangor. Ketidakadilan, ketirisan dan sikap enteng terhadap peduli rakyat dikhuatiri akan berulang.

Tuduhan apa saja nampaknya tidak termakan kerana rakyat Selangor tahu apa yang kerajaan PH sudah buat kepada rakyat.

Mereka akan meniup apa saja isu di bawah kerajaan PH seperti masalah gangguan air, banjir kilat dan rekod demam denggi.

Ia adalah sebahagian daripada "peluru kosong" yang ditolak oleh rakyat Selangor yang berterima kasih dengan air percuma hanya di Selangor.

Suara sumbang sekutu BN menuduh kerajaan PH tidak membina rumah kos rendah dan banyak lagi isu termasuklah isu dos pandemik Covid sebelum ini.

Pendek kata, kerajaan PH pada BN lemah dan jika mereka berkuasa semua ini tidak terjadi.

Betul ke sejak Azmin Ali tinggalkan Selangor, keadaan ekonomi Selangor makin menurun?

Hebat Azmin bersuara lunak namun kenyataan Amirudin yang menangkis kenyataan Azmin disertai dengan fakta memaksa Azmin melihat wajah di cermin.

Program peduli rakyat, sumbangan Selangor kepada keluaran negara kasar KDNK meningkat kepada 24.8 peratus pada 2021 berbanding 23.7 peratus pada 2018.

Selepas ketiadaan Azmin, Selangor makin mantap kerana ia dilakukan secara berpasukan bukan individu.

Amirudin dilihat sekutu Azmin sebelum ini namun beliau tidak mengikuti jejak pengkhianat ketika Langkah Sheraton.

Setakat 17 Oktober lalu,Selangor mencatat pendapatan RM2.102 bilion mengatasi sasaran RM2.05 bilion pada 2022.

Ia membuktikan pengurusan ekonomi berhemah yang ditunjangi oleh kerajaan PH.

Janganlah hendaknya PRU15 ini, kita benarkan "tangan tangan jahat" yang menanti peluang untuk menjarah hasil mahsul dan kemakmuran yang sudah dibina oleh kerajaan PH yang kini diterajui oleh Amirudin.

Saya nampak, BN akan terus kempunan memiliki Selangor kerana rakyat negeri ini sudah bijak menilai yang mana kaca dan yang mana permata.


DATUK DAHLAN MAAMOR adalah pemerhati politik dan juga penasihat media, menteri besar Selangor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS